Jumaat, 24 Januari 2020

KETOKOHAN DR. MAZA


Nama beliau tidaklah asing lagi bagi negeri Perlis. Beliau yang lebih sinonim dikenali sebagai Dr. Maza merupakan seorang anak jati Bukit Mertajam, Seberang Perai Pulau Pinang. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1971. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Agama Al Irsyad, Seberang Perai sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Klang. Perjalanan beliau sebagai seorang penuntut ilmu diteruskan lagi apabila beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti of Jordan dan berjaya menamatkan pengajian beliau di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Bahasa Arab/Syariah. Semangat beliau mencari ilmu terus berkobar-kobar apabila beliau telah menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (MA) Pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia dan di peringkat Ijazah Kedoktoran (Ph.D) dalam bidang Al Quran & Sunnah di Universiti Islam Antarabangsa. Malah beliau juga merupakan pemegang lima Ijazah Hadith Bersanad menerusi jalur ulama India.



 Nama Dr. Maza bukanlah suatu nama yang asing lagi bagi masyarakat kita. Tidak kiralah sama ada di Perlis mahupun di luar Perlis. Namanya sentiasa dikenali malah sering menjadi polimik kontroversi dikalangan para agamawan dek kerana pembaharuan yang beliau cuba ketengahkan dalam masyarkat hari ini. Beliau bermula kerjayanya sebagai seorang pensyarah tetap di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Pada tanggal 1 November 2006, beliau telah di lantik sebagai Mufti Perlis sehinggalah pada 30 November 2008. Setelah beliau tidak menjadi Mufti Perlis, beliau telah mengambil keputusan untuk menjalani cuti sabatikal di United Kingdom (UK) di bawah Universiti Sains Malaysia (USM). Ibarat sirih pulang ke gagang, pada tanggal 3 Februari 2015, setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis, beliau telah dilantik semula menjawat jawatan Mufti Perlis menggantikan Dr. Juanda Jaya sebelum ini sehingga sekarang. Pelantikkan beliau kali yang kedua ini telah mencatat sejarah baru di Malaysia di mana sebelum ini tidak pernah berlaku mana-mana bekas mufti dilantik untuk kali yang kedua.

Sebagai seoang pejuang, sudah tentu ianya mempunyai kisah suka duka dalam usaha meneruskan perjuangan. Setiap yang dilalui akan terpahat 1001 cerita suka dan duka dalam sesuatu perjuangan. Dr. Maza juga adalah antara insan yang begitu banyak cabaran dan liku-liku kehidupan yang telah beliau lalui dan harungi demi sebuah perjuangan menegakkan sunnah. Pada bulan November 2009, Dr. Maza yang ketika itu sebagai Mantan Mufti Perlis telah ditahan disebuah rumah kediaman di Selangor. Penahanan beliau dibuat oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diatas sebab tidak memiliki tauliah mengajar. Penahanan beliau telah menjadi kontroversi hebat dan mengemparkan Malaysia. Pelbagai dakwaan dan tohmahan dilontarkan kepada beliau namun reaksinya tetap tersenyum dan kekal bersemangat berceramah menyampaikan ajaran islam sebenar. Disebabkan isu penahanannya ini, ramai masyarakat mula mengenali beliau dan mengkaji tentang pemikiran beliau yang membawa pembaharuan dalam agama dengan memurnikan semula didikan sunnah.



Beliau juga seringkali diajak berdebat pelbagai isu-isu kontemporari ketika itu. Antaranya beliau pada bulan Julai tahun 2006 telah berdebat bersama saudara Astora Jabat, seorang pengarang salah sebuah rencana di akhbar Mingguan. Dalam ruang perdebatan tersebut, beliau telah membidas hujah saudara Astora Jabat berkenaan isu pemakaian tudung dikalangan wanita yang dilihat sebagai suatu bentuk beban dan kongkongan terhadap kaum wanita. Selain berdebat menjawab kekeliruan golongan liberal, beliau juga pernah berdebat bersama Al Marhum Dr. Hanafi Aziz, Ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah membincangkan tentang “Sunnah & Bid’ah”. Dalam perdebatan ini, beliau sangat konsisten dengan penghujahan ilmiah beliau tanpa membawa sentimen emosi dan sebagainya. Ketenangan beliau dalam menyampaikan hujah telah membuatkan penulis terinspirasi untuk terus mengkaji dan mencari ilmu. Pada tanggal 19 Ogos 2017, bertempat di Banquet Room, Royal Selangor Golf Club, beliau telah menghadiri Simposium Kesederhanaan Al Quran Antara Dua Titik Ekstrem. Dalam simposium tersebut, beliau telah menyampaikan ucaptama sekaligus menjawab salah faham golongan liberal di dalam usaha menafsirkan ayat-ayat Al Quran. Ketegasan serta keberanian beliau memperbetulkan salah faham ini menjadikan beliau sangat berpegang kepada keteguhan prinsip dan amanah ilmu itu sendiri.

Kegigihan dan keberanian beliau menjadi suntikan semangat serta memupuk kekuatan untuk terus melangkah menyebarkan kebenaran meskipun di hadapan kita pelbagai dugaan serta cabaran yang menanti tiba. Ketegasan dan keberanian beliau boleh kita lihat dalam pelbagai sudut. Antaranya keberanian beliau menentang serta menolak ajaran syiah. Dalam usaha ini, beberapa karya telah beliau tulis antaranya buku berjudul Fitnah Terhadap Sahabat Rasulullah, Merungkai Kontroversi Menyingkap Realiti terbitan PTS Islamika Sdn Bhd tahun 2012. Dalam buku ini beliau merungkaikan beberapa isu serta menjawab tuduhan jahat syiah terhadap para sahabat. Kelantangan beliau menentang serta menolak ajaran syiah ini tidak terhenti disitu sahaja. Malah beberapa artikel yang telah beliau tulis di laman web rasminya, Dr.Maza.com telah menjadi tumpuan serta rujukan banyak pihak.

Kelantangan beliau telah merentasi segala kepentingan politik serta agama, lantangnya beliau kepada rakyat mahupun pemimpin, orang ternama ataupun rakyat berstatus marhaen, diatas prinsip kebenaran, beliau tidak mengira apa pun status seseorang itu. Kelantangan beliau dalam soal mengkritik isu politik dan sosial, tidak sedikit pun membuatkan beliau kehilangan rakan-rakan malah beberapa orang ternama sangat rapat dan disegani oleh mereka. Malah beberapa Ahli Yang Berhormat  yang terdiri daripada bukan muslim juga sangat disegani olehnya.  Tanpa mengira perbezaan ideologi politik, beliau yang berjiwa besar berkawan serta mempunyai ramai kenalan merentasi kepentingan politik dan perbezaan aliran fahaman. Beliau yang dikenali dengan wataknya yang lantang serta berani bersuara menyampaikan pandangan berbeza, sangat bersungguh-sungguh memperjuangkan amalan sunnah yang sebenar dan mengajak masyarakat untuk lebih terbuka minda di dalam menilai sesuatu perkara. Keprihatinan beliau terhadap penerapan ilmu agama dikalangan rakyat Perlis telah memanifestasikan sebuah program yang julung kalinya diadakan di Malaysia iaitu Perkampungan Sunnah. Cetusan idea serta ilham dari beliau ini telah berjaya mengumpulkan para ilmuan yang pelbagai latar belakang, berceramah serta berkongsikan ilmu pengetahuan kepada pengunjung, yang bukan sahaja terdiri dikalangan rakyat Perlis malah pengunjung yang datang dari dalam dan luar negara. Kejayaan program ini telah menjangkau siri yang ke 6, yang telah berlangsung di Masjid Alwi Kangar.



Usaha beliau dalam memperkasakan sunnah di Perlis tidak terhenti disitu sahaja. Malah beliau seringkali aktif menyampaikan kuliah-kuliah mingguan di beberapa masjid terpilih di seluruh negeri Perlis. Malah, pelbagai usaha digiat aktifkan bersama agensi agama lain seperti daurah hadis, pengajian kitab bersanad dan lain-lain demi menegakkan sunnah di bumi Perlis. Dalam soal fatwa, beberapa fatwa negeri Perlis mendapat perhatian dari dalam dan luar negara kerana ianya agak fleksibel dan lebih realisitik. Beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis sentiasa mendahului hujah yang mempunyai nas serta dalil yang kuat, selari dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis yang menyatakan bahawa negeri Perlis tidak terikat dengan mana-mana mazhab. Tindakan ini sekaligus menafikan bahawa negeri Perlis menolak mazhab. Memetik titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertarikh 25 Julai 2018, sewaktu DYMM Tuanku Raja Perlis berkenan berangkat bercemar duli merasmikan Masjid Al Ghufran, Batu 2 Lama di Kangar. Dalam titahnya, Tuanku Raja Perlis dengan tegas menolak dakwaan segelintir masyarakat yang menyangka bahawa Perlis sebuah negeri yang menolak mazhab. Malah dalam titahnya lagi, Tuanku Raja Perlis menyatakan bahawa Perlis menerima semua pandangan mazhab. Ketegasan DYMM Tuanku Raja Perlis adalah kesinambungan daripada sebuah perjuangan oleh Dr. Maza yang sentiasa memperjuangkan budaya minda terbuka dengan menerima dan menilai semua pandangan agar tidak menjadi jumud dan kolot dalam agama.

Selain bergiat aktif berceramah, beliau juga sangat aktif dalam bidang penulisan. Hampir berpuluh artikel serta nukilan puisi yang menyentap hati telah beliau karangkan. Artikel yang ditulis merangkumi kritikan serta pandangan belaiu dalam pelbagai isu politik, sosial dan pendidikan. Kelantangan beliau juga terkenal dengan ketajaman penulisan di beberapa ruang akhbar seperti  akhbar Mingguan Malaysia 2007-2010, akhbar Sinar Harian (2010 – sekarang). Selain itu, beliau juga turut bergiat aktif menulis di pelbagai media termasuklah Malaysiakini, Malaysianinsider dan lain-lain. Beliau juga sangat aktif dalam pembentangan kertas kerja di dalam serta luar negara. Lebih hampir puluhan buku yang telah di terbitkan oleh pelbagai syarikat penerbitan. Antara penulisan buku beliau ialah Penawar Duka Pengubat Sengsara terbitan Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd tahun 2012, Bicara Buat Pemimpin & Rakyat terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd tahun 2010, Mengemudi Bahtera Perubahan Minda terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd tahun 2010, Travelog Minda Tajdid terbitan PTS ISLAMIKA Sdn Bhd tahun 2012 dan Aku Ingin Kembara Lagi terbitan Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd tahun 2014.

Sehingga ke hari ini, beliau terus dan masih bergiat aktif berkarya mengeluarkan artikel penulisan yang berguna untuk dijadikan sebagai rujukan dan bahan bacaan yang manfaat. Melalui penerbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis, beliau telah menulis beberapa buah buku lain antaranya Kewajipan Memahami Realiti Sebelum Berfatwa tahun 2019, Negative Impact Of Fabricated Hadith tahun 2019, Tajassus Dalam Operasi Pencegahan Mungkar tahun 2008.

Sesungguhnya kelantangan dan keberanian beliau dalam melontarkan pandangan adalah suatu yang menjadi keistimewaannya kerana hari ini, penulis berpandangan kita bukannya kekurangan orang yang berilmu tetapi kita sangat kekurangan orang yang beramanah dengan ilmunya dalam usaha menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Adalah sangat beruntung dan bertuahnya rakyat Perlis kerana memiliki seorang mufti yang aktif menggerakkan usaha dakwah dan memperkasakan institusi sunnah di negeri ini. Segala jasa dan sumbangan besarnya akan terus terpahat di hati setiap rakyat Perlis yang sentiasa dahagakan ilmu. Semoga negeri Perlis terus subur dengan ilmu yang bermanfaat.

Khamis, 16 Januari 2020

DAKWAH MASYARAKAT BUKAN MUSLIM


Sebagai muslim yang beriman kepada Allah Azza Wa Jalla, tidak dapat tidak, kita mesti bertanggungjawab melaksanakan dakwah, yang sememangnya kerja ini adalah kerja warisan para anbiya. Allah Azza Wa Jalla telah menitahkan kepada para hamba Nya menerusi firman Nya di dalam Al Quran, dalam surah An Nahl ayat 125 yang bermaksud :

“Serulah ke jalan Rabbmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Rabbmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk”

Dalam firman Nya yang lain, Allah SWT menegaskan tentang tanggungjawab berdakwah ini, dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud :

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang makruf (baik), serta melarang daripada segala yang mungkar/salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya”.



Menerusi beberapa firman Nya ini, adalah merupakan perintah Allah SWT kepada kita semua untuk melaksanakan tanggungjawab berdakwah menyebarkan risalah islam. 

Perkataan dakwah adalah berasal dari bahasa arab yang membawa maksud seruan, panggilan atau tuntutan. Dakwah adalah pekerjaan para nabi dan rasul terdahulu, iaitu dengan usaha menyebarkan islam, mengajak umat terdahulu kembali dan berada di jalan yang lurus, dari suatu jalan kegelapan menyembah berhala, kearah jalan cahaya terang mentauhidkan Allah yang Maha Esa, dari jalan kehambaan diri sesama insan, menuju kearah jalan pembebasan diri dengan tunduk dan berserah diri hanya pada Allah Azza Wa Jalla. Oleh itu, setelah wafatnya baginda Nabi Muhammad SAW, adalah menjadi tanggungjawab serta peranan kita untuk meneruskan kerja mulia ini dengan mengajak mereka yang belum islam, untuk kembali ke jalan yang benar, yakni jalan mentauhidkan Allah SWT.  Dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

“Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik).” [Riwayat al-Bukhari (2942)]

Imam Nawawi r.a berkata: “Yang dimaksudkan dalam hadith tersebut ialah unta merah. Unta tersebut adalah harta yang paling istimewa dalam kalangan orang Arab pada masa itu. Di sini Nabi SAW menjadikan unta merah sebagai perumpamaan untuk mengungkapkan betapa berharganya (mulianya) suatu perbuatan. Dan sememangnya tidak ada harta yang lebih istimewa daripada unta merah ketika itu. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 15/178)

Dalam hadis yang lain, daripada Abi Mas’ud Al Ansari, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan maka dia mendapat pahala sama seperti yang melakukannya.”
[Riwayat Muslim (1893)]



Hadis-hadis tersebut menceritakan kepada kita bahawa ganjaran orang berdakwah sehingga mampu mengislamkan orang lain, maka itu lebih baik ganjarannya berbanding kerja segala isi dunia. Maka kita dituntut untuk bersungguh-sungguh melaksanakan dakwah dan selebihnya kita serahkan kepada Allah Azza Wa Jalla.

Sebahagian besar masyarakat kita hari ini, hanya memahami makna dakwah dengan mengajak orang muslim melakukan kebaikan. Walhal, dakwah itu lebih luas dan tidak terbatas hanya pada muslim semata-mata. Sebahagian besar kita terlupa atau terlepas pandang untuk memahami dakwah kepada masyarakat bukan muslim. Dakwah dengan menyeru serta mengajak orang bukan islam dengan tujuan untuk mendekati serta mengenali islam, hal itu lebih baik dan lebih besar maknanya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”  
(Surah Fussilat ayat 33)

Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa  dakwah yang paling tinggi adalah dakwah menyeru manusia menggesakan Allah Azza Wa Jalla. Ini secara tidak langsung, membawa makna bahawa dakwah kepada bukan muslim sangat tinggi dan mulia kedudukkan serta darjat di sisi Nya. Oleh yang demikian, setiap muslim yang mengaku beriman kepada Allah Azza Wa Jalla wajib melaksanakan tugas dakwah kepada bukan muslim ini dengan ruang dan kemampuan yang ada. Kita harus bijak mengatur langkah menyusun arah, agar dakwah kepada bukan muslim ini benar-benar memberikan kita kesan yang mendalam serta meningkatkan iman kita kepada Allah SWT. Oleh itu, saya ingin berkongsikan beberapa langkah atau kaedah dakwah yang boleh diguna pakai dalam masyarakat kita.

Pertama : Berdakwah dengan menyampaikan risalah berkaitan islam.
Hari ini, terdapat banyak agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) dakwah yang bergerak melaksanakan kerja-kerja dakwah. Bahkan ada dikalangan mereka yang menerbitkan risalah berkaitan islam. Maka, kita bolehlah dapatkan risalah berkaitan islam daripada mereka dan berikan kepada jiran tetangga kita yang bukan muslim sebagai satu langkah permulaan untuk kita berdakwah.

Kedua : Berdakwah di lapangan jalanan.
Dakwah di jalanan atau disebutkan sebagai Street Dakwah, adalah satu kaedah dakwah yang secara langsung berhadapan dengan bukan muslim di jalanan sambil berkongsikan tentang keindahan agama islam.

Ketiga : Dakwah melalui aktiviti ziarah masjid.
Dakwah melalui aktiviti ziarah masjid ini bermaksud membuka ruang dan peluang seluas-luasnya kepada masyarakat sekitar yang bukan beragama islam untuk memasuki masjid serta melihat dan menikmati keindahan masjid sambil diberikan penerangan berkaitan ajaran islam.

Demikianlah beberapa kaedah serta bentuk dakwah kepada masyarakat bukan muslim yang boleh kita lakukan bersama. Saya percaya, segala kaedah yang disebutkan ini tidak akan berjaya dilakukan sekiranya tanpa ada kerjasama baik dikalangan kita. Oleh itu, marilah sama-sama kita mengemblengkan tenaga, berazam serta bertekad untuk melakukan dakwah khususnya kepada masyarakat bukan muslim. Berusaha lah mencari ilmu dengan niat dan tujuan untuk berdakwah serta mengembangkan islam sepertimana yang telah dilakukan oleh para nabi dan rasul terdahulu.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah SWT (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.”

(Surah Ali Imran ayat 110)


Selasa, 14 Januari 2020

SAKIT ITU NIKMAT, SIHAT ITU UJIAN


Kehidupan ini sudah tentu ada suka dan duka, manis dan tawa, sedih dan gembira. Telah menjadi sunnatullah sebagai insan, mempunyai perasaan berbagai-bagai warna dan ekspresi. Tidaklah dinamakan hidup andai tidak dihiasi dengan ujian dan liku-liku kehidupan. Allah Azza Wa Jalla menjadikan kehidupan ini sebagai pentas menguji para hamba Nya. Hal ini disebutkan di dalam al quran, surah Al Mulk ayat 2 yang bermaksud :

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);”



Kewujudan sesuatu perkara sama ada kita suka akan ia ataupun sebaliknya, ia tentu ada hikmahnya. Maka setiap perkara yang berlaku, sama ada mengikut apa yang kita rancang atau pun tidak, ia adalah pentas untuk menguji kita semua. Dalam ruang lingkup masyarakat hari ini, seringkali kita mendengar bahwa sakit itu ujian, sihat itu nikmat. Pernyataan ini mudah untuk kita fahami bersama. Malah apa yang diperkatakan tersebut adalah benar. Cuma, terkadang apabila masyarakat kurang faham akan hakikat kesakitan, maka mula lah persoalkan keadilan tuhan. Timbul lah sangkaan bahawa tuhan sedang memberikan azab dan bala padanya.

Walhal, sakit itu juga adalah makhluk Allah dan dengan izin Nya jualah penyakit itu diangkat oleh Allah. Dengan pernyataan seperti sakit itu ujian dan sihat itu nikmat, manusia akan menjadi lebih skeptik dengan melihat setiap perkara yang tidak digemari dan disukainya, akan dikatakan sebagai ujian. Sebaliknya, setiap perkara yang disukainya maka di sebutkan pula ianya adalah nikmat.

Sebenarnya, sakit itu juga boleh kita simpulkan sebagai suatu nikmat yang bukan semua orang boleh perolehi. Manakala sihat itu pula merupakan suatu ujian bagi kita untuk melihat sejauh mana kita menghargainya. Dalam sebuah hadis yang sahih, dari Ibn Abbas r.a baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :  

“Dua nikmat yang sering memperdaya manusia: Kesihatan dan kelapangan masa”.



 Berdasarkan hadis ini, baginda Nabi SAW mengingatkan kita bahwa sihat itu adalah ujian bagi kita untuk melihat sama ada kita ditipu oleh kesihatan dengan dilalaikan olehnya atau kita menghargai kesihatan tersebut dengan memperbanyakkan amal ibadah soleh. Jika kita perhalusi lagi, sakit itu adalah ruang untuk kita lebih bijak menghargai sesuatu nikmat manakala sihat itu adalah potensi untuk kita perbaiki diri dengan meningkatkan amal soleh.
Sakit merupakan suatu nikmat dari Allah Azza Wa Jalla. Ini kerana, kesakitan yang dihadapi akan membuatkan nikmat kita lebih khusyuk beribadah dnegan harapan diberikan kesembuhan. Sewaktu kita sihat, barangkali hendak berdoa pun tidak sempat. Meskipun sempat berdoa, barangkali hanya sekadar melepas batuk di tangga. Dalam makna kata yang lain, barangkali ketika sihat, kita tidak bersungguh-sungguh berdoa kerana sibuk dengan urusan dunia. Tetapi sebaliknya, sewaktu kita ditimpa musibah, sakit dan sebagainya, doa itu lebih khusyuk dengan perasaan bersungguh-sungguh mengharapkan rahmat Allah. Setiap perkataan yang terbit dari mulut kita, terzahir sebuah pengharapan agar diberikan kesembuhan seperti sediakala.

Sakit juga adalah nikmat untuk kita merenungi putaran alam ini. Ketika sihat, barangkali tidak sempat untuk bermuhasabah merenung seketika memahami hakikat kehidupan. Tetapi setelah diberi kesakitan, seringkali terbayang di fikiran kita perkataan alangkah baiknya jika aku begini dan begitu. Tidak kurang juga, ada yang berazam mahu ke masjid sekiranya diberikan kesihatan yang baik, berazam mahu memberikan sedekah dan lain-lain azam lagi. Semua nikmat ini mustahil akan kita perolehi sewaktu kita sedang bersenang dan sihat. Tidak terfikir kita akan semua benda ini jika tidak diberikan kesakitan. Oleh itu, harus kita perbetulkan stigma hidup ini dengan posiitf dengan setiap kesakitan yang melanda dengan berkata sakit itu nikmat.



Sihat pula merupakan suatu ujian dari Allah Azza Wa Jalla dalam keadaan tidak langsung. Ini kerana, ketika waktu kita sihat dan kuat, kita seringkali banyak menghabiskan ruang dan tenaga dengan lalai akan kehidupan yang ada. Barangkali azan yang berkumandang, sekadar melintasi corong-corong di telinga. Al quran yang dihiasi diatas rak, sekadar menjadi hiasan duniawi. Kesihatan yang baik seringkali dilihat dari sudut yang positif. Tidak salah sekiranya kita lihat ianya dari sudut positif. Tetapi kita juga harus sedar bahawa sihat itu juga adalah ujian untuk menilai tahap kesyukuran kita dengan menjadi hamba Nya yang tahu bersyukur. Ketika sihat, pelbagai seribu godaan yang akan menghasut kita untuk bermalas-malasan beribadah. Dengan kesihatan yang baik ini, ianya menjadi kayu ukur kepada kita dan cabaran untuk kita melawan setiap godaan dan hasutan yang menghalang kita dari melakukan ibadah kepada tuhan.

Disebutkan di dalam hadis sebelum ini, dua nikmat yang seringkali manusia tertipu dengannya, salah satunya adalah nikmat kesihatan. Maka sihat adalah medan untuk kita menempuhi ujian ini agar kita tidak terpedaya dengan nikmat ini dengan melawan segala godaan dan hasutan. Sihat juga adalah ujian untuk melihat sama ada kita sombong, angkuh, atau bongkak, atau sebaliknya kita bersyukur dengan menggunakan nikmat sihat itu di jalan kebaikan. Kita seharusnya berhati-hati dengan kesihatan yang baik. Ianya boleh menjadi perangkap kita dilalaikan, dan pada masa yang sama, ianya juga boleh menjadi penyebab kita meningkatkan amal ibadah.

Marilah kita sama-sama menerapkan dalam minda kita bahawa sakit itu adakalanya menjadi nikmat dan sihat itu adakalanya menjadi ujian. Apa yang penting ialah belajarlah menjadi hamba Nya yang tahu bersyukur. Firman Allah Azza Wa Jalla di dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud ;

“Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur dan ingkar, sesungguhnya azab Ku amatlah keras”

Semoga kita semua menjadi hamba Nya yang tahu dan bijak bersyukur diatas segala kurniaan nikmat dan ujian dalam kehidupan ini. Tidak ada yang berlaku dengan sia-sia melainkan dengan rahmat dan kasih sayang Nya.