Dalam Al Quran, Allah telah berfirman yang bermaksud:
"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk
menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik
amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun, (bagi orang
yang bertaubat)." (Surah al-Mulk, ayat 2)
Antara tanda kekuasaan Allah SWT dan kehebatan pentadbiran-Nya jelas
kelihatan pada mati dan hidup. Sunnah al-mawt wal hayat dipamerkan kepada
manusia bersama matlamat yang diciptakan kerananya iaitu menguji siapakah
manusia yang paling baik amalannya. Ayat itu menyatakan, hidup di dunia selalu berhadapan
dengan kesusahan dan ujian. Manusia tidak seharusnya hilang pedoman dalam hidup
bagi memastikan diri mereka lulus ujian kerana ujian tidak mengenal kedudukan
atau memilih antara seorang dengan seorang yang lain.
Orang baik diuji, orang jahat juga diuji, begitu juga Mukmin dan kafir
juga diuji. Keadilan pemimpin diuji, kesetiaan rakyat juga diuji. Hidup dan
mati itu juga adalah ujian daripada Allah SWT. Hidup di dunia tidak pernah
mencatatkan adanya orang terselamat daripada ujian. Ada yang diuji dengan
penderitaan sakit dan tekanan perasaan. Ada kala diuji kehilangan orang
disayangi, dihimpit dengan keperitan kewangan, berhadapan kebencian orang dan
pelbagai ujian lagi.
Manusia berasa resah kerana tidak dapat berpaut kepada dahan yang kukuh.
Orang beriman akan menyerahkan dirinya kepada Allah SWT, mengharapkan Allah SWT
melindunginya ketika ditimpa bala, tidak bakhil untuk menolong orang lain
kerana rezekinya telah ditakdirkan lebih awal. Orang Mukmin tidak akan berasa kecewa
dengan sesuatu yang luput dan hilang daripada sisinya, dia tidak berasa resah
dengan ujian yang menimpanya kerana semua terjadi dengan izin dan takdir Allah
SWT. Segala keputusan Allah SWT adalah baik sekalipun manusia melihat
sebaliknya. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah SWT hendak
menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk
kamu)." (Surah an-Nisa', ayat 19)
Mengingatkan hakikat inilah Nabi SAW mengajar satu doa, "Ya Allah,
sesungguhnya aku memohon berlindung pada-Mu daripada hilangnya nikmat
pemberian-Mu, berpalingnya afiat daripada-Mu dan kejutan kemurkaan-Mu dan
berhimpun kemarahan-Mu." (Riwayat Muslim)
Syeikh Al-Saadi dalam tafsirnya menyebut, Allah SWT pasti menguji
hamba-Nya dengan kesukaran dan kepayahan kerana itu adalah sunatullah yang
tidak akan berubah, mereka yang bersabar pasti mencapai kebahagiaan dan
kekuasaan. Setiap Mukmin hendaklah optimis dengan bala dan ujian yang menimpa,
jangan sekali-kali berputus asa daripada rahmat Allah SWT. Ada ketikanya Allah
SWT tidak memberi sesuatu kepada hamba-Nya untuk melihat reaksinya terhadap
ujian. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan
Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan
Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu." (Surah Ali-Imran, ayat 26)
Bagi manusia yang diberi kuasa, kehilangan kuasa sesuatu yang tidak
disukainya. Dimuliakan, diangkat darjat serta dipuji menjadi rebutan semua
orang. Sebenarnya, yang baik dan buruk itu sangat relatif kerana ada keburukan
yang membawa kebaikan, begitulah sebaliknya. Peringatan kepada manusia, segala yang
dimiliki sama ada harta, kuasa atau cinta, ia hanyalah sementara. Allah SWT
berhak mengekalkannya atau ditarik bila-bila masa. Oleh itu, sentiasa bersedia
dengan hakikat kehidupan ketika mendapat nikmat atau sedang diuji oleh Allah
SWT.
Perkara penting yang menguasai perlakuan kita adalah pemikiran dengan
menetapkan dalam minda bahawa setiap ujian adalah untuk meningkatkan darjat
kita di sisi-Nya. Di samping meyakini bahawa setiap dugaan yang didatangkan itu
akan ada bersamanya hikmah. Apabila masa terlalu lama dan usaha menjadi sukar,
kesabaran manusia menjadi lemah. Oleh itu, di dalam banyak ayat Allah SWT
menggandingkan kesabaran dengan ibadat solat kerana solat adalah sumber bekalan
jiwa yang tidak pernah kering dan habis.
Ia sumber yang memulih tenaga dan memperbaharui bekalan kepada hati.
Kerana itu ia dapat memanjangkan hayat kesabaran dan menjadikannya tidak putus,
kemudian menambahkan kepada kesabaran itu keredaan, ketenangan dan keyakinan. Sudah
menjadi ketentuan Allah SWT, setiap usaha besar tidak akan berhasil kecuali
dengan keteguhan hati dan kesungguhan. Kunci semua itu adalah sifat sabar dan
sesiapa yang bersabar, maka pasti telah mengikut ketentuan Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan