Ahad, 13 Mei 2018

KERANA APA MANUSIA MULIA ?


Manusia tidak dapat lari daripada sikap bangga dalam dirinya. Sama ada bangga itu kerana negaranya, bangsanya mahupun kerana keturunannya, sesiapa sahaja tidak boleh menafikan kewujudan sifat kebanggaan itu dalam diri setiap manusia. Untuk merasai bangganya akan sesuatu bangsa kaumnya. tidaklah menjadi satu kesalahan. Namun untuk berbangga dengan bangsa dan kaum sendiri sehingga menghina kaum yang lain, bukanlah sikap yang terpuji malah dilarang oleh islam. Malangnya bagi kita hari ini, sikap kebanggaan itu telah mencetuskan beberapa fenomena yang tidak sihat untuk perpaduan nasional seperti mengutuk, menghina dan mengherdik bangsa dan kaum. Diatas pelbagai isu dan sentimen yang dimainkan, semuanya umpama halal untuk mengherdik dan menghina sesuatu bangsa dan kaum. Fenomena ini dilihat tidak sihat untuk agenda perpaduan nasional.

Sikap menghina, mengherdik dan memaki hamun ini tercetus akibat dari perasaan bangga yang akhirnya menimbulkan rasa lebih mulia dari orang lain. Dalam hal ini. Jika dfikirkan, semua orang berhak untuk merasa mulia kerana setiap dikalangan kita ini sudah tentu mempunyai sikap bangga dengan sesuatu perkara. Namun persoalannya ialah, kerana apakah kita dianggap mulia ? Kerana pangkat ? Kedudukkan, atau kerana harta ?. Dalam soal ini, islam telah datang dan menjawab segala kekeliruan yang ditimbulkan. Kita dimuliakan bukan kerana kaum, kedudukkan dan sebagainya. Kita mulia kerana akhlak peribadi kita dan nilai-nilai murni yang ada pada diri kita. Dalam al Quran, kemuliaan manusia disebutkan dalam dua asas utama iaitu keinsanan dan ketakwaan.



Asas yang pertama ialah keinsanan. Insan merujuk kepada sifat seseorang manusia. Ini bermakna, mana-mana manusia adalah mulia martabatnya. Tidak ada manusia yang diciptakan oleh Allah Azza Wa Jalla untuk dijadikan sebagai penghinaan di muka bumi ini. Semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama adalah mulia dan hendaklah dimuliakan. Dalam erti kata yang lain, kita sebagai manusia wajib memuliakan manusia yang lain dengan cara menghormatinya, memelihara haknya sebagai seorang manusia dan lain-lain.  Dalam al Quran, diceritakan kepada kita bahawa manusia itu asalnya daripada insan yang bernama Adam. Maka manusia disebut sebagai anak cucu Nabi Allah Adam AS. Kemuliaan manusia sabit dalam al Quran, surah al Isra’ ayat 70 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami memuliakan anak Adam, dan Kami bawa mereka di darat dan di laut. Kami memberi rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik, dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang banyak atas makhluk yang Kami ciptakan”.

Asas yang kedua ialah ketakwaan. Selain dimuliakan kerana sifat jatinya manusia, Allah Azza Wa Jalla juga memuliakan manusia yang bertakwa dikalagan para hamba Nya. Disebutkan dalam al Quran, surah al Hujurat ayat 13 yang bermaksud :

“Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mendalam Pengetahuan Nya”

Dalam sebuah hadis riwayat Ath Thabarani, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Laksanakan segala apa yang diwajibkan Allah, nescaya kamu menjadi orang yang paling bertakwa”

Menurut Ibnu Abbas, takwa ialah perasaan takut berbuat syirik kepada Allah dan selalu mengerjakan ketaatan kepada Nya. Berdasarkan hadis dan definisi takwa dari Ibnu Abbas. Maka dapatlah kita simpulkan bahawa orang yang bertakwa ialah orang yang mematuhi perintah Allah dengan melaksanakan segala titah perintah Nya dan meninggalkan segala larangan Nya. Ketakwaan menjadi nilai tinggi kemuliaan dan menjadi pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Kemuliaan bukanlah berdasarkan bangsa dan kaum. Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda dalam hadis riwayat Ahmad yang bermaksud :

“Tidak ada kelebihan bagi orang Arab keatas orang bukan Arab”

Kesimpulannya, kita tidak seharusnya mendakwa diri kita lebih mulia daripada kaum lain hanya semata-mata perbezaan bangsa dan kaum. Islam menilai semua manusia itu sama sahaja tanpa berbeza kelebihan kerana bangsa, harta ataupun kedudukkan. Semoga kita semua terpelihara daripada sifat yang tercela.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan