Antara
anugerah agung terhadap manusia adalah diciptakan sebagai makhluk yang berakal.
Disebabkan keistimewaan akal yang dimiliki oleh manusia ini, Islam
meletakkan ‘hifz al-Aql’ iaitu memelihara akal sebagai salah
satu maqasid syariah (objektif syarak). Apa sahaja perkara yang boleh
merosakkan fungsi akal seperti meminum minuman yang memabukkan adalah haram.
Melalui wasilah akal yang dimilikinya, manusia
mampu terbang tinggi di udara, mahupun menyelam jauh ke dasar lautan, bahkan
berupaya menundukkan haiwan liar di hutan belantara. Disebabkan anugerah akal
ini, manusia dipertanggungjawabkan sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi.
Walau sehebat mana pun akal yang dianugerahkan,
manusia seharusnya sedar bahawa akal bukan segala-galanya. Dalam ertikata lain,
keterbatasan akal harus diakui terutamanya dalam perkara-perkara yang tidak
mampu dicapai oleh akal manusia seperti hikmah-hikmah dalam sesetengah perintah
dan larangan Allah kepada umat manusia, persoalan hari akhirat dan seumpama
dengannya. Justeru, kekurangan akal ditampung oleh kesempurnaan wahyu.
Persoalan yang mungkin akan timbul ialah, apabila sesuatu perintah wahyu tidak
dapat dicernakan oleh akal, bagaimanakah sikap yang seharusnya diambil oleh
seorang muslim?
Barangkali sebahagian ibadah-ibadah rutin yang
dilakukan dalam kehidupan seharian dapat dijelaskan hikmahnya dengan mudah,
contohnya solat lima waktu yang dilakukan setiap hari adalah bertujuan untuk
mengingati Allah. Demikian juga dengan ibadah puasa, selain untuk memupuk sifat
taqwa, puasa mendidik manusia supaya bersikap lebih prihatin terhadap golongan
yang miskin. Tujuan yang sama juga dilihat melalui kewajipan
berzakat, di mana umat Islam yang kaya berkongsi sedikit kesenangan dari harta
yang diperolehinya dengan orang-orang yang layak menerimanya. Walau
bagaimanapun, dalam ibadah haji, kemungkinan timbul persoalan,
kenapa perlu bermusafir ke Mekah dengan perbelanjaan yang begitu tinggi serta
tempoh masa yang lama, semata-mata untuk menyatakan pengabdian kepada Allah?
Tidak cukupkah ibadah haji dilakukan sahaja di tanah air masing-masing
sebagaimana ibadah-ibadah yang lain? Di sinilah manusia tidak boleh mencari
jawapan semata-mata dengan akalnya, tetapi harus tunduk kepada perintah wahyu.
Demikian juga dengan sikap seorang Muslim apabila
berdepan dengan larangan-larangan Allah yang kemungkinannya dilihat
bertentangan dengan inspirasi akal dan kebebasan manusia. Contohnya larangan
melakukan hubungan seks sesama jenis sama ada melibatkan lelaki sesama lelaki
mahupun wanita sesama mereka, walaupun atas kemahuan dan kerelaan
masing-masing. Tidakkah larangan ini menafikan hak dan kebebasan manusia untuk
membuat pilihan secara bebas? Situasi ini menuntut manusia tanpa teragak-agak
mendahulukan perintah wahyu berbanding meraikan pertimbangan akal.
Pengharaman daging khinzir bagi
umat Islam seringkali dijustifikasikan dengan pelbagai alasan. Secara umumnya
hujah-hujah yang dikemukakan bagi mewajarkan pengharaman ini ialah kerana
terdapat virus yang berpotensi mendatangkan pelbagai penyakit berbahaya kepada
manusia. Persoalan yang mungkin timbul ialah, seandainya teknologi moden
berjaya menyingkirkan semua jenis virus yang terdapat didalamnya, adakah status
daging babi berubah menjadi halal? Penilaian akal sahaja mungkin
boleh mewajarkan keharusannya, tetapi wahyu tetap melarangnya sekalipun daging
babi diproses sehingga menyamai daging lembu.
Berdasarkan sebahagian contoh yang dinyatakan,
seringkali terdapat segolongan manusia yang mendahulukan peranan akal
berbanding perintah wahyu. Sesungguhnya cara berfikir sebegini adalah salah dan
boleh menjerumuskan manusia ke kancah kesesatan. Ini adalah kerana apa yang
kelihatannya baik pada neraca akal, tidak semestinya baik pada pertimbangan
wahyu, begitu juga sebaliknya.
Manusia hendaklah mengambil inspirasi
dan iktibar dari kisah Nabi Ibrahim ‘alaihissalam yang diuji dengan
perintah Allah yang dilihat sangat tidak masuk akal, iaitu menyembelih anaknya
Nabi Ismail ‘alaihissala, tetapi sebagai seorang hamba Allah
yang taat, Nabi Ibrahim ‘alaihissalam tanpa teragak-agak berusaha
melaksanakan perintah Allah, dengan kerelaan dan kerjasama yang penuh dari Nabi
Ismail ‘alaihissalam. Natijah ketaatan mereka dalam menyahut perintah
Allah, Nabi Ismail ‘alaihissalam digantikan dengan seekor Kibash.
Justeru, dalam mendepani suara-suara sumbang yang
menyeru supaya manusia bebas beraspirasi dengan akalnya, umat Islam seharusnya
sedar bahawa akal tanpa suluhan wahyu bakal menjahanamkan manusia dan sifat
kemanusiaan. Seorang Muslim yang sedar, hendaklah meletakkan neraca
pertimbangan yang jelas dalam mindanya bahawa akal tidak boleh diberikan
sepenuh peranan dalam menentukan nilai-nilai hidup seorang manusia. Sebaliknya,
akal memerlukan suluhan wahyu bagi memandunya membuat keputusan dan menentukan
tindakan agar tidak tersesat dari landasan kebenaran yang digariskan oleh
Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan