Rabu, 5 September 2018

MENGINSAFI MODAL MASA YANG DIBERI


Pejam celik, pejam celik sudah hampir di hujung tahun 1439 hijrah, terasa masih baru sahaja kita menginjakkan kaki di tahun 1439 hijrah ini. Begitu pantas masa berlalu sehingga kita merasakan bahawa minggu berlalu itu bagaikan sehari lalu. Sebenarnya inilah antara tanda-tanda akhir zaman sepertimana mafhum hadith Baginda SAW:

“Tidak akan berlaku Kiamat sehingga masa berlalu dengan begitu pantas, setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seminggu, seminggu dirasakan bagai sehari dan sehari bagaikan sejam manakala sejam pula bagaikan kerlipan api yang bertiup” (HR Tirmidhi). 

Inilah hakikat perasaan yang rata-rata di kalangan kita dapat merasakannya. Bagi segelintir atau mungkin sebahagian besar daripada kita azam tahun 1438 hijrah pun masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya, tetapi masa telah pun berlalu pantas dan memaksa kita memulakan dengan azam baru untuk tahun baru. Lalu kita menyalahkan masa kerana berlalu pantas sedangkan yang salah bukannya masa tetapi kelalaian dan kealpaan diri kita sendiri. Imam al-Shafi’e menukilkan dalam Diwannya: “Kita menyalahkan masa, walhal salahnya itu bukan pada masa, sedangkan kita yang bersalah, bukan yang selainnya”.



Masa dikatakan lebih berharga daripada emas. Pepatah ini kurang tepat kerana bagi seseorang yang kehilangan emas, dia mungkin boleh mendapatkannya kembali melalui usaha yang gigih, namun masa jika ia berlalu ia pasti tidak akan kembali lagi seperti mana tahun 1438 hijrah yang telah meninggalkan kita ia tidak akan kembali lagi buat selamanya. Sebab itulah juga Imam al-Ghazali dikatakan memberi teka teki kepada anak muridnya apakah perkara yang paling jauh sekali? Maka anak muridnya memberikan pelbagai jawapan namun beliau memberi jawapan yang betul ialah “masa lampau”. Masa silam itulah yang paling jauh sekali yang mustahil dapat dicapai sedangkan segala perkara, tempat yang jauh-jauh masih memungkin kita mencapainya. Namun manusia tidak begitu menghargai masa. Ini berdasarkan hadith Baginda SAW yang mafhumnya:

“Dua nikmat yang ramai di kalangan manusia yang tidak menghargainya iaitu kesihatan dan masa lapangnya”. (HR. Bukhari, Tirmidhi dan Ibn Majah).

Orang yang sihat hanya akan menghargai kesihatannya apabila beliau sakit atau terlantar di hospital lalu mula mengenangkan masa ketika beliau sihat. Begitu juga orang yang sibuk juga membayangkan alangkah indahnya jika dia mempunyai banyak masa lapang seperti anak-anak kecil. 

Dunia ini diibaratkan sebagai “ladang akhirat”.  Kita sebenarnya bercucuk tanam di atas mukabumi ini akan mengutip hasil tanaman kita di Hari Akhirat kelak. Kehidupan duniawi ini seolah seperti suatu perniagaan di mana laba atau keuntungannya akan kita peroleh di Hari Akhirat kelak. Namun, kita tidak begitu sensitif terhadap “modal masa” ini berbanding jika modal tersebut berupa “wang ringgit”. Pembaziran masa berlaku sewenang-wenangnya melalui perbualan-perbualan kosong, masa interaksi di media sosial yang tidak berfaedah dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti lain untuk “menghabiskan masa”. Masa sepatutnya bukan “dihabiskan” tetapi digunakan untuk perkara-perkara bermanfaat kerana masa itu sebenarnya usia kita dan menghabiskan masa itu bermakna kita membazirkan usia kita sendiri. Lantaran itulah Imam Hasan al-Basri RA mengingatkan kepada kita semua dengan kata-katanya yang mahsyur: “Wahai anak Adam! Kamu adalah himpunan hari-hari, dan apabila berlalunya hari, maka berlaku sebahagian daripada dirimu”.

Tepat sekali! Seorang yang hidup 70 tahun sebenarnya adalah masanya yang amat bernilai dan akan lebih nampak kebernilaiaannya apabila apabila dipecahkan kepada bulan, minggu dan hari. Jika dihitung dalam ukuran jam pula, ianya sekitar 7 juta jam menyamai 70 tahun umurnya. Itulah hitungan jam yang ada padanya diberikan Allah sebagai modal untuk beliau menyiapkan diri bagi kehidupannya yang kekal di akhirat kelak. Terlalu banyak anjuran dan gesaan al-Qur’an dan Hadith Baginda SAW yang menyeru menjaga masa termasuklah penurunan Surah al-‘Asr. Nabi SAW sendiri juga ada berpesan:

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (HR al-Hakim dan al-Bayhaqi). 



Jika pun mungkin sebahagian kita sudah tidak lagi memiliki kesemua lima-lima perkara yang disebutkan oleh Baginda SAW itu, yang pasti setiap kita masih lagi memiliki satu perkara yang teramat penting dan berharga iaitu “masa hidup sebelum mati”.

Justeru itu, dalam kehidupan di dunia ini, marilah sama-sama kita menginsafi bahawa modal yang kita miliki dalam perniagaan kita di atas mukabumi ini ialah masa yang kita miliki. Setiap saat berlalu, maka berlalulah modal kita samada ianya telah memberikan keuntungan kepada kita untuk hari akhirat kelak atau tidak ianya terpulanglah bagaimana cara kita menghabiskannya. Semoga dengan kedatangan tahun baru 1440 hijrah ini akan membawa kebaikan yang lebih baik dari sebelum ini.

Sabtu, 1 September 2018

PUISI : DAKU MALU PADAMU

Di hening kedinginan fajar
Tatkala malam melabuh tirainya

Daku masih di sini
Merenung nasib meratapi diri
Yang dilihat seolah sempurna
Yang dinilai persis tidak berdosa
Hakikatnya diri ini serba biasa



Dalam sujud daku terkenang

Betapa banyak dosa ku ukirkan
Betapa bertimbun khilaf ku coretkan
Tetapi Engkau yang ku kenali
Tak pernah biarkan daku sendiri
Berenang dalam lautan dosa
Hingga sampai ke pinggir syurga








Hari ini taubat esok kembali buat

Esok taubat lusa kembali jahat
Lemahnya daku tanpa bimbingan Mu
Hinanya daku tanpa petunjuk Mu
Ya Rabb, bimbinglah daku ke jalan Mu
Supaya syurga menjadi destinasiku
Bersama keluarga dan kaum kerabatku



Daku takut dan gelisah yang amat

Melihat kelantangan lidahku
Menari-nari menabur ayat
Berbicara seperti malaikat
Bertutur persis pejuang umat
Sedangkan amalan tidak terbuat
Padahal malas bertingkat-tingkat 








Di saat orang memandang mulia

Di kala manusia memuji dan memuja
Di junjung di angkat seperti raja
Maha mengetahui lagi Maha berkuasa
Ampuni lah daku duhai raja segala kuasa
Tiada daya yang ada melainkan hanya pada Nya

Atas sejadah daku merintih 
Daku malu pada Mu
Sungguh, daku malu pada Mu
Daku malu pada Mu
Tetapi hakikat hanya Engkau saja