Dalam kehidupan bermasyarakat, umat
Islam dituntut menjaga ukhuwah dan keharmonian berasaskan kepada nilai-nilai
akhlak yang luhur. Umat Islam juga diajar untuk mencintai dan mengasihi saudara
seagama, saling mengambil berat, membantu serta menjaga aib antara satu sama
lain. Sebagaimana sabda Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam
Bukhari dan Muslim, bermaksud:
“Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain.
Ia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya kepada musuhnya. Sesiapa
memberikan pertolongan hajat saudaranya, maka Allah akan menolong dalam
hajatnya. Sesiapa memberikan kelapangan kepada seseorang Muslim daripada
sesuatu kesusahan, maka Allah akan melapangkan dia daripada suatu kesusahan
daripada sekian banyak kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup aib
seorang Muslim, maka Allah akan menutup aib orang itu pada hari kiamat.”
Aib saudara seagama adalah perkara yang tidak boleh
dibuka atau disebarkan kepada orang lain sewenang-wenangnya. Umat Islam juga
dilarang membuka aib pihak lain walaupun dianggap sebagai musuh. Dalam politik
contohnya, perbuatan memburuk-buruk dan menyebar aib individu dari parti berbeza
ideologi dilihat semakin menjadi-jadi. Hari ini orang menggunakan Internet
sebagai saluran untuk membuat fitnah, adu domba, serangan peribadi dan membuka
aib lawannya. Kadang kala diikuti dengan kata-kata kesat dan maki hamun tanpa
menghiraukan dosa dan tegahan agama. Allah mengancam perbuatan seperti ini
melalui firman-Nya dalam surah an-Nur: 19, bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan
buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab amat pedih di
dunia akhirat dan Allah mengetahui (segala perkara) sedangkan kamu tidak
mengetahui.”
Perbuatan menyebarkan aib orang lain berlaku dalam
pelbagai bentuk. Ada yang suka menjaja kisah keruntuhan rumah tangga orang,
merakam video perlakuan seksual, menyebar poster atau gambar mengaibkan dan ada
yang mengejek bentuk fizikal seseorang. Umat Islam dilarang mengejek, menghina
kekurangan atau keaiban orang lain seperti gemuk, kurus kering, kulit hitam,
wajah hodoh, kecacatan dan sebagainya. Semua ini termasuk dalam perbuatan
mengumpat, mengeji dan memperlekeh orang lain yang dikeji oleh Allah.
Sebagaimana firman Allah melalui surah al-Humazah ayat
1 maksudnya: “Kecelakaan besar bagi setiap pengumpat lagi pengeji. Mengumpat,
mengeji dan mendedahkan aib orang lain umpama memakan daging saudara sendiri
yang telah mati.”
Begitu juga dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat:
12, bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan
sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah berdosa.
Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.
Janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang
daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian
keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah
larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah
Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”
Musuh-musuh Islam akan bergembira apabila umat Islam
saling membenci, menghina, mengaibkan dan memfitnah sesama sendiri sehingga
membawa kepada perpecahan. Orang yang dalam hatinya ada perasaan benci dan
hasad kepada saudara se-lslam, adalah golongan dalam dirinya mempunyai
sifat-sifat munafik. Akhirnya perbuatan ini tidak akan menguntungkan sesiapa,
sebaliknya perpaduan akan menjadi semakin rapuh dan umat Islam akan semakin
lemah. Justeru, umat Islam perlu membersihkan diri daripada sebarang sifat keji
khususnya seperti iri hati, hasad dengki, suka mengaibkan orang lain, suka
mengumpat dan suka melihat orang lain dimalukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan