Islam ialah cara hidup merangkumi segenap aspek dan ceruk
kehidupan manusia di mana-mana sahaja dan pada masa bila-bila, berasaskan
risalah atau misi dibawa Rasulullah SAW yang berpaksikan untuk mewujudkan
suasana sejahtera, baik dan damai. Segala suruhan dan tegahan serta penyelesaian ditawarkan Islam,
mencerminkan aspek kesejahteraan, kebaikan dan kedamaian berkenaan. Allah SWT
berfirman:
“Dan
tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi
rahmat bagi sekian alam (rahmatan li al-‘alamin).” (Al-Anbiya’: 107)
Istilah rahmah seperti dicatat al-Jurjani, merujuk kepada suatu
keinginan menyampaikan kebaikan. Ini bermakna risalah Rasulullah SAW yang
membawa rahmatan li al-‘alamin itu, suatu bentuk keinginan Allah SWT untuk
memberikan kebaikan dan kesejahteraan kepada seluruh alam semesta terutama
manusia yang semestinya terlaksana menerusi penghayatan yang tepat. Justeru,
ungkapan yang menjadi falsafah dan polisi pentadbiran hal ehwal Islam di negara
ini, mesti ditafsirkan secara tepat menurut tafsiran muktabar dalam kalangan
ulama tersohor untuk mengelaknya daripada terseleweng.
Menurut mufassir, Ibnu Kathir dalam kitab tafsir, Tafsir
al-Quran al-‘Azim, ayat itu perlu difahami dalam pengertian Allah SWT
mengkhabarkan Dia menjadikan Muhammad SAW sebagai rahmat bagi seluruh alam. Sesiapa
menerima rahmat dan bersyukur atas nikmat ini, dia akan bahagia di dunia dan
akhirat, manakala orang menolak serta mengingkarinya, akan rugi di dunia dan
akhirat.
Ulama tersohor abad ke-20, Dr Wahbah al-Zuhayli dalam kitab
al-Tafsir al-Munir menjelaskan ‘bahawa Kami (Allah SWT) tidak mengutusmu wahai
Muhammad dengan syariah, petunjuk dan hukum al-Quran kecuali sebagai rahmat
bagi seluruh alam dalam kalangan manusia serta jin di dunia dan akhirat. Kedua-dua
tafsiran itu menghubungkan aspek rahmatan li al-‘alamin dengan syariat atau
risalah dibawa Rasulullah SAW. Unsur rahmat akan hanya diperoleh apabila tidak
diasingkan daripada syariat atau risalah Baginda, iaitu datang menerusi dan
bersama pelaksanaan setepatnya isi kandungan risalah. Rahmat tidak akan datang
di luar daripada kerangka dan isi keseluruhan hukum-hakam serta suruhan dan
larangan yang terkandung dalam Islam.
Satu aspek boleh diketengahkan dalam hubungan ini ialah wujud
kaitan antara konsep rahmatan li al-‘alamin dengan akhlak Islam, khususnya
apabila ditafsirkan keseluruhan ayat terbabit berasaskan hadis Rasulullah SAW
yang membawa maksud Baginda diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia. Justeru,
konsep itu bermakna menerusi penghayatan syariat secara keseluruhan dan
sempurna akan melahirkan manusia berakhlak mulia yang akan menaburkan pelbagai
bentuk kerahmatan, kebaikan serta kemakmuran alam. Secara umumnya, Muslim sebagai
penjana kesejahteraan dan kebaikan dalam kehidupan sudah terlihat. Muslim yang
bertindak menghayati setepatnya akhlak mulia tuntutan Islam, pasti berupaya
menaburkan pelbagai kebaikan dalam kehidupan harian di tengah-tengah
masyarakat.
Bagaimanapun, untuk hal ini menjadi lebih jelas, wajar
diperhatikan beberapa aspek tuntutan ajaran Islam supaya dihayati dalam
kehidupan Muslim seperti terungkap dalam risalah Rasulullah SAW. Ruang pertama
perlu diberikan perhatian dalam proses pembinaan diri ialah institusi keluarga
yang menjadi permulaan kehidupan sebagai manusia. Dalam Islam, institusi
keluarga ialah komponen masyarakat yang amat penting. Ia bermula dengan
perkahwinan diasaskan atas mawaddah wa rahmah (kasih sayang dan belas kasihan)
yang sedia dicipta serta diterap Allah SWT dalam lelaki dan perempuan seperti
tercatat dalam surah al-Rum, ayat 21.
Daripada perkahwinan, lazimnya akan lahir zuriat yang juga
amanah yang mesti dipelihara sebaik mungkin serta diberikan pendidikan cukup
dan terbaik mengikut kemampuan. Sebagai timbal balik, anak-anak mesti mentaati
ibu bapa dan menjaga mereka dengan baik apabila sudah tua. Suasana kehidupan
sebegini dalam institusi keluarga, bersama dengan salutan pendidikan sempurna,
berupaya melahirkan warga keluarga baik dan berakhlak mulia. Warga keluarga
yang baik dalam kehidupan seterusnya, perlu berinteraksi dengan pelbagai pihak
dalam masyarakat. Kumpulan orang lain paling hampir ialah jiran tetangga. Islam
menginstitusikan suatu konsep cukup baik dan teratur bagaimana pergaulan serta
interaksi mesti berlangsung dalam kalangan jiran tetangga, termasuk bukan
Muslim.
Seseorang manusia terdedah kepada lapangan hidup lebih luas
membabitkan warga masyarakat pada peringkat nasional dan antarabangsa. Islam
menyediakan peruntukan untuk dihayati Muslim yang terbabit dalam peringkat
kehidupan.Islam menginstitusikan konsep ukhuwah (persaudaraan) yang mengikat
sesama Muslim atas dasar iman hingga tetap bersaudara walau di mana berada dan
dituntut melaksanakan tugas persaudaraan. Dalam konteks hubungan dengan bukan
Muslim, syariat Islam menjelaskan hubungan baik dan toleransi boleh berlangsung
asalkan tidak menceroboh umat Islam seperti firman Allah SWT:
“Allah tidak melarang kamu berbuat baik (dalam urusan dunia) dan
berlaku adil terhadap orang (bukan Muslim) yang tiada memerangimu kerana agama
dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang
berlaku adil.” (Al-Mumtahanah: 8)
Dalam bentuk lebih universal, ajaran Islam menjelaskan kriteria
manusia paling baik dan dicintai Allah SWT, iaitu golongan dijelaskan hadis:
“Sebaik-baik manusia adalah paling bermanfaat kepada manusia
lain.” (HR al-Tabrani dan al-Daruqatni)
Jelas kriteria diambil kira Islam dalam menentukan ciri manusia
terbaik dan amat dicintai Allah, merujuk sebanyak mana seseorang dapat
menyumbangkan manfaat kepada orang lain dalam kehidupan ini. Ini bermakna Islam
menggesa umatnya sentiasa berusaha secara berterusan memberi sumbangan terbaik
yang banyak memberi manfaat kepada kehidupan manusia. Islam tidak membenarkan
penganutnya melakukan kerja dan penjanaan yang boleh menyebabkan manusia lain
terperangkap dalam kesukaran serta kesusahan, sekali gus tidak menjadi sumber
dan punca kesukaran orang lain. Perlu diperhatikan, perkataan ‘manusia’ sebagai
penerima manfaat berbentuk umum dan tidak dikhususkan sama ada Muslim ataupun
bukan.
Ini bermakna gesaan sesuatu bermanfaat yang menjadi indikator
manusia Muslim terbaik dan dikasihi Allah SWT, bersifat sejagat yang golongan
penerimanya tidak dibatasi oleh apa-apa bentuk sempadan biasa kemanusiaan
seperti agama, bangsa dan warna kulit. Malah, ia merangkumi semua asalkan
sahaja manusia dan meliputi pelbagai perkara dan perlakuan. Di sinilah terpacak
kukuhnya nilai terbaik Muslim yang berfungsi sebagai penjana dan peneraju kesejahteraan
dalam kehidupan di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sesungguhnya manusia
Muslim mempunyai prasarana dan potensi cukup untuk muncul sebagai peneraju
dalam kerja penjanaan kebaikan dan kesejahteraan dalam kehidupan manusia.
Islam menyediakan trek laluan kukuh, munasabah dan praktikal
untuk digunakan dalam proses pembinaan personaliti Muslim kuat dan tahan uji
bagi melaksanakan tugas berat sebagai penjana kesejahteraan hidup
bermasyarakat. Ini bermakna seandainya kalangan Muslim didapati tidak dapat
melaksanakan tugas sebagai penjana kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat,
ia isyarat jelas tidak menyempurnakan tuntutan agama yang dianuti.
Justeru, Muslim perlu sedar dipertanggungjawabkan sebagai pembawa obor
rahmatan li al-‘alamin yang perlu berfungsi sebagai penjana kesejahteraan hidup
dunia. Hakikatnya orang Islam tiada pilihan selain terjun sepenuh masa
mempersiapkan diri mengambil tanggungjawab berkenaan. Persiapan diri merujuk
kepada keperluan memperkukuhkan jati diri keislaman dalam kehidupan harian,
terutama menyuburkan penghayatan nilai akhlak mulia. Bagaimanapun, semua ini
bukanlah suatu perkara mudah dilaksanakan tetapi menjadi wajah jihad perlu
didepani umat Islam semasa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan