Sabtu, 2 Jun 2018

PERISTIWA NUZUL AL QURAN


Dalam bulan Ramadan, terdapat satu peristiwa agung yang berlaku dan ianya dirakamkan di dalam alquran. Peristiwa agung ini disebutkan sebagai “Nuzul Al Quran” atau dalam bahasa melayunya ialah penurunan al quran. Di bulan Ramadan, selain kita disyariatkan untuk berpuasa disamping melipat kali gandakan beberapa amalan sunat tertentu, kita juga seringkali diperingatkan tentang peristiwa agung ini. Penurunan al quran ini melalui dua peringkat. Peringkat pertamanya, diturunkan dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah (langit dunia). Peringkat keduanya, dari Baitul Izzah terus kepada junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW secara berperingkat-peringkat dalam tempoh sejak Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi rasul sehinggalah baginda wafat selama tempoh 23 tahun. Sejarah penurunan al quran ini menjadi satu keistimewaan bagi umat islam kerana isi kandungannya dijamin oleh Allah Azza Wa Jalla, tiada sesiapa pun yang akan dapat mengubahnya dan al quran ini akan kekal terpelihara hingga tiba hari kiamat.

Dalam sejarah peristiwa agung ini, para ulama bersepakat menyakini bahawa al quran telah diturunkan pada bulan Ramadan. Hal ini para ulama tidak bercanggah pendapat. Malah dijelaskan oleh Allah Azza Wa Jalla melalui firman Nya yang bermaksud :

"Bulan Ramadan yang Kami turunkan dalamnya al-Quran yang menjadi pertunjuk untuk manusia”

(Surah al-Baqarah, 185)



Namun begitu para ulama telah berselisih pendapat dalam menyatakan berapa haribulan kah al quran diturunkan. Ada pendapat yang menyatakan pada 21 Ramadan. Ada pula pendapat yang menyatakan pada 24 Ramadan. Di tempat kita seringkali kita dengar pada 17 Ramadan. Ianya juga sebahagian pendapat yang dikemukakan oleh para ulama. Apa-apa pun semua umat islam akur bahawa al quran ini telah diturunkan dalam bulan Ramadan, bulan yang penuh kesucian. Malah apa yang lebih penting dari perselisihan tarikh ini, kita seharusnya lebih memahami isi kandungan yang telah difirmankan oleh tuhan dan menghayati tujuan sebenar penurunan al quran.

Al Quran diturunkan kepada sekalian manusia untuk dijadikan sebagai petunjuk, pedoman dan pegangan sepanjang hayat. Ianya merupakan kalam tuhan yang lengkap untuk dijadikan sebagai manual kehidupan. Padanya merupakan penawar bagi hati yang duka, penenang di jiwa dan menyuntik motivasi di minda. Al Quran yang kita sering baca pada hari ini, bukan sahaja dihayati dan difahami oleh orang islam, malah ianya turut dikaji oleh golongan sarjana Barat untuk menilai sejauh mana kehebatan dan kebenaran yang ada padanya. Dalam beberapa siri kajian yang telah mereka lakukan, mereka akui bahawasanya Al Quran telah banyak membicarakan sesuatu perkara merentasi masa yang akan kita lalui. Beberapa penemuan baru sians telah lama dibicarakan di dalam Al Quran.

Diturunkan Al Quran, bukan sahaja untuk dibaca dengan lenggokkan lagunya yang syahdu. Al Quran bukan sahaja untuk dihiasi di laman rumah, bukan sahaja untuk dijadikan program tadarus di bulan Ramadan, tetapi jauh lebih penting, ianya perlu difahami dan di praktikkan dalam kehidupan seharian. Hari ini, ayat-ayat al quran seringkali dijadikan barang dagangan oleh ahli politik untuk mengangkat kepartian mereka. Tidak kurang juga, sesetangah agamawan menjadikan ayat-ayat al quran sebagai barang jualan untuk melariskan produk mereka. Fenomena mengeksploitasikan al quran ini harus dibanteras dan di kekang oleh pihak yang bertanggungjawab. Sedarlah kita, al quran merupakan kitab suci dari kalam tuhan yang Maha Suci. Padanya tiada keraguan, semuanya tentang kebenaran yang harus diyakini. Marilah sama-sama kita berazam untuk terus mendalami isi kandungan al quran dan menjadikan kefahaman ini untuk di praktikkan dalam kehidupan seharian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan