Islam mengembalikan kemuliaan wanita yang pada mulanya
dianggap rendah tarafnya oleh masyarakat Arab jahiliah. Allah Azza Wa Jalla
memuliakan manusia terutama mereka yang beriman yang terdiri daripada lelaki
dan wanita. Justeru dengan kemuliaan inilah manusia diberikan amanah ke atas
setiap diri individu untuk menjaganya agar tidak tercemar. Berbicara mengenai
wanita, pastinya kurang lengkap jika tidak menyentuh perihal aurat. Sesetengah
wanita memandang enteng mengenai aurat sehingga ada dalam kalangan mereka 'menutup
tetapi terbuka'. Ada juga apabila diajak menutup aurat dijawabnya diri belum
bersedia untuk bertudung sepenuhnya. Adakah itu jawapan atau sekadar alasan? Ulama
bersepakat menyatakan aurat berasal daripada kalimah ’Arun, bermakna celaka.
Ini kerana sering kali pendedahan aurat membawa kepada kecelakaan dan
kerosakan. Perkataan Iryan juga membawa makna aib dan memalukan.
Orang yang mendedahkan aurat adalah berkelakuan tidak sopan
dan sangat buruk. Aurun pula membawa makna sesuatu yang menjijikkan. Kerana
inilah juga lelaki diwajibkan menundukkan pandangan daripada melihat aurat
wanita yang dianggap jijik, dan ia termasuk dalam perkara dosa. Dosa boleh
diistilahkan sebagai sesuatu yang menjijikkan jika diperlakukan. Maruah adalah
lambang ketinggian nilai seseorang manusia. Andainya maruah seseorang itu
tercemar, nilai dan harga diri seseorang itu sudah tidak ada lagi. Hakikat
semula jadi manusia mempunyai perasaan malu jika bahagian tertentu daripada
badan dipertontonkan kepada khalayak ramai. Mendedahkan aurat sama seperti
tidak berpakaian. gejala rogol, gangguan seksual, pencabulan kehormatan dan
lain-lain banyak berpunca daripada cara berpakaian yang tidak menutup aurat. Maka
hukum yang menjadi peraturan dan panduan dalam Islam semuanya adalah untuk
menjaga dan menjamin maruah wanita terutamanya daripada gejala yang tidak sihat
berlaku.
Allah menciptakan
wanita dengan pelbagai keistimewaan diri, seperti kecantikan rupa paras dan
fizikal, lemah-lembut, kehalusan kulit dan lain-lain berbeza dengan kaum
lelaki. Sehubungan dengan itu, salah satu syariat-Nya ialah mewajibkan wanita
menutup aurat. Tujuannya adalah untuk
memuliakan dan menghormati nilai diri setiap Muslimah. Pendedahan aurat adalah
sangat hodoh dan buruk di sisi syariat.
Mendedahkan aurat kepada orang yang bukan mahram secara tidak langsung
mencacatkan sifat dan darjat kemanusiaan yang mulia, menunjukkan akhlak yang
rendah dan merosakkan masyarakat. Wanita yang sengaja mendedahkan aurat adalah
golongan yang dianggap tidak amanah terhadap diri sendiri yang diperintah Allah
agar menutupnya dengan rapi dan sempurna. Allah Azza Wa Jalla telah berfirman :
"Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya
menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara
kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka
kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher
bajunya dengan tudung kepala mereka,"
(Surah Al-Nur: 31)
Nabi SAW menyifatkan malu adalah sebahagian daripada iman.
Menutup aurat dengan berpakaian yang sempurna dan timbulnya rasa malu dalam
diri adalah suatu fitrah naluri keinsafan yang hanya terbit daripada jiwa
manusia yang beriman. Antara tanda pergi dan hilangnya iman ialah hilangnya
perasaan malu. Nabi SAW bersabda:
"Sifat malu dan
iman itu seiringan. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan
hilang."