Selasa, 14 Januari 2020

SAKIT ITU NIKMAT, SIHAT ITU UJIAN


Kehidupan ini sudah tentu ada suka dan duka, manis dan tawa, sedih dan gembira. Telah menjadi sunnatullah sebagai insan, mempunyai perasaan berbagai-bagai warna dan ekspresi. Tidaklah dinamakan hidup andai tidak dihiasi dengan ujian dan liku-liku kehidupan. Allah Azza Wa Jalla menjadikan kehidupan ini sebagai pentas menguji para hamba Nya. Hal ini disebutkan di dalam al quran, surah Al Mulk ayat 2 yang bermaksud :

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);”



Kewujudan sesuatu perkara sama ada kita suka akan ia ataupun sebaliknya, ia tentu ada hikmahnya. Maka setiap perkara yang berlaku, sama ada mengikut apa yang kita rancang atau pun tidak, ia adalah pentas untuk menguji kita semua. Dalam ruang lingkup masyarakat hari ini, seringkali kita mendengar bahwa sakit itu ujian, sihat itu nikmat. Pernyataan ini mudah untuk kita fahami bersama. Malah apa yang diperkatakan tersebut adalah benar. Cuma, terkadang apabila masyarakat kurang faham akan hakikat kesakitan, maka mula lah persoalkan keadilan tuhan. Timbul lah sangkaan bahawa tuhan sedang memberikan azab dan bala padanya.

Walhal, sakit itu juga adalah makhluk Allah dan dengan izin Nya jualah penyakit itu diangkat oleh Allah. Dengan pernyataan seperti sakit itu ujian dan sihat itu nikmat, manusia akan menjadi lebih skeptik dengan melihat setiap perkara yang tidak digemari dan disukainya, akan dikatakan sebagai ujian. Sebaliknya, setiap perkara yang disukainya maka di sebutkan pula ianya adalah nikmat.

Sebenarnya, sakit itu juga boleh kita simpulkan sebagai suatu nikmat yang bukan semua orang boleh perolehi. Manakala sihat itu pula merupakan suatu ujian bagi kita untuk melihat sejauh mana kita menghargainya. Dalam sebuah hadis yang sahih, dari Ibn Abbas r.a baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :  

“Dua nikmat yang sering memperdaya manusia: Kesihatan dan kelapangan masa”.



 Berdasarkan hadis ini, baginda Nabi SAW mengingatkan kita bahwa sihat itu adalah ujian bagi kita untuk melihat sama ada kita ditipu oleh kesihatan dengan dilalaikan olehnya atau kita menghargai kesihatan tersebut dengan memperbanyakkan amal ibadah soleh. Jika kita perhalusi lagi, sakit itu adalah ruang untuk kita lebih bijak menghargai sesuatu nikmat manakala sihat itu adalah potensi untuk kita perbaiki diri dengan meningkatkan amal soleh.
Sakit merupakan suatu nikmat dari Allah Azza Wa Jalla. Ini kerana, kesakitan yang dihadapi akan membuatkan nikmat kita lebih khusyuk beribadah dnegan harapan diberikan kesembuhan. Sewaktu kita sihat, barangkali hendak berdoa pun tidak sempat. Meskipun sempat berdoa, barangkali hanya sekadar melepas batuk di tangga. Dalam makna kata yang lain, barangkali ketika sihat, kita tidak bersungguh-sungguh berdoa kerana sibuk dengan urusan dunia. Tetapi sebaliknya, sewaktu kita ditimpa musibah, sakit dan sebagainya, doa itu lebih khusyuk dengan perasaan bersungguh-sungguh mengharapkan rahmat Allah. Setiap perkataan yang terbit dari mulut kita, terzahir sebuah pengharapan agar diberikan kesembuhan seperti sediakala.

Sakit juga adalah nikmat untuk kita merenungi putaran alam ini. Ketika sihat, barangkali tidak sempat untuk bermuhasabah merenung seketika memahami hakikat kehidupan. Tetapi setelah diberi kesakitan, seringkali terbayang di fikiran kita perkataan alangkah baiknya jika aku begini dan begitu. Tidak kurang juga, ada yang berazam mahu ke masjid sekiranya diberikan kesihatan yang baik, berazam mahu memberikan sedekah dan lain-lain azam lagi. Semua nikmat ini mustahil akan kita perolehi sewaktu kita sedang bersenang dan sihat. Tidak terfikir kita akan semua benda ini jika tidak diberikan kesakitan. Oleh itu, harus kita perbetulkan stigma hidup ini dengan posiitf dengan setiap kesakitan yang melanda dengan berkata sakit itu nikmat.



Sihat pula merupakan suatu ujian dari Allah Azza Wa Jalla dalam keadaan tidak langsung. Ini kerana, ketika waktu kita sihat dan kuat, kita seringkali banyak menghabiskan ruang dan tenaga dengan lalai akan kehidupan yang ada. Barangkali azan yang berkumandang, sekadar melintasi corong-corong di telinga. Al quran yang dihiasi diatas rak, sekadar menjadi hiasan duniawi. Kesihatan yang baik seringkali dilihat dari sudut yang positif. Tidak salah sekiranya kita lihat ianya dari sudut positif. Tetapi kita juga harus sedar bahawa sihat itu juga adalah ujian untuk menilai tahap kesyukuran kita dengan menjadi hamba Nya yang tahu bersyukur. Ketika sihat, pelbagai seribu godaan yang akan menghasut kita untuk bermalas-malasan beribadah. Dengan kesihatan yang baik ini, ianya menjadi kayu ukur kepada kita dan cabaran untuk kita melawan setiap godaan dan hasutan yang menghalang kita dari melakukan ibadah kepada tuhan.

Disebutkan di dalam hadis sebelum ini, dua nikmat yang seringkali manusia tertipu dengannya, salah satunya adalah nikmat kesihatan. Maka sihat adalah medan untuk kita menempuhi ujian ini agar kita tidak terpedaya dengan nikmat ini dengan melawan segala godaan dan hasutan. Sihat juga adalah ujian untuk melihat sama ada kita sombong, angkuh, atau bongkak, atau sebaliknya kita bersyukur dengan menggunakan nikmat sihat itu di jalan kebaikan. Kita seharusnya berhati-hati dengan kesihatan yang baik. Ianya boleh menjadi perangkap kita dilalaikan, dan pada masa yang sama, ianya juga boleh menjadi penyebab kita meningkatkan amal ibadah.

Marilah kita sama-sama menerapkan dalam minda kita bahawa sakit itu adakalanya menjadi nikmat dan sihat itu adakalanya menjadi ujian. Apa yang penting ialah belajarlah menjadi hamba Nya yang tahu bersyukur. Firman Allah Azza Wa Jalla di dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud ;

“Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur dan ingkar, sesungguhnya azab Ku amatlah keras”

Semoga kita semua menjadi hamba Nya yang tahu dan bijak bersyukur diatas segala kurniaan nikmat dan ujian dalam kehidupan ini. Tidak ada yang berlaku dengan sia-sia melainkan dengan rahmat dan kasih sayang Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan