Jumaat, 10 Februari 2017

MEMAHAMI KAITAN ISLAM, SIRAH & GLOBAL

“Hari demi hari, luka-luka baru menjaluri tubuh umat, sedangkan luka-luka semalam belum menampakkan tanda-tanda akan sembuh”. Inilah satu ungkapan seorang yang mengambil cakna tentang Realiti Umat Islam Masa kini, dialah Dr. Majdi Hilali. Umat Islam masa kini sudah mula hilang identiti mereka. Kemunduran umat Islam telah sampai ke tahap kemuncak apabila jatuhnya Khilafah Uthmaniyah oleh Laknatullah Mustafa Kamal At-tartuk pada 3 Mac 1924. Maka tidak hairanlah pada masa kini, kita diheboh-hebohkan dengan pelbagai tohmahan dan cacian serta agenda-agenda dan propaganda-propaganda musuh yang hanyalah semata-mata mahu menjatuhkan umat Islam.

Allah berfirman kepada iblis dalam Al-Quran :

“Dan perdayakanlah sesiapa sahaja di antara mereka yang engkau (iblis) sanggup dengan suaramu (yang memukau), kerahkanlah pasukanmu terhadap mereka, yang berkuda dan yang berjalan kaki, dan bersekutulah dengan mereka pada harta dan anak-anak lalu beri janjilah kepada mereka.”

Kemudian Allah berfirman lagi dalam ayat yang sama, untuk mengenalkan kepada manusia siapakah sebenarnya Iblis,

“ Padahal syaitan itu hanya menjanjikan tipuan belaka kepada mereka”. (Surah Al-Isra’:64)

Melalui kata-kata Dr. Majdi Hilali dan Firman Allah sebentar tadi, saya lebih suka untuk mengaitkan penulisan saya ini kepada tiga perkara iaitu Islam, Sirah dan Globalisasi. Mengapa begitu? Teruskan membaca. Baiklah, bermulanya penulisan saya dengan satu persoalan, “Apakah wajar Islam itu dikenali sebagai ‘Islamophobia’?” Saya sama sekali seratus peratus tidak setuju dengan kenyataan sebegini. Saya tidak mahu kaitkan dengan isu ‘nine eleven’.Dan semuanya telah terbukti, ini adalah satu perancangan musuh Islam yang sangat sistematik dengan pelbagai teori konspirasi yang mengatakan bahawa ini adalah rancangan ‘FREEMASON’ dan sebagainya. Kemungkinan ada kebenarannya. Tetapi bukanlah ini yang ingin saya bicarakan dalam penulisan saya. Mengapa musuh-musuh Islam begitu mudah mengeluarkan propaganda sebegitu.



Hal ini kerana, umat Islam itu sendiri lemah dalam memahami hakikat sebenarnya agama Islam dan umat Islam kini berada pada zaman kemunduran umat Islam. Apakah yang dimaksudkan dengan Islam? Hakikat Islam yang sebenar dapat kita teliti melalui maksud Islam itu sendiri. Daripada sudut bahasanya Islam berasal daripada perkataan ‘سلم’ yang membawa kepada tiga makna iaitu, pertamanya bermakna ‘Selamat dan Terjamin’, keduanya bermakna ‘Bebas dan Bersih’ dan ketiganya bermakna ‘Menyembah dan Menyerah’. Justeru, apabila kita menggunakan akal fikiran kita dengan lebih rasional, kita akan mampu memahami apakah yang dimaksudkan Islam daripada sudut Istilahnya. Jadi, apabila kita menggabungkan ketiga-tiga makna tersebut, orang yang mengisyhtiharkan dirinya sebagai seorang Muslim, maka sudah tentu dia adalah seorang yang ‘Selamat dan Terjamin daripada dimasukkan ke dalam neraka Allah SWT’ dan juga seorang yang ‘Bebas daripada aib dan Bersih daripada celaan Allah SWT’ serta merupakan seorang yang ‘Menyembah dan Menyerah diri sepenuhnya kepada Allah SWT’.

Di sini, kita dapat lihat kesyumulan Islam melalui konsep Rububiyyah (Allah kepada manusia) dan Uluhiyyah (manusia kepada Allah). Hal ini terbukti selepas peristiwa ‘Nine Eleven‘ apabila ‘International Speaker’ iaitu Dr. Zakir Naik semasa ucapannya dalam rancangan ‘PEACE TV’ mengenai ‘Terrorism and Jihad in Islamic Persepctive’. Beliau mengatakan bahawa, “Dalam masa sebulan selepas peristiwa ‘nine eleven’ sebanyak 20000 orang telah memasuki Islam di Amerika.” Hal ini kerana mereka tidak mengambil maklumat tersebut dengan membabi buta sahaja, bahkan mereka mengkaji satu persatu sehingga mereka menemui kebenaran dan hakikat yang sebenar di mana, Islam bukanlah seperti mana yang dipropagandakan oleh musuh-musuh Islam. Maka terbuktilah kebenaran dan mukjizat Al-Quran.

Allah berfirman:

Katakanlah (Muhammad), “Berimanlah kamu kepadanya (Al-Quran) atau tidak usah beriman (sama sahaja bagi Allah). Sesungguhnya orang yang telah diberi pengetahuan sebelumnya, apabila (Al-Quran) dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur wajah dan bersujud.”

Dan dalam ayat seterusnya,

“dan mereka berkata, ‘Maha Suci Tuhan kami, sungguh janji tuhan kami pasti akan dipenuhi.'”

Dan Allah berfirman lagi,

“ dan mereka menyungkur wajah sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk.” (Surah Al-Isra’: 107-109)

Siapa tidak kenal ‘Cat Stevens’ yang sekarang lebih lunak dikenali sebagai Yusuf Islam selepas beliau mendapat hidayah (near-death experience) pada tahun 1978, dan beliau sangat bergiat sebagai seorang pendakwah Islam tegar. Kini, beliau telah mendirikan yayasan kemanusiaan Small Kindness yang daripada mulanya membantu mangsa kelaparan di Afrika dan kini yayasan beliau membantu ribuan anak yatim dan keluarga di Balkan, Indonesia, dan Iraq. Lihatlah antara sumbangan beliau setelah memeluk Islam. Antara rakaman beliau ialah The life of the Last Prophet, Prayers of the Last Prophet, A is for Allah, dan I look I see. Inilah salah satu contoh pendakwah. Maka, betullah apa yang diperkatakan oleh Dr. Zakir Naik, “One of the best type of Jihad is Dakwah.” Ini terbukti dalam sirah Nabi Muhammad SAW dan kenapa kita perlu hairan, ketika mana Sayyidina Umar mengisyhtiharkan dirinya sebagai seorang Muslim, kehidupan beliau berubah dan berputar 180 darjah kepada yang lebih baik.




Daripada menjadi seorang musuh tegar mencaci dan menghina Baginda SAW kepada menjadi ‘Personal Assistant’ yang sangat setia selepas Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq. Sehingga dikisahkan bahawa, Sayyidina Umar mahu memenggal kepala individu yang mengatakan Rasulullah sudah wafat. Begitu sekali cinta para Sayyidina Umar kepada Rasulullah SAW. Bagaimana pula kita? Kita perlu sentiasa persoalkan dalam diri kita, sekiranya benar cinta kita kepada Rasulullah SAW, maka tidak cukup sekadar kita mempelajari teori semata-mata. Bahkan sudah tiba masanya sekarang kita mengambil Rasulullah sebagai ‘Uswatun Hasanah’ dalam semua aspek kehidupan sama ada daripada segi ‘RUHIYYAH’, ‘AQLIYYAH’, dan ‘JASADIYYAH’. Suka saya tegaskan di sini, realiti umat Islam kini mengambil Rasulullah sebagai contoh hanya dalam aspek yang sesuai dengan dirinya. Seolah-olah, Rasulullah sekadar model ikutan yang sama seperti Mahatma Ghandi, Aristotle, Hercules. Sebenarnya tidak!
Sebagai umat Islam, Allah tegaskan dalam Al-Quran dengan penggunaan Uslub Taukid:

“Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah SAW itu, suri teladan yang baik bagimu”,

Kemudian Allah sambung lagi dalam ayat yang sama,

“ bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah.” (Surah Al-Ahzab:21)


Wahai para pembaca sekalian, bahkan dalam ‘ULUM NABAWI’, terdapat 5 perkara yang dibahaskan dalam ilmu ini, di mana sekiranya salah satu sahaja yang diambil daripada 5 perkara ini, maka seseorang itu belum lagi dikira seorang yang menguasai Ulum Nabawi. Pertamanya ialah ‘Syamail Muhammadi’, Keduanya ialah ‘ad-Dalail’, ketiganya ialah ‘Fadhail’, keempatnya ialah ‘Qasais’ dan kelimanya ialah ‘Sirah’. Hanya dengan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi sahaja yang mampu untuk kita menemui hakikat kebenaran dan tujuan kita diutuskan ke muka bumi ini. Setuju atau tidak apabila saya mengeluarkan kenyataan ini untuk kita sama-sama berfikir dengan lebih mendalam. Al-Quran yang akan membawa kita kepada HIDAYAH Allah dan dengan mengikuti Sunnah Nabi yang akan membawa kita kepada TAUFIQ Allah. Moga-moga penulisan saya terjawab mengenai 3 persoalan yang ingin dibicarakan iaitu Islam agama yang syumul, pelajari sirah kenali Rasulullah dan kembali kepada ajaran Al-Quran adalah resolusi terbaik untuk permasalahan globalisasi masa kini. Termasuk juga permasalahan Islamophobia. Syeikh Abu Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi menulis kitab ‘Apakah Derita Yang Akan Melanda Dunia Apabila Umat Islam Mundur’ menunjukkan satu kerugian yang besar sekiranya umat Islam mundur dan satu kerugian yang lebih besar dalam tamadun dunia apabila tidak mengambil Islam sebagai satu sistem kehidupan yang Syamil, Kamil dan Mutakamil.

Khamis, 2 Februari 2017

MENCARI KEBAHAGIAAN ATAS JALAN REDHANYA

Bahagia belum tentu tersimpan di istana yang megah. Bahagia pada sepasang kekasih tentu ada pasang surutnya. Di manakah bahagia? Pada keluasan ilmu, rezeki dan pangkat, ataukah duduk bercengkerama dengan isteri dan anak-anak? Ternyata itu semua boleh juga menggoncang perasaan, memerah otak jadi lemah, badan kering dan layu, sakit di hati yang susah mengubatinya. Pakar-pakar motivasi menyatakan: ”Anda adalah apa yang anda fikirkan tentang diri anda”. Manakala hadis Rasulullah SAW memberi petua lagi bernas, sabdanya: ”Sungguh hebat keadaan orang mukmin, mereka sentiasa berkeadaan baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali pada diri orang mukmin. Jika ia mendapat kesenangan ia bersyukur, hal ini merupakan kebaikan. Dan jika ia ditimpa kesusahan ia bersabar, itu juga merupakan kebaikan.” Hadis riwayat Imam Muslim. 

Semuanya baik, baik dan baik. Apa-apa yang Allah SWT pilihkan untuk kita adalah baik. Bila sakit ubatnya adalah senyum dan reda. Diuji dengan kekurangan harta tidak menjadi masalah bagi orang yang percaya bahawa bukankah selama ini Allah SWT telah memberi lebih banyak daripada mengambil? Ibnu Mas’ud RA apabila ditanya: ”Apakah engkau bersedih kerana kehilangan sebelah kakimu?” Beliau menjawab: ”Bukankah Allah telah meninggalkan untukku yang sebelah lagi?”
Orang banyak mengatakan: ”Bahagia itu adalah kepuasan hati.” Tapi pernahkah kita berfikir bahawa manusia tidak akan pernah puas? Selagimana ia berada di dunia ia pasti berhadapan dengan kekurangan. Kurang popular, kurang kaya, kurang cantik, kurang sihat dan pelbagai tuntutan nafsunya yang tidak akan pernah terpenuhi dengan sempurna. Selamilah dasar hati anda, percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu ada pada sifat redha. Ia bagaikan ubat yang menyejukkan orang yang demam. Seperti rimbunan pohon di tengah panas yang terik, umpama hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa memujuk hati yang luka. Sesungguhnya apa-apa yang datang kepada kita adalah baik belaka kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang ’sesuai’ untuk kita. Dia yang memilih, yang Maha sempurna aturan-Nya, yang suci dari cacat cela atas segala pentadbiran-Nya.
Sebagai manusia biasa ada kalanya kita ’tidak terima’ dengan apa yang terjadi pada diri. Tapi biarlah perasaan itu dikawal pada paras hanya ’terkejut’ di puncaknya, kemudian surut dengan perasaan reda atas ketentuan-Nya. Firman Allah SWT: ”Allahpun reda ke atas diri mereka dan merekapun reda dengan pemberian-Nya.” Surah Al-Bayyinah: 8.
Ada dua rahasia yang terkandung dalam kalimah Allah tersebut, yang pertama adalah ayat ini cuba memujuk kita bahawa apa-apa yang datang kepada kita semuanya adalah hadiah pemberian Allah. Ujian itu sebenarnya hadiah yang paling mahal tetapi kekadang manusia menganggap cuma nikmat yang paling berharga. Yang kedua adalah wujudnya hubungan kasih sayang antara Allah dan hamba-Nya. Sayang akan melahirkan reda ke atas apa saja yang dilakukan oleh orang yang kita sayang. Kerana sayang, masakan isteri yang kurang garam terasa sedap juga. Kekasih yang menduga dan menyakiti hati kita terpaksa kita reda sebab sayang.
Tetapi mengapa pula kita merajuk jika Allah SWT menguji kesetiaan cinta kita. Jika sakit mengeluh panjang, lupa dengan hari-hari ketika ia sihat. Kalau rugi semua orang diamuk, di pejabat, di pasar, di rumah, di jalan raya semua terkena tempias kemarahannya. Rugi yang sedikit itu telah menutup kurniaan Allah yang banyak pada rezekinya selama ini. Betapa sengsaranya orang yang tiada sifat reda. Hidup tidak tenang, dikejar rasa takut, hati rasa kosong padahal peti besinya penuh dengan duit. Segala hiburan dan perhiasan dunia memang boleh mendatangkan bahagia tapi bukan bahagia yang ’diam’ dalam hati, ia cuma menempel sebentar di dinding hati kemudian lenyap begitu cepat. Carilah bahagia yang hakiki di atas jalan yang telah dibentangkan oleh kekasih Allah, Muhammad SAW. Bahagia itu adalah reda. Cukup senang formulanya tetapi susah dilakukan kecuali oleh orang yang bijak mengawal perasaan lagi beriman.
Tanda-tanda reda ada tiga. Pertama adalah Kata-kata yang baik ketika menerima ujian Allah. Innalillahi wainna ilaihi rajiun (Kami adalah milik Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan). Bukan sumpah serapah dan maki hamun rasa tak puas hati. Yang kedua ketika susah ingatlah dengan nikmat Allah yang banyak. Di situ anda akan berasa beruntung dengan apa yang ada pada diri. Yang terakhir, ikhtiar jangan berhenti. Reda bukan bermakna menerima tanpa usaha. Itu adalah putus asa dan pesimis namanya. Tapi reda adalah semangat yang membangkitkan hati yang sedih, yang menajamkan akal fikiran, menguatkan hentakan kaki dan membuahkan idea yang bernas untuk berjaya. Jadilah orang yang bahagia dengan kekuatan yang tersimpan dalam mestika yang bernama reda kepada Allah.