Ulama ulung, al-Imam Abdullah bin al-Mubarak mempunyai seorang
jiran berbangsa Yahudi. Apabila beliau membeli daging atau buah-buahan, beliau
akan menghadiahkannya kepada jirannya itu. Suatu hari orang Yahudi itu
bermaksud menjual rumahnya, datanglah seorang yang hendak membeli. Dia berkata:
"Harga rumahku ini dua ribu dinar, yang seribu adalah harga rumah dan
seribu lagi harga berjiran dengan Ibnu Mubarak." Beliau amat terharu
dengan perkataan jirannya itu, lalu diapun mendatanginya seraya berkata:
"Ini seribu dirham untuk harga rumahmu dan engkau jangan menjualnya."
Setelah peristiwa itu akhirnya Yahudi itu masuk Islam. Saidina Ali pernah
berkata: "Sesiapa yang mahu menguasai manusia, kuasailah hatinya."
Para sahabat Rasulullah SAW memiliki kepakaran dalam mempengaruhi manusia,
melembutkan hati dan menundukkan jiwa mereka kepada Islam. Rasulullah telah
mendidik duta-duta Islam yang bertugas membawa ajaran agama ke luar Makkah.
Salah seorang duta Islam yang pertama adalah Saidina Mus'ab bin Umair yang ditugaskan
ke Madinah.
Penyebaran Islam dilakukan dengan jalan damai dan persahabatan,
bukan seperti yang didakwa para orientalis songsang bahawa Islam ditegakkan
dengan mata pedang. Hakikatnya, peperangan yang terjadi dalam sejarah Islam
adalah bersifat perang kerana membela diri. Rasulullah SAW mengajarkan
kelembutan dan akhlak mulia sebagai teras kecemerlangan dakwahnya. Terbukti
ketika baginda membuka kota Makkah dan menawan penduduknya, saat itu kunci
Kaabah telah dilarikan oleh pemegang amanahnya yang bernama Usman bin Talhah,
seorang musyrikin. Keluarga Usman dipandang mulia kerana telah berkhidmat
menjaga Kaabah secara turun temurun. Itulah warisan yang paling mahal dan
berprestij bagi zuriat mereka. Dia menyeru dari atas bumbung Kaabah: "Sesekali
takkan ku biarkan lelaki yang mengaku dirinya Nabi merampasnya
daripadaku."
Lalu Saidina Ali bin Abu Talib memulas tangan Usman dan mengambil
kunci itu. Kemudian datanglah al-Abbas bin Abdul Muthalib, bapa saudara
Rasulullah SAW memohon agar kunci itu diserahkan kepada keluarga beliau. Ia
merupakan satu penghormatan terbesar bagi sesiapa sahaja yang mampu berkhidmat
kepada Baitullah. Namun Rasulullah SAW menyuruh Ali untuk mengembalikannya
kepada Usman bin Talhah yang masih kafir dan nyata penentangannya kepada
baginda SAW. Rasulullah juga menyuruh Ali meminta maaf kerana telah menyakiti
tangannya. Setelah menerima apa yang menjadi haknya Usman bin Talhah menyatakan
dirinya masuk Islam. Beliau begitu terharu dengan sifat adil dan kasih sayang
yang terserlah pada keperibadian Rasulullah SAW. Akhirnya semua orang kafir di
Makkah menyerahkan dirinya kepada agama Allah. Dengan rasa tunduk mereka
menginsafi diri betapa indah dan mulianya ajaran agama Allah ini.
Tetapi kini, persepsi terhadap kemuliaan Islam telah tercalar
dengan peristiwa-peristiwa keganasan. Padahal ia adalah angkara manusia-manusia
durjana yang tidak bertanggungjawab yang bertopengkan Islam. Sesungguhnya
mereka telah keluar dari prinsip yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan
diamalkan para sahabat dan tabiin dalam memperjuangkan agama Islam ini. Bagaimanakah
metod dakwah yang sesuai pada zaman yang serba canggih ini? Mengapa tidak
dicuba dengan cara yang lebih bertamadun seperti persaingan dalam bidang sains
dan ekonomi, politik dan budaya, pertahanan dan keamanan, kerana semua itu
adalah media dakwah paling penting untuk diterokai generasi Islam saat ini. Setiap
muslim bertanggungjawab mempamerkan nilai-nilai Islam ketika berinteraksi
dengan non-muslim. Kewajipan menyampaikan mesej Islam ini bukan terletak di
tangan para pendakwah yang berlatar belakang pendidikan Islam sahaja, tetapi
setiap individu muslim adalah pendakwah dengan bidang dan kepakarannya
masing-masing.
Seorang artis adalah pendakwah jika dia mampu memberikan teladan
yang baik kepada peminat-peminatnya, seorang ahli politik atau ahli perniagaan,
wartawan atau budayawan diharapkan mampu menegakkan mesej Islam di medan yang
diceburi, bahkan seorang angkasawan atau penjaga kedai sekalipun harus
mempunyai kesedaran membela Islam di mana jua dia berada. Cara yang paling
sederhana dan mudah ialah tunjukkan akhlak Islam yang mulia, jujur dan amanah,
sopan santun dan berbudi bahasa, adil dan bertanggungjawab, kasih sayang dan
simpati, semua itu merupakan ciri-ciri Islam yang mesti diperjuangkan. Senyuman
dan kata-kata yang manis sudah cukup membuktikan bahawa Islam itu penyebar
kasih sayang sejagat. Namun perlu diingat tentang masalah akidah dan
kepercayaan yang tidak boleh sama sekali berlaku tolak ansur di dalamnya.
Untukmu agamamu dan untukku agamaku, tapi kita masih boleh berkasih sayang dan
berdamai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan