Rabu, 16 Mei 2018

TERIMA KASIH CIKGU !


Sesungguhnya tanggal 16 Mei amat penting dan sangat bermakna kerana kita semua mempunyai guru yang telah banyak berjasa kepada kita dan inilah waktu yang terbaik untuk meluahkan setinggi tinggi rasa terima kasih,penghargaan,dan penghormatan terhadap mereka yang telah banyak menyumbang jasa dan bakti kepada agama,bangsa,dan negara. Pepatah Melayu ada berkata, “Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain”,menunjukkan pengorbanan seorang guru yang bersusah payah memberi didikan yang sempurna kepada kita semua. Sememangnya tugas sebagai seorang guru bukanlah satu tugas yang mudah. Tugas guru semakin mencabar kerana zaman dan keadaan telah berubah maka guru sebagai penjana transformasi pendidikan perlu memikul semua perancangan pendidikan yang telah dirancang oleh kerajaan. Selain itu, guru juga mendepani pelbagai onak dan cabaran terutamanya dalam melayani kerenah anak-anak muridnya.

Antaranya, ada saja dalam kalangan pelajar yang menimbulkan masalah disiplin malah guru guru juga terpaksa berhadapan dengan segelintir ibu bapa yang menuding jari ke arah guru apabila timbul sebarang masalah. Guru jugalah yang menjadi sumber inspirasi anak watan bagi memacu aspirasi negara ke arah Wawasan 2020. Di samping itu, guru juga menjadi wadah penyemai perpaduan. Guru- guru bertanggungjawab menanam sifat perpaduan dalam jiwa generasi muda. Hari ini merupakan hari yang amat sesuai untuk kita mengenang dan menghargai jasa guru. Tarikh 16 Mei setiap tahun telah dipilih sebagai Hari Guru. Guru merupakan insan yang mendidik, mengasuh dan membimbing kita sehingga kita dapat mencapai kejayaan haruslah kita sanjung. Kesabaran dan kesungguhan mereka mendidik kita amatlah besar nilainya. 



Seharusnya jasa itu dikenang sepanjang hayat. Guru tidak pernah jemu mengajar kita supaya kita dapat membaca, menulis dan mengira. Guru juga merupakan pengganti ibu bapa kita di sekolah. Oleh itu, kita mestilah menghormati guru. Segala nasihat dan tunjuk ajar guru mestilah kita dengar dan patuhi. Jangan sesekali kita abaikan segala nasihat dan bimbingan mereka. Hakikatnya, guru ialah orang yang sering memberi semangat kepada kita untuk rajin belajar sehingga kita berjaya. Mereka sedia mendengar segala masalah yang kita fahami dalam pelajaran. Oleh itu, guru merupakan pendidik yang sangat berdedikasi semasa mengajar kita. Wahai para guru yang kami sayangi, jutaan terima kasih kami ucapkan kerana tidak pernah jemu mendidik kami dengan sabar. Jasamu sungguh bererti kepada kami semua. Disebalik pembangunan negara yang maju dan jaya, tanpa kita sedari ianya bermula dari penat lelah seorang guru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan