Begitu pantas masa berlalu, Ramadhan sudahpun meninggalkan kita, bak kata pepatah yang datang pasti akan pergi. Bulan yang menjanjikan seribu macam keistimewaan itu sudah berlalu pergi dan seiring dengan itu pula kita menyambut kedatangan Syawal. Kita raikan kemuculan Syawal dengan takbir, tasbih dan tahmid, iaitu bulan yang sering kita kaitkan dengan bulan kemenangan. Namun sepanjang menyambut kehadiran Syawal yang syahdu itu sepanjang hayat kita, pernahkah kita bertanya, apakah sebenarnya yang kita raikan? Apakah hakikat sebenar di sebalik sambutan tersebut. Sesungguhnya, yang kita raikan pada hakikatnya ialah diri kita sendiri sebagai seorang Muslim yang hidup di atas panji Islam. Kita raikan anugerah terbesar pemberian Allah iaitu Islam, iaitu agama yang telah memuliakan kita, memberi harga diri kepada kita, dan yang telah memelihara martabat kemanusiaan kita. Islam itu adalah agama yang telah disempurnakan oleh Allah, Islam yang menjadi penyempurna nikmat Allah kepada kita, dan Islam yang telah diredhaiNya sebagai jalan hidup. Maka pada saat kita menyambut dan meraikan kehadiran Syawal/Aidilfitri, kesedaran inilah yang kita raikan dan wajar bagi kita untuk memperbanyakkan pujian ke atas Allah di atas nikmat ini.
Menerusi Islamlah kita terpelihara daripada menjadi hamba kepada dunia, nafsu dan harta benda. Dengan Islam juga kita bebas merdeka daripada menjadi hamba kepada sesama manusia. Islam jugalah yang menjadikan kita berdiri mulia, walaupun di saat umat Islam dihina, ditindas dan dipijak hampir di setiap pelusuk dunia ini.Bahkan Islam itu juga menjadikan kita gigih dan cekal untuk terus bertahan walaupun diasak dari segenap sudut. Ditindas hak asasi kita sebagai manusia yang bertunjangkan Islam, ditindas pemikiran kita, ditindas semangat perjuangan kita, ditindas ekonomi kita, ditindas hak kemasyarakatan kita, diputar-belitkan siasah serta dikelirukan jatidiri kita, dan kita ditindas pada setiap sudut kehidupan yang ada. Tetapi pernahkan kita merasakan Islam yang kita genggam erat ini semakin longgar atau terkulai layu? Tentu tidak sama sekali. Bahkan tekanan itulah yang menjadikan kita semakin yakin bahawa ianya adalah ujian untuk orang beriman dan juga sunnatullah yang menjanjikan kemenangan mutlak bagi mereka yang berjaya menempuhnya. Kerana kita yang dianugerahkan kemanisan iman tidak akan bertolak-ansur dengan prinsip Islam, malah perintah Allah kita junjung dan julang dengan lebih tinggi dan bersemangat, dan menjadi lebih tegas dan berani memuliakan Islam.
Semuanya ini adalah kerana kita sedar bahawa di saat meraikan Syawal Aidilfitri, ianya juga adalah saat yang sesuai untuk diisi dengan kefahaman yang mantap dan semangat juang yang tinggi. Iaitu semangat mahu melihat kalimah Allah itu ditinggikan mengatasi segala yang lain.Kekuatan ini sebenarnya dijana menerusi ibadah puasa yang telah ditempoh dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh selama sebulan. Seiring dengan menyambut hari kemenangan di bulan Syawal ini, kita juga tidak seharusnya lupa untuk menilai sejauh manakah kita telah mengisi Ramadhan yang telah berlalu pergi dengan ibadah yang cukup bagi memungkinkan kita dianugerahkan keampunan Allah? Juga adakah kita berhasil untuk mendapat nilai taqwa sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah dalam al Quran? Persoalan-persoalan ini hanya mampu dijawab oleh kita sendiri yang terlebih mengetahui usaha dan nilai puasa yang kita lakukan. Beruntung dan bergembiralah mereka yang telah bersusah payah beramal untuk meraih keampunan dan keredhaan Allah, serta berdukacita dan rugilah mereka yang lalai dan leka sepanjang Ramadhan. Jika Ramadhan yang berlalu pergi itu tidak mampu memperbaiki dan meningkatkan kualiti diri kita, maka pada bulan dan ketika manakah lagi yang boleh menjadi pendorong yang dapat mengubah diri kita ini?
Pun begitu, perlu diingat bahawa jika ibadah itu hanya di bulan Ramadhan, dengan anggapan ibadah itu seperti bermusim, maka rugilah juga kesudahannya. Sebenarnya tidak sukar untuk melihat tanda-tanda amal kebajikan kita sepanjang Ramadhan diterima atau ditolak. Jika selepas Ramadhan, taat dan patuh kita kepada Allah berkekalan, malah mampu mengubah diri menjadi manusia yang lebih baik dan berkualiti, maka itulah sebesar-besar nikmat kurniaan Allah. Tetapi jika apa yang berlaku adalah sebaliknya, maka hati-hatilah, kerana dikhuatiri kita termasuk dalam golongan yang rugi dan kelak akan dihumbankan ke dalam api neraka.Jika di bulan Ramadhan kita mampu hadir ke masjid setiap hari untuk solat fardhu dan solat sunat Tarawih, tetapi selepas Ramadhan kita hilang kemampuan untuk ke masjid walaupun untuk bersolat fardhu. Jika di bulan Ramadan kita mengekang lidah dari berkata-kata yang dusta dan sia-sia tetapi membasahi lidah dengan membaca al-Quran dan berzikir, sebaliknya selepas Ramadhan lidah itulah juga yang memaki-hamun, mengadu domba, mengupat dan menyebar fitnah, dan mata serta telinga kita diisi sepenuhnya dengan hal-hal yang membawa kemurkaan Allah.
Apakah hasil dan kesan yang sebegini memungkinkan ibadah kita sepanjang Ramadhan diterima Allah. Mudah-mudahan Allah melindungi kita dari termasuk dalam golongan yang sedemikian.Sesungguhnya Ramadhan yang kita lalui itu umpama satu madrasah pendidikan yang memupuk dan menghasilkan benih taqwa. Dari benih ini akan tumbuh pula pohon taqwa yang sangat diperlukan dalam mengharungi kehidupan ini. Dan dari pohon taqwa inilah lahirnya ibadah dan akhlak mulia yang menjadi penghias diri seorang Muslim. Juga dari rimbunan taqwa yang subur inilah juga lahirnya kekuatan untuk menangkis segala hasutan dan pujuk-rayu yang boleh membinasakan seorang Muslim.