Jumaat, 7 Februari 2020

TASAWWUF : SUATU PENGERTIAN


Perkataan tasawwuf seringkali bermain di mulut mereka yang mengaji bidang agama. Bahkan perkataan tasawwuf ini juga dianggap seperti suatu ilmu yang bukan semua orang boleh pelajarinya. Hanya golongan tertentu sahaja yang mampu bercakap, mengaji dan mendalami ilmu tasawwuf itu sendiri. Penggunaan istilah atau sesuatu perkataan itu harus dilihat dari asal usulnya terlebih dahulu. Ini kerana, pada zaman salafus soleh, tidak terungkap atau tidak wujud sama sekali perkataan tasawwuf itu.

Dalam usaha kita hendak memahami makna dan maksud tasawwuf itu, pertamanya kita harus faham dan tahu bahawa tidak terdapat dan tidak ditemui dalam mana-mana sumber wahyu yang utama sama ada dalam Al Quran mahupun hadis. Bahkan lafaz tasawwuf itu sendiri tidak pernah digunakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan juga para tabi’in. Hal ini sepertimana yang telah dinyatakan oleh seorang tokoh tasawwuf,  Abu Nasr al Sarraj dalam kitab tasawwuf nya iaitu Kitab al Luma’ :

“Kami tidak mendengar nama al-Sufiyyah pada era para Sahabat Nabi SAW, begitu juga selepasnya...gelaran sufi itu tidak diberikan kepada mana-mana Sahabat Nabi SAW.”



Disebabkan tidak wujud dan tidak ditemui di dalam sumber wahyu utama, maka perkara ini telah menyebabkan timbulnya pelbagai pandangan dari sudut etimologi berkaitan makna perkataan tasawwuf. Dalam kajian yang dibuat oleh para ilmuan Islam, terdapat sembilan pandangan berkenaan asal-usul bagi kalimah tasawwuf. Ianya dikatakan berasal daripada kata akar al-safa’/al-safw, al-sifat, al-saff, al-sufanah, sufat al-qafa’, Sufah bin Murr, al-suf dan sufia.

Meskipun begitu, semua perkataan ini secara etimologi dan penggunaan bahasanya kurang tepat atau kurang sesuai untuk dipadankan dengan merujuk makna tasawwuf kecuali pada perkataan al-suf. Oleh sebab itulah kebanyakan ahli tasawwuf menyatakan bahawa asal kalimah tasawwuf adalah daripada kata akar al-suf.

Dari sudut istilahnya pula, para ilmuan Islam juga mempunyai pelbagai pandangan berkaitan makna tasawwuf. Antara yang memberikan pandangan adalah Syeikh Ahmad Zarruq. Beliau berkata istilah tasawwuf telah dihuraikan dengan dua ribu definisi. Ini kerana ketulusan untuk menghadapkan diri kepada Allah SWT dapat dicapai dengan pelbagai kaedah.  Walaupun begitu, semua definisi menjurus kepada pengertian yang sama iaitu ilmu penyucian jiwa. Beliau mendefinisikan tasawwuf itu sebagai :

“Ilmu yang bertujuan untuk membaiki hati dan memfokuskannya hanya untuk Allah semata-mata. Fiqh adalah ilmu yang bertujuan memperbaiki amal, memelihara aturan dan menampakkan hikmah dari setiap hukum. Sedangkan ilmu tauhid adalah ilmu yang bertujuan mewujudkan dalil-dalil dan menghiasi iman dengan keyakinan, sebagaimana ilmu perubatan untuk memelihara adan dan ilmu nahu untuk memelihara lisan.”

Syeikh Ahmad Ibn ‘Ajibah. seorang sufi yang berasal dari Maghribi menyatakan:

“Ia adalah ilmu yang diketahui dengannya jalan untuk mencapai kesempurnaan batin ke hadrat Raja bagi segala Raja, menyucikan batin dari segala kekejian, mengisikannya dengan pelbagai kelebihan. Awalnya adalah ilmu, pertengahannya adalah amal, akhirnya adalah kurniaan Allah SWT”

Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi mendefinisikan tasawuf adalah:

“Suatu yang dengannya diketahui hal ehwal kebaikan dan keburukan jiwa, cara membersihkannya daripada yang tercela dan mengisinya dengan sifat-sifat terpuji, cara melaksanakan suluk dan perjalanan menuju keredhaan Allah dan meninggalkan larangannya.”


Ibn Khaldun dalam kitabnya al Muqaddimah telah berkata:

“Asal usul kepada ajaran tasawwuf ialah tekun melaksanakan ibadah, berhubungan secara langsung kepada Allah, menjauhkan diri dari kemewahan dan perhiasan duniawi (yang melalaikan), tidak suka kepada kelazatan dan kemegahan yang menjadi rebutan orang ramai dan suka bersunyi-sunyian melakukan ibadah kepada Tuhan. Semua ini telah di hayati dan dilaksanakan oleh sahabat-sahabat Nabi dan ulama salaf. Namun pada abad kedua Hijrah, ketika mana masyarakat Islam menjadi begitu ghairah untuk mengejar kesenangan dan kelazatan duniawi, (lahirlah satu golongan yang tekun melakukan ibadah seperti yang telah diajarkan Nabi) dan akhirnya mereka ini telah digelar dengan gelaran ahli sufi atau ahli tasawwuf.”



Meskipun perkataan tasawwuf tidak terdapat dalam Al Quran mahupun hadith, tetapi intipati utama tasawwuf itu terdapat dalam sebahagian sabda Nabi Muhammad SAW. Hal ini sepertimana baginda Nabi SAW bersabda dalam hadis sahih yang bermaksud :

“Engkau beribadah kepada Allah seaakan akan Engkau melihat-Nya, dan jika engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Ia melihatmu.”

Mengenai hadith di atas, Imam Tajuddin al-Subki berkata ;

“… Tasawwuf diisyaratkan dengan ihsan. Selain ilmu-ilmu itu (Aqidah, fiqh dan tasawwuf), kalau ia tidak kembali kepada ilmu-ilmu tersebut (Islam, Iman dan Ihsan), ia adalah di luar syariah.”

Oleh itu, biar apa pun istilah atau perkataan yang diguna pakaikan, sama ada disebut sebagai tasawwuf, ihsan ataupun tazkiyatun nafs, ianya tetap merujuk kepada maksud dan makna yang sama iaitulah ilmu dan amal yang berkaitan penyucian diri bagi mencapai kedudukan yang lebih tinggi. Justeru itu ilmu tasawwuf memang merupakan sebahagian daripada ajaran Islam yang penting, selama mana ianya berjalan di atas landasan Al-Quran dan As-sunnah. Sebaliknya andaikata ia bercampur-baur dengan perkara-perkara khurafat, bid’ah dan amalan-amalan syirik, ia adalah sesat lagi batil, seperti mana yang telah disebutkan oleh Imam Junaid al-Baghdadi :

“Jalan-jalan tasawwuf adalah tertutup rapat melainkan jika ianya berpandukan ajaran Rasulullah.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan