Ahad, 15 Oktober 2017

MARTABAT ORANG BERSYUKUR

Syukur kadang kala dilihat lebih tinggi martabatnya berbanding sabar. Syukur dalam erti kata lain ialah berterima kasih diatas segala nikmat yang dianugerahkan. Sama ada nilai sesebuah nikmat itu besar atau kecil, syukur mestilah dipanjatkan kepada Nya. Sebaliknya, sifat sabar ini dilihat sangat perlu apabila ditimpa sesuatu kesusahan sahaja. Ketika hidup diuji kesenangan, tidak pula kita diminta bersabar. Syukur adalah perkara wajib yang kita harus tanamkan dalam diri tanpa kira di waktu senang mahupun susah. Syukur dengan apa yang ada maka Allah Azza Wa Jalla akan menambahkannya lagi.


Tetapi jika sebaliknya Allah memberi ancaman azab pedih menanti kita. Bersyukurlah pada Allah dengan apa yang telah kita miliki hari ini. Barangkali kita rasa hidup kita sangat susah tetapi yakinlah ada yang lebih susah dari kita. Maka berusahalah tanpa mengeluh, bersangka baiklah tanpa mencemuh. Setiap daripada kita telah tertulis ujian hidup bahagian masing-masing. Letakkan syukur dalam apa jua keadaan nescaya Allah tidak akan pernah mensia-siakan syukur para hamba Nya. Allah Azza Wa Jalla berfirman di dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud :

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".



Berdasarkan ayat ini, Allah Azza Wa Jalla telah memberikan kita dua pilihan. Pilihan pertama, sekiranya kita bersyukur, maka Allah Azza Wa Jalla akan melipat kali gandakan nikmat keatas kita. Pilihan kedua, sekiranya kita tidak bersyukur, maka Allah Azza Wa Jalla menjanjikan azab yang amat pedih. Kita seharusnya bermuhasabah kembali, menilai apakah kita sudah benar-benar bersyukur.


Kata Buya Hamka, “kita ini selalu merujuk kepada perkara yang belum kita dapat dan kita selalu lupa pada benda yang telah kita miliki.” Kita selalu hendak bersyukur apabila kita diberi benda baru dan kita lupa bahawasanya apa yang kita miliki hari ini adalah suatu nikmat yang besar. Satu hamba Allah, yang patah kakinya yang dahulunya barangkali tidak pernah teringatnya akan nikmat kaki yang setiap hari dia berjalan, tapi apabila suatu hari dia sakit kaki, dia mohon pada Allah agar diberikan semula nikmat kaki dan dia telah tahu betapa besarnya nikmat kaki. Hamka pernah menyebut “yang ada ini adalah harapan kita”. Bukanlah menjadi satu kesalahan kita mengharapkan pada perkara yang belum ada, tetapi jangan pernah lupa pada yang telah kita miliki hari ini.


Syukur diperlukan sepanjang masa tanpa mengira apa jua keadaan kita. Di masa susah juga kita harus bersyukur, apatah lagi di masa kita senang, juga dituntut untuk kita bersyukur pada Nya. Sabar kita perlu apabila ditimpa musibah dan malapetaka sahaja. Waktu senang, kita lupa untuk bersabar akan apa yang telah kita ada. Pada urusan dunia, lihatlah orang yang lebih rendah atau lebih bawah daripada kita. Jika kita mempunyai kereta, maka lihatlah orang yang hanya memiliki motosikal. Jika kita mempunyai motosikal sahaja, lihatlah orang yang hanya memiliki basikal sahaja. Jika kita memiliki basikal sahaja, lihatlah pada orang yang tiada apa-apa. Sekiranya kita benar-benar melihat pada orang yang lebih bawah atau lebih susah daripada kita, nescaya kita akan menjadi hamba Nya yang lebih bersyukur.