Islam amat menganjurkan amalan
bermuhasabah sebagai agenda penilaian diri selepas setiap amal atau perbuatan
selesai dilaksanakan. Sebagai seorang manusia, setiap saat dilalui adalah
kehidupan. Manfaat diperolehi harus bersyukur dan segala mudarat mestilah cuba
dielakkan agar tidak berulang kembali. Di sinilah letaknya peranan muhasabah
diri yang sepatutnya dijadikan bahan pengukur keupayaan dan pencapaian diri. Dalam
konteks pengurusan, bedah siasat dilakukan selepas selesainya pelaksanaan
sesuatu perancangan supaya sebarang kelemahan dapat dikenal pasti dan
kekurangan itu dijadikan pengajaran supaya tidak berlaku berulang kali. Maka,
dalam kehidupan manusia sebagai khalifah Allah di atas muka bumi yang
tersandang di bahunya pelbagai tanggungjawab perlu lebih menilai pencapaian
dirinya adakah semakin baik amalan dan ketaatanya kepada Allah atau sama saja
seperti hari berlalu.
Rasulullah sendiri sering berpesan kepada
sahabatnya dengan mengingatkan mereka melalui sabdanya yang bermaksud
‘perbaharui iman kamu’ supaya kualiti iman dapat dipertingkat dan tidaklah
hanya berada pada takuk sama tanpa ada sebarang anjakan. Umar al-Khattab pula
pernah berkata melalui kata-katanya yang masyhur “hisablah (hitunglah) dirimu
sebelum engkau dihisab oleh Allah di hari akhirat kelak”. Ia menunjukkan
individu Muslim yang mendambakan kebaikan dalam hidup mestilah menghiasi
dirinya dengan sentiasa menghitung diri mencari dan mengenal pasti kelemahan
dan kekurangan dirinya bukannya hanya menghitung segala kebaikan yang pernah
dilakukan. Jika dihitung amalan kebaikan semata-mata sudah pasti tiada keaiban
diri yang disedari, tetapi jika kecacatan diri sendiri yang diperhati, maka
sudah pasti seseorang itu akan berusaha menghilangkan keburukan itu agar
diganti dengan kecantikan diri.
Peribadi Umar al-Khattab sendiri sebagai
Amir al-Mukminun haruslah dijadikan idola dan contoh. Beliau selalu meminta
orang ramai supaya menyatakan kekurangan dirinya. Tujuannya ialah untuk
diperbaiki kesilapan yang beliau sendiri tidak menyedarinya. Lembaran sirah
mencatatkan Umar pernah ditegur wanita dalam persoalan mengehadkan jumlah
mahar. Malah, beliau pernah diacukan pedang oleh rakyat pimpinannya untuk
diperbaiki kesalahan yang mungkin dilakukan olehnya ketika menjadi khalifah. Lihatlah
resmi setiap Khulafa al-Rasyidin Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali akan bangun
berkhutbah selepas selesai perlantikan sebagai pemimpin masyarakat Islam.
Antara inti pati ucapan mereka ialah mengharapkan agar orang Islam membetulkan
apa-apa kesilapan yang mereka lakukan semasa memimpin dan memberi sokongan
selama mereka berada benar di atas landasan al-Quran dan menolak mereka apabila
mereka mengetepikan pimpinan wahyu dan sunnah rasul.
Inilah konsep muhasabah yang dipegang
oleh pemimpin Islam terkemuka pada awal pemerintahan Islam selepas kewafatan
Rasulullah. Maka, apabila pemimpin tertinggi negara secara terbuka meminta
orang ramai membuat penilaian di atas kepemimpinannya, maka masyarakat umum
adalah lebih penting bermuhasabah sendiri di hadapan Allah adakah kita ini
hamba yang benar-benar taat mematuhi perintahnya dan menjalankan kewajipan
sebagai khalifah Allah yang diamanahkan sebagai pemakmur bumi ini?. Muhasabah
diri mempunyai beberapa kelebihan kepada individu Muslim. Orang yang sentiasa
bermuhasabah akan sentiasa menginsafi kesalahan dan kekurangan lantas akan
melakukan perubahan ke arah kebaikan. Secara tidak langsung apabila seseorang
berasakan kelemahan dirinya, pasti dia akan cuba merangka strategi memperbaiki
diri supaya kekurangan itu tidak selama-lamanya ada dalam dirinya. Ia hanya
boleh dilakukan dengan menjauhkan perasaan ego dan sombong dalam diri. Jika
fikiran, perasaan dan minda dikuasai perasaan bahawa dirinya baik tanpa
kekurangan, maka selama itulah tiada perubahan yang dapat dilakukan ke arah
pembaikkan diri yang lebih sempurna. Muhasabah diri juga adalah satu jalan
untuk menyelamatkan seseorang daripada ditimpa bencana dan kesusahan hidup di
dunia demi keselamatan hidup di akhirat. Dia akan sentiasa berasa kurang dan
lemah diri di hadapan Allah dan cuba untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik.
Bagaimanakah kaedah untuk mengetahui kekurangan dan kelemahan diri? Mungkin
dirasakan amat susah untuk mengenal pasti keaiban dirinya sendiri berbanding
aib orang lain kerana ramai manusia lebih mudah melihat kepada orang lain
daripada melihat kepada dirinya sendiri.