Perkataan "feminisme" adalah
merujuk kepada sebuah gerakan perjuangan oleh wanita dalam usaha membela serta
menuntut hak kesamarataan tanpa bias gender. Gerakan feminisme secara
ringkasnya adalah suatu gerakan politik dan komitmen intelektual yang menuntut
keadilan untuk wanita serta menamatkan seksisme di dalam semua bentuk serta
merangkumi perspektif yang luas termasuk soal sosial, budaya, ekonomi dan politik.
Gerakan ini merupakan gabungan pemikiran dan ideologi sosialis – liberalis yang
mencantumkan makna kebebasan dan keterbukaan dalam menentukan pilihan
kehidupan.
Pada awal gerakan perjuangan feminisme
ini adalah berfokus melindungi hak-hak wanita terhadap pengalaman yang dialami
oleh golongan wanita. Perkara ini menjadi fokus mereka kerana dilihat kelemahan
wanita boleh dikesan secara merata sama ada dalam bidang ekonomi, politik dan
sosial. Pelbagai tuntutan dibuat terhadap sejarah asal dan perjuangan awal
gerakan ini yang membawa kepada terbentuknya gerakan dan falsafahnya yang
tersendiri. Namun setelah diberi ruang seluasnya kepada mereka maka apa sahaja
yang ditafsirkan sebagai sekatan terhadap wanita akan dibela.
Objektif feminisme ini walaupun pada
asasnya adalah bertujuan membela hak-hak kaum wanita namun dilihat pendekatan
gerakan ini digunakan berpotensi untuk memberi kesan dan impak kepada hak-hak
golongan lain yang turut dinafikan selama ini. Gerakan ini telah mengarus
perdanakan agenda mereka yang juga turut menyumbang kepada keluasan maksud hak
asasi manusia khususnya dalam menggabungkan makna terhadap hak-hak wanita. Kunci
kepada agenda gerakan Feminisme ini adalah melibatkan penyertaan wanita di
dalam ruang arus perdana tidak kira dalam apa jua bidang sekalipun.
Sejarah mencatatkan pada tahun 1995,
telah berlaku suatu persidangan Wanita Sedunia berlangsung di Beijing China.
Persidangan ini merupakan suatu sidang kemuncak yang memperkukuhkan tuntutan
hak-hak wanita sebagai bahagian utama di dalam Hak Asasi Manusia. Dalam
persidangan tersebut, dianggarkan seramai 17,000 peserta dan 30,000 aktivis yang
terdiri dari pelbagai latar belakang telah menghadiri persidangan
tersebut.Rentetan dari persidangan tersebut, maka lahirlah Deklarasi Beijing
dan Platform Tindakan yang memberi perjhatian kepada sector kritikal yang
melibatkan golongan wanita.
Pada asasnya, gerakan feminisme ini ada
baiknya perjuangan mereka ini. Dalam sejarah perjuangan mereka, gerakan ini
secara lantang bersuara berkenaan beberapa pengamalan budaya dan adat yang
dilihat merendahkan kedudukan serta martabat kaum wanita. Antara budaya yang
dikritik oleh gerakan ini adalah seperti amalan sati. Amalan sati adalah
merujuk kepada kepercayaan agama Hindu. Dalam amalan sati ini, balu yang
kematian suaminya turut dibakar bersama-sama mayat suaminya. Turut menjadi
penentangan mereka adalah amalan pembunuhan anak perempuan kerana mengutamakan
anak lelaki, perkahwinan kanak-kanak dan lain-lain. Namun beberapa agenda perjuangan mereka dilihat
menyimpang dari sudut agama dan moral. Antaranya mempertikaikan serta
mengkritik syariat poligami, mempertikaikan tentang pembahagian harta warisan
dan sebagainya.
Misalnya, isu aturan pemakaian skarf di
Iran selepas Revolusi Iran 1979, pernah menjadi kontroversi sehingga ada pihak
yang berani mencabar keputusan aturan tersebut di mahkamah. Muhammad Said
Ashmawi, seorang pemikir liberal pernah berhujah dengan mengatakan bahawa makna
sebenar bagi hijab terletak kepada menggagalkan seseorang daripada menyimpang
kepada keinginan nafsu seksual yang tidak sah tanpa perlu menggabungkan makna
sebenar ini dengan bentuk pakaian tertentu.
Leila Ahmed, seorang pendokong agenda feminism
di dalam “Women and Gender in Islam” membawakan sebuah tesis yang
ditulis oleh Qasim Amin telah mencetuskan provokasi apabila beliau menyatakan
perlunya suatu tindakan transformasi sosial budaya melibatkan wanita dengan
menyeru kepada penghapusan peraturan pemakaian tudung. Lord Cromer di dalam
penulisannya menyifafkan bahawa pemakaian hijab adalah salah satu faktor kemunduran
dan penderitaan kaum wanita di timur. Demikian beberapa lagi kenyataan,
penulisan dan pendirian ahli sosialis yang menyifatkan nilai agama tidak lah
jauh makna kecuali untuk mengongkong dan menyekat semata-mata.
Di Malaysia, pelbagai gerakan feminisme
wujud berlindung dibawah nama Hak Asasi Manusia secara agresif mula mempertikai
isu syariat termasuklah soal hijab, poligami, Marital Rape (rogol dalam
perkahwinan) dan pewarisan harta. Walau bagaimana pun, umat Islam hari ini
perlu lebih prihatin dan memandang serius terhadap isu-isu ini supaya diri kita
tidak terjerat dan terperangkap masuk dalam permainan falsafah golongan ini.
Perjuangan mereka adalah bertuhankan iedologi sosialis-liberalis berpandukan
kitab agung mereka iaitu Hak Asasi Manusia yang digubal dan di olah oleh akal
fikiran manusia yang cetek.
Hakikatnya, Allah Azza Wa Jalla jualah
selayaknya memberi dan mengiktiraf sesuatu hak kerana Dia lah yang menjadikan
kita manusia. Dia juga lah yang lebih mengetahui akan hak sebenar hamba Nya. Berjuang
tidak salah tapi biarlah di atas landasan dan neraca agama yang benar dan
selamat. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan