Isu pemakaian tudung ini adalah berpokok pangkalkan kepada pensyariatan menutup aurat bagi kaum wanita. Perkataan aurat berasal daripada bahasa arab. Dalam Lisan al Arab, Imam Ibnu Manzur menyatakan bahawa perkataan aurat itu membawa maksud setiap perkara yang mendatangkan malu apabila sesuatu itu terpamer atau terlihat.
Maka setiap perkataan, perbuatan dan
perkara yang boleh menimbulkan perasaan malu dan mendatangkan aib, dikira
sebagai aurat. Melalui pemahaman maksud ini, dapat kita fahami bahawa aurat itu
bertunjangkan perkara yang mengaibkan, memalukan dan perkara yang hilang
kehormatan.
Perbahasan aurat dikalangan para ilmuan boleh kita bahagikan kepada dua kerangka besar perbincangan iaitu aurat ketika solat dan ketika di luar solat. Aurat ketika solat adalah merupakan suatu tuntutan agama. Tetapi para ilmuan berbeza pendapat dalam perbincangan berkenaan aurat ketika di luar solat. Adakah ianya tuntutan agama ataupun kehendak budaya semata-mata.
Dikalangan ilmuan, mereka melihat
kandungan Al quran dan hadis itu kepada dua bentuk. Pendapat pertama, semua
ayat Al quran dan hadis itu adalah tuntutan agama. Pendapat kedua pula
berpandangan bukan semua ayat Al quran dan hadis itu tuntutan agama. Ini kerana
terdapat sebahagian ayat Al quran dan hadis berkaitan tuntutan dalam konteks
tertentu. Bagi golongan kedua ini, mereka berpendapat hukum boleh berubah
mengikut konteks semasa, masyarakat dan keadaan tertentu.
Dalam soal pemakaian tudung misalnya,
Allah Azza Wa Jall berfirman dalam surah Al Ahzab ayat 59 yang bermaksud :
"Wahai Nabi, perintahkanlah kepada
isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin,
hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka."
Firman Allah lagi dalam surah An Nur ayat
31 yang bermaksud :
"Katakanlah kepada wanita yang
beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya serta
janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali terpaksa nampak. Hendaklah
mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah mereka menampakkan
perhiasannya kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka..."
Berdasarkan dua ayat ini, sebahagian
ilmuan menyatakan bahawa arahan ini ditujukan khusus kepada isteri Nabi, anak
perempuan Nabi. Dalam masa sama, perintah ini juga ditujukan juga kepada
seluruh kaum wanita muslim. Allah juga telah memerintahkan kaum wanita menjaga
perhiasan (rambut, leher, dada) dari dilihat oleh orang lain selain suami dan
mereka yang mahram. Jika digabungkan dua ayat ini, menjelaskan bahawa perkara
ini adalah tuntutan bersifat agama.
Bagi sebahagian ilmuan lain pula, mereka
berpandangan bahawa kedua-dua ayat tersebut adalah merujuk kepada konteks
budaya arab semata-mata. Dalam konteks kebudayaan arab, yang mana cara tersebut
(menunjukan rambut, leher, dada) dapat menaikkan keinginan sehingga boleh
membawa kepada penzinaan.
Dalam ayat yang lain, dalam surah Al Ahzab
ayat 60 dan surah An Nur ayat 30-31, mereka berpendapat suruhan memakai tudung
itu adalah bertujuan melindungi wanita daripada diganggu dan daripada berlaku
zina. Maka sekiranya fahaman sesuatu budaya itu menganggap wanita tidak berasa
diganggu walau tidak memakai tudung, maka ayat itu tidak terpakai dalam konteks
masyarakat tersebut.
Oleh itu, mereka menyimpulkan suruhan
memakai tudung itu adalah berbentuk budaya arab. Bagi orang arab, tidak memakai
tudung adalah suatu keaiban. Tetapi budaya lain tidak menganggap ianya suatu
keaiban. Maka tidak boleh memaksakan orang lain mengikuti budaya arab yang
beranggapan seperti mereka. Demikian pandangan mereka yang berhaluan kiri dalam
soal membincangkan isu pemakaian tudung.
Walau bagaimana pun, Syaikh al Albani
menyenaraikan lapan kriteria pakaian wanita Muslimah berdasarkan ayat Al quran
dan hadis Nabi SAW antara lain beliau menyebutkan wanita itu mestilah memakai
pakaian yang menutup seluruh anggota tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan,
pakaian tersebut mestilah tebal dan luas (tidak ikut bentuk badan), tidak
memakai pewangi dan sebagainya. Ini membuktikan bahawa kriteria ini adalah
penekanan penting bagi wanita dan menjadi tuntutan dan suruhan agama bagi
melindungi wanita dan memelihara maruah harga diri seseorang insan yang
bergelar wanita
Tiada ulasan:
Catat Ulasan