Dunia ini medan bagi
segala amalan sama ada kebaikan atau keburukan di mana akan berlaku
pertembungan mereka yang bersama Allah dan mereka yang cenderung kepada hawa
nafsu. Setiap manusia diciptakan oleh Allah mempunyai nafsu. Nafsu yang ada
pada manusia adalah ujian Allah. Jika manusia mampu menguasai nafsunya bermakna
dia berjalan mengatasi sebahagian besar daripada ujian Allah yang cukup berat.
Sekiranya nafsu dididik ke arah kejahatan dan melalui sistem yang jahat, maka
nafsu akan menjadi jahat dan liar. Maka, akan lahirlah mereka yang mempunyai
kepandaian, tetapi digunakan ke jalan yang salah. Ini amat bahaya kepada kehidupan
manusia kerana masyarakat akan terdedah kepada kehancuran.
Justeru, nafsu perlu
dikenali tahapnya agar mudah diperangi kerana nafsu secara fitrahnya akan
membayangi kejahatan melainkan mereka yang mendapat rahmat daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT: "Sesungguhnya
nafsu itu akan mendorong kepada kejahatan melainkan nafsu yang diberi rahmat
oleh Allah SWT." (Surah Yusuf, ayat 53).
Nafsu amarah tidak dapat
dikawal dengan sempurna oleh hati, jika sekiranya hati tidak dapat dibantu oleh
ilmu, hikmah kebijaksanaan dan akal. Jika gagal, maka hati akan binasa.
Akibatnya, seseorang itu mudah terjerumus ke arah perbuatan yang melanggar
syariat, tidak beradab, tidak berperikemanusiaan, bertindak sesuka hati, zalim
serta pelbagai keburukan dan bencana kepada diri serta persekitaran.
Oleh itu, perjuangan
menentang hawa nafsu dianggap suatu pengorbanan yang amat dihormati dan
menjurus kepada jalan yang sebenar. Allah SWT menjelaskan dalam firman-Nya :
"Mereka yang berjuang ke jalan Kami,
nescaya Kami akan tunjukkan jalan Kami. Sesungguhnya Tuhan berserta dengan
orang yang berbuat baik." (Surah al- Ankabut, ayat 69).
Sesiapa yang bermujahadah
terhadap nafsu, akan ditingkatkan darjatnya kepada kedudukan yang lebih baik
dan Allah akan memberi petunjuk kepada segala perkara kebaikan. Maka, nafsu perlu dididik
dan diasuh mengikut telunjuk iman kerana nafsu adalah musuh utama kepada
manusia sebelum datangnya musuh kedua iaitu syaitan. Nafsu adalah musuh dalaman
sedangkan syaitan musuh luaran. Apabila nafsu sudah ditundukkan dan ia taat
kepada perintah Allah maka baharu syaitan akan dapat dikalahkan.
Sejarah nafsu bermula
sejak zaman Nabi Adam di mana nafsu mempengaruhi anaknya, Qabil untuk membunuh
saudaranya, Habil hasil daripada hawa nafsu dari dalam jiwa manusia. Demikian
Allah SWT membuat sesuatu ketetapan dalam kehidupan manusia berdasarkan ilmu
dan hikmah daripada-Nya agar dapat diklasifikasikan antara mereka yang terbaik
antara hambanya. Pelajaran ini adalah gambaran kepada kehidupan manusia pada
masa hadapan di mana perlakuan ini akan berterusan sehingga hari kiamat. Lalu,
Allah SWT mengembangkan pelajaran melalui seekor burung yang lemah sebagai
jawapan kepada pengurusan sesuatu jasad yang sudah kembali.
Umat Nabi Muhammad SAW
adalah umat akhir zaman yang sentiasa ke hadapan dalam mencorakkan kehidupan
berpaksikan ketaatan kepada Allah SWT. Hubungan sebenar antara mereka dan
Pencipta adalah ketaatan yang tidak berbelah-bahagi di samping ganjaran baik
yang dijanjikan Allah SWT. Firman Allah SWT:
"Mereka
hanyalah menunggu berlakunya ketentuan kepada orang terdahulu (azab). Maka kamu
tidak akan mendapati apa-apa perubahan selain dari ketentuan Allah
SWT." (Surah Fatir, ayat 43).
Sebenarnya dunia sudah
hampir sampai ke penghujungnya. Berlakunya ujian, fitnah dan kerosakan yang
berleluasa adalah tanda jelas akan kedudukan usia di dunia ini. Oleh itu,
bersegeralah dalam melakukan kebaikan di samping berhati-hati dengan dosa dan
kemaksiatan. Ingat bahawa hari yang kita lalui semakin sukar kerana hampirnya
kita dengan kiamat.
Sabda Rasul SAW bermaksud:
"Tiada seorang pun nabi yang diutuskan melainkan mereka menyeru umatnya ke
arah kebaikan dan menentang kemungkaran. Sesungguhnya umat ini menerima
kebaikan yang banyak pada awalnya dan diuji dengan fitnah dan kerosakan di
penghujungnya. Maka pada ketika itu berkatalah orang yang beriman: "Inilah
detik kemusnahan. Sesiapa yang ingin selamat, maka ikutilah jalan yang menuju
kepada Allah dan hari kiamat." (Hadis Riwayat Muslim).
Maka, berbahagialah buat
mereka yang mati di atas landasan tauhid yang sebenar. Dari sinilah kita
melihat bahawa maksud fitnah ialah sesuatu perkara yang berlaku dan memudaratkan
agama atau suatu nikmat dunia secara keseluruhan atau sebahagian daripadanya.
Segala kenikmatan dunia yang dikecapi manusia juga dikategorikan sebagai fitnah
bagi melihat sejauh manakah tahap kesyukuran seseorang terhadap nikmat
berkenaan. Firman Allah SWT:
"Kami
akan menguji kamu dengan kebaikan dan keburukan sebagai cubaan. Kepadanya juga
kamu dikembalikan." (Surah Al-Anbiya', ayat 35).
Begitu
juga ujian kepada harta dan anak pinak yang berkait rapat dengan godaan nafsu. Untuk menjamin
keselamatan, kita hendaklah memastikan jalan yang kita pilih agar mendapat
ganjaran yang dijanjikan itu. Fitnah dapat dibahagikan kepada dua kategori,
iaitu fitnah umum dan fitnah khusus. Fitnah umum ialah bencana yang menimpa
semua masyarakat tanpa mengira kedudukan mereka dan fitnah khusus ialah bencana
yang menimpa seseorang individu sama ada terhadap dirinya, agama, harta benda
atau keluarganya.
Kita juga akan melihat pertarungan yang sengit dalam
menghadapi pelbagai ujian yang terkadang akan menguji kesabaran dan emosi
sehingga kita berasakan bahawa kitalah orang yang paling malang di dunia ini
sedangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya. Kita lupa bahawa Allah SWT
menyediakan pelbagai bentuk bonus ganjaran kepada mereka yang diuji. Bagi mereka yang
menghadapi ujian getir dan menghadapinya dengan ketabahan serta bersabar di
samping terus berusaha, iman mereka akan bertambah dan mendapat ganjaran orang
yang bersabar. Mereka yang bersyukur dengan nikmat dikurniakan, akan mendapat
ganjaran orang yang bersyukur.
Sabda Rasul SAW:
"Alangkah hebatnya seorang Muslim di mana apabila ditimpa musibah mereka
sabar dan apabila dikurniakan nikmat mereka bersyukur. Itulah yang terbaik bagi
mereka." (Riwayat Muslim).
Ketahui segala kelemahan
kita dalam menghadapi ujian dari Allah SWT akan dapat ditampung jika sekiranya
kita penuhi kehidupan kita dengan amalan solat dan terus melakukan kebajikan
pada setiap masa.
Antara amalan penting
dalam masyarakat ialah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran kerana
ia akan menyelamatkan umat daripada bencana umum yang akan diturunkan kepada
semua seperti firman Allah SWT:
"Takutlah kamu akan seksaan yang
akan diturunkan kepada semua dengan kezaliman yang dilakukan oleh orang
lain." (Surah Anfal, ayat 25).
Dengan melakukan kebaikan
secara bersungguh-sungguh dapat menjinakkan hawa nafsu yang sentiasa rakus
dalam merencanakan kehidupan dunia. Ini antara tugas manusia yang dianugerahkan
sebagai khalifah di muka bumi bagi mengimbangi hawa nafsu yang cenderung kepada
kejahatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan