Berjalanlah dengan penuh harapan walau hidup ini tidak selalu bahagia,sedekahkanlah satu senyuman walau dihati kita tidak lagi mampu bertahan,belajarlah memaafkan walau diri kita terluka,berhentilah memberi alasan walau ingin menyatakan kebenaran,hiduplah dalam iman walau hari dipenuhi dugaan dan berpeganglah kepada Allah walau DIA tidak kelihatan.Bukti kasihNYA,kita wujud didunia pinjaman ini.Ucaplah alhamdulillah dengan penuh kesyukuran.Terkadang hati ini terlalu sukar untuk memberi maaf. Bahkan lebih sukar daripada meminta maaf. Masih terasa tusukan rasa bagaikan sebuah dendam yang membara. Masih terngiang-ngiang segala kata. Masih terbayang semua tingkah dan perlakuan. Wajah ‘orang-orang bersalah’ itu terasa begitu menjengkelkan. Memberi maaf kepada mereka seolah-olah menggadaikan harga diri. Ah, apakah maruah ini terlalu murah untuk di sorong tarik dengan harga yang rendah? Dan cukup sakit, apabila mengenangkan ‘musuh-musuh’ itu tersenyum dengan kemenangan.
Namun, itu hanya bisik ‘hati besarkita’. Yang melantunkan suara ego dan marah. Kesat dan kesumat. Tetapi jauh dari dalam diri ada suara lain yang bergetar. ‘Hati kecil’ yang tidak jemu-jemu mengingatkan. Suara tulus yang mendamaikan gelombang jiwa. Bisik telus yang meredakan amukan rasa.Maafkan, lupakan,cintai, sayangi.Berperang dengan mereka bererti berperang dengan diri sendiri. Begitu bisik hati kecil itu selalu.Pada sebuah persimpangan rasa, tiba-tiba hati disapa oleh sebuah firman:“Tolaklah kejahatan dengan sebuah kebaikan.Nescaya engkau akan mendapati musuhmu akan menjadi seolah-olah saudara”. Wahai diri,api jangan dilawan dengan api. Nanti bakarannya akan membakar diri sendiri. Menyimpan dendam sama seperti membina sebuah gunung berapi di dalam hati. Semakin besar dendam itu, maka semakin sakit hati yang menanggungnya. Musuh-musuh kita terus ketawa, sedangkan kita sendiri menderita meneguk bisa.
Musim-musim terus berlalu sewajarnya mendewasakan kita. Pengalaman lampau sentiasa membuktikan bahawa permusuhan hanya akan memberi kepuasan sementara. Apabila ‘fatamorgana’ itu berlalu. Kita akan menjadi lebih dahaga daripada sebelumnya. Apakah akan kita terjah perangkap itu berkali-kali? Oh,tidak. Mukmin tidak akan terperosok dalam lubang yang sama dua kali. Begitu maksud sebuah sabda. Justeru? Cukup sekali! Biarlah musuh itu ketawa sepuas-puasnya. Beban rasa ini biarlah kita letakkan. Tidak akan kita bawa dalam safar kehidupan yang pendek ini. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Bermusuh dengan orang lain, sama seperti bermusuh dengan diri sendiri. Memaafkan orang lain,sama seperti memaafkan diri sendiri. Kata bijak pandai:“Apa yang kita berikan akan kita terima kembali”
Betapa leganya sekarang. Benarlah bahawa kebaikan itu tampak sukar untuk dilaksanakan. Pahit. Sakit. Tetapi apabila dilaksanakan akan terasa kemanisannya. Manakala kejahatan itu tampak mudah, indah dan manis. Namun apabila dilakukan, pasti ada kekesalan, kepahitan dan keresahan. Ketika ini terasa benar apa yang selalu didengar di dalam tazkirah bahawa dosa itu sesuatu yang meresahkan. Dendam itu dosa. Memaafkan itu pahala. Memaafkan menjemput datangnya ‘syurga’ yang fana, sebelum syurga yang baqa’. Kini hati tertanya-tanya lagI. Siapa kita, yang begitu sukar memaafkan? Tuan? Tuhan. Kita hanya hamba. Sedangkan DIA Sang Pencipta itu Maha Pemaaf, Maha Pengampun, siapa kita yang kerdil ini untuk terus berdendam? Ya ALLAH, ampunkan diri ini. Sengaja atau tanpa sengaja, sering atau kekadang,diri ini ‘terlanjur’ menumpang hak-MU. Andai hati kita di belenggu kepayahan dan keresahan, ubatilah ia dengan membaca Kalamullah, Sesungguhnya Kalamullah adalah sebaik ubat bagi mengubati hati.