Negeri Perlis adalah negeri paling hujung
di utara semenanjung Malaysia. Berkeluasan 795 km/persegi dan mempunyai
kepadatan penduduk seramai 250, 000 orang. Negeri Perlis begitu sinonim dengan
slogan permai lagi mempersona. Buminya yang damai dikelilingi oleh pemandangan
sawah padi yang menenangkan. Nama Perlis juga sinonim dan terkenal dengan
tanaman pokok “harumanis”. Selain itu juga, rakyat negeri Perlis amat bertuah
dikurniakan seorang putera raja yang sedang memegang mandat sebagai Duli Yang
Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis sejak 1 Ogos 2000 hingga kini. Baginda
Raja Muda Perlis telah diputerakan pada 30 Disember 1967 di Hospital Besar,
Alor Setar Kedah. Baginda telah berkahwin dengan Tuanku Lailatul Shahreen
Akashah Khalil dan dikurniakan 3 orang anak.
Baginda begitu sinonim dengan kerja-kerja
amal terutamanya dalam menegakkan syiar agama islam di negeri terkecil ini.
Sejak menerajui Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selaku Yang Di Pertua bermula
tahun 2002, pelbagai ilham baginda curahkan dalam usaha melaksanakan
transformasi MAIPs. Pelbagai agenda transformasi dan inisiatif baru telah
dilaksanakan dalam menegakkan syiar agama. Antara usaha transformasi yang dilakukan
ialah menghulurkan bantuan dalam hal keperluan dan sokongan pendidikan kepada
golongan saudara baru muslim atau disebut sebagai mualaf, bagi memberikan
mereka nafas permulaan hidup baru sebagai seorang muslim. Keprihatinan Baginda
terhadap golongan mualaf sudah sinonim dengan negeri Perlis. Bukan setakat itu
sahaja, turut terkena tempias sikap keprihatinan Baginda ini ialah beberapa
saudara baru muslim dari luar Perlis, turut dijemput untuk menyambung pelajaran
di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) secara percuma dibiayai oleh MAIPs.
Baginda dikenali sebagai seorang yang begitu
komited dan menitikberatkan dalam soal bidang pendidikan. Baginda senantiasa
mengingatkan rakyat negeri Perlis supaya bermentaliti kelas pertama dalam
tindakan. Keprihatinan Baginda dalam bidang pendidikan terbukti dengan program-program
yang telah melibatkan pelbagai institusi pendidikan sama ada di peringkat
pendidikan awal kanak-kanak, di peringkat sekolah rendah dan menengah, juga
termasuk institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Tidak ketinggalan dalam
soal ini ialah golongan mualaf. Baginda menerusi MAIPs telah memperkenalkan
tawaran biasiswa kepada mualaf bagi melanjutkan pendidikan. Inisiatif yang
julung kalinya diadakan ini juga telah menarik minat Ketua Pengarah JAKIM, Tan
Sri Othman Mustapha. Dalam satu laporan akhbar bertarikh 13 Julai 2017, JAKIM
menerusi Ketua Pengarahnya dalam satu majlis bersama mualaf di Perlis
menyatakan hasrat beliau untuk melebarkan inisiatif yang menarik ini. Beliau
sendiri amat kagum dan bangga dengan inisiatif yang sangat bermanfaat buat para
mualaf. Pada masa yang sama, beliau juga menyeru agar negeri-negeri lain
mencontohi negeri Perlis dengan memperkenalkan inisiatif hebat ini. Secara
tidak langsung, inisiatif ini melambangkan sikap prihatinnya Baginda terhadap
bidang pendidikan tanpa meminggirkan status sesiapun.
Keprihatinan Baginda terhadap golongan
mualaf tidak terhenti di situ sahaja. Baginda terkenal dengan sikap
menitikberatkan soal perpaduan dan rasa kasih sayang kepada golongan mualaf.
Hal ini terbukti dalam titah ucapan Baginda pada tarikh 13 Februari 2017,Baginda
bertitah supaya saudara muslim yang berketerunan cina agar tidak merasa asing
berada dalam masyarakat islam. Baginda bertitah demikian sempena Majlis
Sambutan Tahun Baru Cina bagi saudara muslim cina di negeri Perlis. Baginda
juga menyeru umat islam supaya belajar mengenali kepelbagaian budaya dan juga
perlu tahu bagaimana untuk mengharmonikan adat dan budaya dengan ajaran islam
yang membawa rahmat untuk sekalian alam. Baginda sering mengingatkan para
pendakwah supaya menunjukkan contoh teladan yang baik dan murni selari dengan
ajaran petunjuk wahyu dari Allah Azza Wa Jalla. Selain itu, Baginda juga menyarankan agar orang islam mengajak saudara
baru muslim untuk turut bersama menyambut hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha bagi
memupuk nilai-nilai perpaduan dan kasih sayang sesama umat islam.
Pada masa yang sama, Baginda seringkali
meluahkan rasa bimbang dengan sikap segelintir umat islam yang langsung tidak
mencerminkan imej islam yang sebenar. Baginda sangat bimbang dengan imej islam
yang seringkali digambarkan dengan imej yang negatif. Hal ini secara tidak
langsung, berpunca daripada kelemahan sikap umat islam itu sendiri yang suka
bermusuhan dan tidak boleh menerima sudut pandangan yang berbeza. Fenomena ini
sekiranya dibiarkan, ianya akan memberi kesan kepada saudara baru muslim yang
berkemungkinan kembali cenderung untuk kembali kepada agama asal mereka. Atas
sebab ini, Baginda sentiasa prihatin akan permasalahan ini dengan menyokong
pelbagai program keagamaan dilaksanakan khusus kepada golongan mualaf sebagai
salah satu inisiatif atau langkah membimbing mereka mengenal didikan dan ajaran
islam yang sebenar. Baginda juga menerusi MAIPs, telah melantik sebuah badan
bukan kerajaan (NGO) iaitu One Centre Malaysia sebagai sebuah badan khas yang
bertindak menggerakkan kerja-kerja dakwah dan pada masa yang sama juga
memberikan bimbingan dan panduan khusus kepada golongan mualaf. One Centre
Malaysia juga berperanan untuk memperkenalkan islam yang sebenar kepada
masyarakat bukan islam dan berfungsi sebagai jambatan perpaduan antara agama
dan kaum tanpa mengetepikan prinsip islam. Maka kita boleh lihat bagaimana
beberapa tokoh agama sama ada di dalam atau di luar negara, dijemput untuk
memberikan ceramah, berkongsi rasa sesama mualaf sebagai suatu suntikan vitamin
motivasi buat para saudara baru juga pada umat islam keseluruhannya.
Keprihatinan Baginda terhadap golongan
mualaf telah menjadi simbolik yang hebat kepada negeri Perlis yang terpencil di
utara semenanjung. Betapa kita boleh melihat dan merasainya, sebuah negeri yang
kecil dipimpin oleh seorang putera raja muda yang berjiwa besar dan sentiasa
berfikiran positif dalam mengembangkan lagi syiar agama Allah. Apa yang dituliskan
dalam artikel ringkas ini ialah serba sedikit usaha Baginda memperjuangkan
nasib golongan mualaf khususnya di negeri Perlis. Tidak kira lagi betapa banyak
lagi di sana, usaha dan gerak kerja Baginda bersama MAIPs menjejaki dan
menyantuni para asnaf di sekitar negeri Perlis dengan cara dan gayanya yang
tersendiri. Keprihatinan Baginda dalam banyak soal kehidupan ini telah membawa
rahmat kepada sekalian penduduk rakyat jelata di negeri Perlis khususnya. Kita
doakan agar Allah Azza Wa Jalla terus memberi petunjuk diatas jalan redha Nya
serta dikurniakan kekuatan kepada baginda untuk terus memimpin negeri ini
menegakkan syiar agama Allah yang Maha Esa. Dirgahayu Tuanku !