Jumaat, 16 November 2018

APABILA SUDAH TIADA MALU


Secara umumnya, sumbang mahram adalah satu istilah bagi menggambarkan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan salah laku seksual dan dilihat oleh masyarakat sebagai sesuatu yang jijik dan terkutuk. Jijiknya dan kotornya ia kerana perbuatan terkutuk ini melibatkan jenayah secara seksual, seperti rogol ataupun pencabulan dan kelucahan yang dilakukan dalam kalangan sesama ahli keluarga yang ada pertalian kekeluargaan dan persaudaraan secara dekat. Namun bagi sesetengah pelaku dan pemangsa, mereka mempunyai pandangan dan perspektif yang berbeza tentang apa yang mereka lakukan.

Tidak kiralah apa yang mereka fikirkan, dan sama ada perbuatan itu satu jenayah dan kesalahan, ataupun satu perbuatan yang wajar bagi mereka, telah banyak dikupas dan diselidiki oleh para ilmuwan dan pengkaji. Kupasan yang dibuat adalah dari pelbagai sudut seperti undang-undang dan jenayah, kesihatan, psikologi dan pendidikan serta lain-lain. Hakikatnya, perbuatan ini terus berlaku dalam anggota masyarakat saban hari, seolah-olah tiada penghujung, dan dipercayai akan terus berlaku dalam zaman yang serba canggih dan moden ini.



Kebanyakan kes ini melibatkan ahli keluarga sendiri terutamanya di antara bapa kandung dengan anak, bapa tiri atau bapa angkat, bapa saudara, bapa mertua dan menantu, dan di antara abang dan adik, adik dan kakak, atau pun ibu dan anak, datuk dengan cucu dan sebagainya. Secara wajarnya, perkara ini tidak seharusnya berlaku. Semua anggota masyarakat telah maklum bahawa ia adalah satu perbuatan yang haram dan amat dilarang oleh ajaran Islam. Namun, apa yang lebih mengerikan ialah, ia banyak berlaku dalam kalangan orang Melayu yang beragama Islam. Tiada niat untuk menghukum atau memperlekeh sesiapa.

Namun inilah kekeliruan yang wujud sekarang ini. Lebih-lebih lagi, apabila masyarakat kita ini terkenal dengan sifat sopan santun dan pemalunya yang amat tinggi. Namun perkara ini perlu dirungkai dan diselesaikan bagi menyelamatkan generasi muda dan masyarakat sekarang agar tidak terus hanyut dalam trauma dan kekeliruan yang ada ini. Masyarakat perlu tahu bahawa sumbang mahram adalah satu kegiatan yang berkaitan dengan naluri seksualiti. Naluri seksualiti ini terhasil daripada dorongan naluri dan desakan nafsu yang sebenarnya adalah asas kepada kejadian dan kesinambungan fitrah manusia serta segala makhluk bernyawa yang diciptakan Allah SWT di atas muka bumi ini.

Namun, naluri ini telah tersimpang secara jauh daripada norma-norma yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Ia menyimpang jauh daripada landasan yang sewajarnya menurut agama, kerana ia tidak terdidik dan terbentuk seperti yang telah diatur dan diajarkan oleh agama Islam. Pendidikan seksual yang teratur sememangnya perlu dalam menangani kegiatan ini, kerana ia akan meningkatkan lagi kesedaran berkaitan fenomena dan tragedi serta trauma akibat daripada sumbang mahram. Namun pendidikan dan pendedahannya tidak perlu terasing daripada ajaran keagamaan dan keimanan. Ia perlu didedahkan secara seiring agar dapat mewujudkan kestabilan dan keharmonian di antara pelbagai pendekatan yang diajukan. 



Bangsa Melayu itu sendiri juga terkenal dengan cara ia menyelesaikan sesuatu masalah itu secara sopan dan santun yang tinggi, tanpa mengabaikan pendekatan dan ajaran agama. Ini terbukti apabila diperhalusi, kita meletakkan nama bagi alat kelamin sebagai kemaluan. Asalnya malu. Alat tersebut memiliki status maruah dan rasa malu yang amat tinggi. Maksudnya, ia adalah sebagai sesuatu yang perlu dijaga secara baik dan sempurna sehingga akan terasa malu yang teramat sangat jika didedahkan kepada khalayak ramai. Amat memalukan jika ia terpampang. Malah, malu itu juga terhasil daripada ajaran agama Islam.

Rasa malu yang tinggi adalah gambaran kepada keimanan yang tinggi juga. Ini merujuk kepada sebuah hadis Rasulullah SAW bahawa malu itu adalah sebahagian daripada iman. Bahkan, diri kita sebagai sebuah bangsa yang pemalu, adalah bangsa yang kuat keimanan. Seterusnya, pendidikan dan kesedaran ini tidaklah perlu bermusim, diperkenalkan atau ditawarkan hanya pada waktu-waktu tertentu. Prinsipnya mudah. Ini kerana desakan dan naluri seksual individu manusia juga bukannya bermusim, atau muncul dalam tempoh-tempoh tertentu sahaja, terutamanya dalam kalangan kaum lelaki.

Pendidikan berterusan ini membantu manusia agar tidak lalai dan alpa dalam perkara ini. Manusia amat memerlukan bantuan dalam mendidik dan mendorongnya ke arah perlakuan seksualiti yang sihat dan produktif, bukannya yang membinasakan generasi sendiri. Itulah matlamat utama biologi seksualiti manusia. Oleh yang demikian, tidak akan wujud fahaman bahawa perlu wujud kes sumbang mahram dahulu, barulah kesedaran seksual manusia berkaitan sumbang mahram akan muncul, terbentuk dan terpupuk serta bercambah. Ia seumpama sudah terhantuk baru terngadah, dan sebagai manusia, kita pun semakin terus keliru. Inilah yang perlu dielakkan dan diselesaikan dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan