Melihat kecenderungan anak muda pada hari
ini dengan cenderung kepada fahaman agnostisisme adalah suatu fenomena yang
sangat kritikal dan kian membarah dalam jiwa anak muda hari ini. Hal ini boleh
terjadi kerana kepesatan teknologi maklumat yang berasaskan internet dibantu
dengan kecanggihan alat telekomunikasi yang sedia ada ini serta pelbagai laman media
sosial bebas dan terbuka seperti facebook, instagram, wechat dan whatsapp,
telah mendedahkan golongan anak muda Islam hari ini kepada pelbagai bentuk
aliran pemikiran dan ideologi semasa.
Dalam situasi masyarakat dunia hari ini
bercakap, berbincang dan berbahas tentang hak asasi manusia, sebahagian anak
muda merasakan mereka perlu diberikan hak dalam segala perkara. Slogan hak
asasi manusia yang kian hebat dipromosi seperti kebebasan bersuara, kebebasan
berfikir, kebebasan beragama dan pelbagai lagi telah menjalar masuk ke dalam
jati diri anak muda hari ini. Semua ini menjadi idealisme perjuangan bagi anak muda masa kini yang terpengaruh.
Dalam soal agama, mereka yang menganuti
fahaman songsang ini memperjuangkan keinginan mereka akan ruang yang seluas-luasnya diberikan supaya
golongan ini boleh berbahas, mengkritik, menerima atau menolak apa sahaja isi
kandungan agama. Bagi mereka, sekiranya ahli agama boleh menyatakan pendapat, mengapa
tidak mereka juga boleh menyuarakan pendapat biarpun tanpa menguasai disiplin
ilmu berkaitan bidang agama itu sendiri.
Agnostik adalah seseorang yang menganut
fahaman agnostisisme. Mereka mengatakan bahawa kebenaran yang pasti tidak akan
dapat diketahui. Tiada perkara yang bersifat tetap bahkan semuanya sentiasa
berubah-rubah ibarat sungai yang berubah-ubah arah aliran mengikut keadaan
masa. Mereka berpandangan tiada yang tetap di alam ini, dan ketidaktetapan
itulah ketetapan. Berasaskan fahaman sebegini, maka golongan ini membincangkan
pelbagai isu tentang ketuhanan, kenabian, agama-agama lain dan sebagainya.
Hasilnya, tiada konklusi kukuh yang
dicapai kecuali mengatakan semua pandangan bersifat relatif. Mungkin benar dan
mungkin salah. Tiada kebenaran mutlak pada mana-mana pihak. Akhirnya mereka
berkesimpulan, ilmu mengenai hakikat sesuatu perkara itu mustahil untuk dicapai
kerana tiada sesuatu pun yang bersifat tetap di alam ini. Golongan ini akan
terus menerus berada dalam keraguan yang berpanjangan dan tidak berkesudahan.
Pada hakikatnya, fahaman agnostisisme
adalah termasuk salah satu fahaman yang telah dijawab dalam perbahasan ilmu
kalam Islami. Ia adalah sekte yang wujud dalam faham sufasta’iyyah atau
sophisme. Bahkan Imam al-Nasafi di dalam Kitab Syarh al Aqa’id al Nasafiiyah
memasukkannya ke dalam perbahasan akidah. Beliau menyatakan hakikat segala
sesuatu itu adalah tetap, dan pengetahuan tentangnya boleh dicapai, bersalahan
dengan golongan sufasta’iyya.
Menurut al-Attas, kelompok ini berasal
daripada sebuah gerakan falsafah pada zaman Yunani kuno oleh saintis palsu yang
digelar sophist pimpinan Protagoras (480-410SM), Georgias (483-375SM), Hippias
(460-399SM) dan Prodicus (465-395SM). Mereka ini kelompok yang menyesatkan
dengan menyebarkan fahaman etika dan epistemologi relativisme.
Bagi mereka, hakikat kewujudan itu
tidaklah penting dan tidak akan pernah diketahui. Agama menurut mereka hanyalah
penipuan belaka. Ibadat ritual itu tiada gunanya serta validiti hukum itu hanya
sesuai untuk waktu dan tempat tertentu sahaja. Mereka juga memasukkan
benih-benih keraguan dalam ilmu dan kemungkinan untuk mendapatkannya serta
menerapkan faham skeptisisme.
Sekiranya kita teliti akan hal ini,
ciri-ciri fahaman yang telah digariskan oleh para ulama ini jelas terlihat pada
kelompok neo-sophist masa. Sebagai contoh, dalam hal ketuhanan, tiada sesiapa
yang boleh mendakwa hakikat ketuhanan yang sebenar. Masing-masing berhak
mengemukakan interpretasi tuhan mengikut daya pemikiran sendiri. Oleh itu,
tiada sesiapa boleh dipersalahkan dalam memahami konsep ketuhanan termasuk
mereka yang sampai ke peringkat menolak kewujudan tuhan. Ini kerana hakikat
ketuhanan itu memang sesuatu yang tidak boleh dicapai disebabkan kesemua
pendapat mengenainya boleh diragukan (al-la adriyyah).
Framework semisal inilah yang digunakan dalam
falsafah ilmu Barat moden dan diterima sepenuhnya oleh mereka. Maka yang perlu
kita diperbetulkan di sini adalah ilmu itu tidaklah neutral atau bebas nilai,
akan tetapi sarat dengan nilai. Oleh itu, ilmu yang lahir dari rahim Barat,
tidak dinafikan sarat dengan nilai-nilai Barat. Namun, menolaknya secara
mentah-mentah juga adalah suatu kebodohan. Kerana itu, ia boleh diterima tetapi
disaring terlebih dahulu.
Berdasarkan hakikat ini, amat penting
bagi setiap muslim untuk memahami epistemologi ilmu menurut Islam. Setiap
peradaban memiliki faham tersendiri tentang ilmu, demikian juga Islam. Bagi
Islam, epistemologi bukan sekadar teori tetapi ia adalah sebahagian daripada
akidah. Ini sudah dibahas oleh para ulama pada masa dahulu. Allah SWT berfirman dalam surah al-Nahl
ayat 78 yang bermaksud :
“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu
dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan dia memberi kamu pendengaran,
penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.”
Berdasarkan ayat ini, penglihatan adalah lambang kepada pancaindera dan pendengaran adalah lambang
kepada perkhabaran yang benar, manakala hati adalah lambang kepada akal yang
sihat. Menerusi tiga sumber inilah ia menjadi wasilah (jalan) kepada manusia
untuk memperoleh hakikat ilmu.
Firman Allah Azza Wa Jalla lagi dalam surah
al-A’raf ayat 179 yang bermaksud :
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi
neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi
tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai
mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan
Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk
mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka
lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”
Melalui
ayat firman Allah ini, jelas menunjukkan kepada kita kepincangan golongan yang
mengatakan manusia tidak mampu mencapai hakikat kebenaran mutlak. Inilah
fahaman sophisme atau sufasta’iyyah yang sangat ditolak oleh Islam. Ini yang
sering dipelajari dalam ilmu-ilmu falsafah Barat yang keliru lagi mengelirukan.