Selasa, 8 Mei 2018

MEMILIH ADALAH SATU TANGGUNGJAWAB BERSAMA


Tarikh pilihanraya akan menjadi satu tarikh penting dan paling bermakna buat kita semua sebagai rakyat Malaysia yang berpegang teguh pada sistem demokrasi berparlimen. Di saat dan ketika itu, kita sebagai rakyat marhaen ini diberikan mandat dan kepercayaan untuk memilih siapa yang kita mahu melantik sebagai wakil suara kita. Pada saat ini, sudah tentu kita semua mempunyai pilihan dan keyakinan yang tersendiri. Bercakap soal memilih pemimpin, rata-rata dikalangan kita mempunyai ciri-ciri tertentu yang kita mahukan untuk meletakkan kepercayaan memilih pemimpin. Barangkali ada yang mengatakan, seseorang haruslah berpegang teguh pada agama. Ada juga yang mahu seseorang pemimpin itu bijaksana dan berpengalaman luas dalam mengurus dan sebagainya.


Dalam hal ini, Syaikhul Islam Al Imam Ibnu Taimiyyah menyebutkan dalam kitab nya al-Siyasah-al-syariyah fi Islah al Ra’i wa al Ra’iyah, beliau meletakkan dua ciri pemimpin yang mesti dimiliki iaitulah al amin (amanah) dan al qawiy (kuat). Al Amin adalah bermaksud amanah, jujur dan telus dalam kerjanya. Tidak pecah amanah dan senantiasa dipercayai dalam melaksanakan tugasnya. Al Qawiy pula adalah bermaksud kuat, bijaksana serta berkemampuan menguruskan sesuatu. Kuat itu merujuk kepada kemahiran beliau untuk menguruskan sesuatu tugasan. Dua ciri yang diletakkan oleh Syaikhul Islam ini dilihat sangat efektif dan mudah untuk kita jadikan panduan sebagai memilih pemimpin. Dua ciri yang disebutkan ini dilihat menjadi keseimbangan kepada sesuatu kepimpinan. Kepimpinan politik tidak semestinya yang kuat imannya. Sekiranya kita bergantung kepada orang yang kuat imannya, barangkali imannya kuat tetapi dari segi kepimpinan atau pengurusan mungkin mempunyai beberapa kelemahan tertentu.





Seorang sahabat Nabi bernama Abu Zar, seorang sahabat yang Nabi sayang dan Nabi pernah menyebut bahwa orang di langit mengenalinya. Ini menunjukkan bukti bahwa betapa soleh dan baiknya Abu Zar ini. Tetapi apabila Abu Zar meminta jawatan daripada Nabi, Nabi bersabda sesungguhnya engkau itu lemah sedangkan jawatan itu adalah amanah. Abu Zar adalah seorang sahabat yang soleh dan disayangi Nabi, namun kerana Nabi tahu beliau lemah dalam hal politik, maka Nabi tidak melantik beliau untuk memegang jawatan. Hal ini menunjukkan, kadang ada dikalangan kita yang rutinnya rajin beribadah kepada Allah, soleh dan baik peribadinya namun dalam masa yang sama dia mempunyai kelemahan tertentu yang tidak boleh melayakkan dia untuk memimpin sesuatu amanah. Kerana itu, al amanah dan al qawiy adalah syarat penting untuk kita menilai sebelum membuat pilihan.


Kadang kala, umat islam terpaksa berhadapan dengan dua fenomena yang menjadi dilema untuk memilih pemimpin. Satu tokoh yang ada kemampuan tetapi kurang amanah. Satu tokoh lagi yang ada amanah tetapi kurang kemampuan. Kemampuan di sini bermaksud kurang kemahiran untuk mengurus tadbir sesuatu perkara. Siapa yang hendak kita pilih ? Kita hendaklah memilih orang yang paling memberi manfaat kepada kedudukkan jawatan tersebut. Sekiranya jawatan tersebut ialah bendahari, tugasnya menjaga harta, maka hendaklah kita memilih orang yang beramanah sekalipun dia kurang kemahiran dalam pengurusan. Kerana pengurusan harta berkehendakkan kepada orang yang berintegriti tinggi dan tidak pecah amanah. Sekiranya jawatan tersebut ialah jawatan tentera atau polis, maka hendaklah kita memilih mereka yang kuat tenaga nya sekalipun mereka itu kurang beramanah kerana ianya sangat bertepatan dengan skop kerjanya.


Pilihan ada di tangan kita semua. Setiap dikalangan kita mempunyai hak yang sama iaitu hak memilih orang yang kita percayai. Maka pilihlah dengan kepercayaan bukan dengan emosi dan sentimen ketaksuban. Taksub pada sesuatu ideologi politik boleh membawa kepada perpecahan ummah. Kita semua mesti diingatkan, politik adalah sebahagian daripada agama dan politik adalah ijtihad kepada sesuatu urusan, tidaklah sehingga menyebabkan kita terkeluar daripada islam sekiranya tidak menyokong ideologi tertentu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan