Setiap ahli politik
sepatutnya memahami bahawa kemenangan dan kekalahan dalam politik adalah
ditentukan oleh rakyat. Kedudukan mereka sama ada dalam jangka masa panjang
atau pendek adalah bergantung kepada sikap dan kecekapan mereka memerintah
negara. Apabila mereka diberi mandat untuk menerajui negara maka kebolehan dan
kecekapan mereka dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran akan dinilai rakyat.
Janji-janji ditaburkan semasa pilihan raya dahulu perlu direalisasikan dengan
pelbagai kegiatan yang boleh meyakinkan rakyat, walaupun ia sukar dilaksanakan
ketika negara berhadapan krisis kewangan.
Sikap keangkuhan dan
terlalu berbangga dengan kemenangan perlu dikikis dalam sanubari setiap ahli
politik yang diberi jawatan sebagai pemimpin masyarakat dan kerajaan. Muhasabah
diri amat perlu supaya sikap angkuh dan bongkak tidak wujud dalam pemikiran dan
jiwa setiap pemimpin. Sikap menghormati orang lebih tua dan berpengalaman dalam
hal ehwal pentadbiran dan kemasyarakatan perlu dijadikan sebagai tabiat atau
tatasusila keperibadian para pemimpin politik Islam.
Keangkuhan para pemimpin
politik Islam sama ada dalam kalangan parti memerintah atau pembangkang semakin
hari kian dipertonjolkan kepada masyarakat. Sikap cabar mencabar sesama sendiri
jelas menunjukkan kualiti dan kematangan pemimpin politik umat Islam adalah
tidak menepati konsep kepimpinan dalam Islam. Intisari dan isu-isu dibangkitkan
dalam pergeseran sesama mereka lebih menjurus kepada kemusnahan umat Islam dan
penghakisan kewibawaan Islam.
Setiap ahli politik umat
Islam usah mendabik dada mempertonjolkan diri bahawa kewibawaan dan kehebatan
mereka seolah-olah mempunyai persamaan dengan jaguh pemimpin Islam masa silam. Kelemahan
yang terdapat pada diri umat Islam masa kini dalam hal ehwal politik dan
pentadbiran hanya dapat dipertingkatkan melalui kerjasama sesama umat Islam
walaupun berbeza parti politik. Sebagai pemimpin muda yang mendapat amanah dari
rakyat untuk menerajui negara maka sikap dan tingkah laku dalam arena
berpolitik sepatutnya bertepatan dengan harapan rakyat.
Rakyat memilih parti
politik tertentu untuk menerajui negara adalah untuk mengembalikan kekuatan
umat Islam. Sikap terlalu takut kehilangan jawatan sehingga membelakangi
kepentingan umat Islam dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran negara perlu
dielakkan. Konsep kepimpinan Islam ialah melantik orang yang layak dan
berpengalaman menerajui negara walaupun mereka itu bukan dari parti politik
yang sama. Dalam keadaan kemelut politik umat Islam masa kini maka gabungan
antara ahli politik berwibawa tanpa mengira parti politik amat diperlukan bagi
menstabilkan hak dan kewibawaan umat Islam masa kini. Oleh itu bersatulah umat
Islam tanpa mengira perbezaan parti politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan