Isnin, 9 September 2019

ISLAM, SENI & REKREASI

Islam itu sebenarnya bukan hanya kepercayaan agama sahaja tetapi meliputi semua lingkungan hidup. Jikalau kita betul-betul menghayati semua nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh agama Islam, tidak syak lagi kita boleh mencapai kejayaan di dunia mahupun di akhirat. Dalam menghadapi arus dunia yang penuh cabaran ini, kita masyarakat Islam hendaklah sentiasa bergerak mengikut masa. Masyarakat itu sendiri tidak statik dan al-Quran sendiri menerangkan bahawa masyarakat akan sentiasa menghadapi perubahan. Umat Islam itu sendiri digesa supaya mengubah keadaan dirinya kepada keadaan yang lebih baik sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah ar Raad, sebahagian daripada ayat yang ke 11, yang bermaksud;

“Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan mereka sendiri.”

Oleh yang demikian kita masyarakat Islam hendaklah bersedia menghadapi perubahan dan menyesuaikan diri supaya dapat terus berjaya. Kita hendaklah membuktikan bahawa anggapan barat yang selalu mengaitkan Islam itu dengan keganasan, pelampau, kemunduran serta kemiskinan itu sebagai tidak benar. Apa yang kita fahami mengenai rekreasi itu ialah selalunya melibatkan aktiviti atau kegiatan sampingan. Bidang rekreasi meliputi berbagai-bagai aktiviti yang selalu dilakukan oleh anggota masyarakat pada masa lapang seperti bersukan, bermain, mendengar muzik, melukis, bersiar-siar, bercuti dan sebagainya. Dalam hidup bermasyarakat, rekreasi dianggap sebagai sesuatu yang penting dan kepentingannya itu bersaingan dengan bekerja. Kedua-dua ini tidak bertentangan tetapi saling melengkapi.



Dalam perkembangan rekreasi di kalangan masyarakat kita di Malaysia, banyak perkara yang harus dipertimbangkan, terutama perkara-perkara yang berkaitan dengan kesan-kesan buruk rekreasi yang dapat merosakkan seseorang. Begitu juga rekreasi yang tidak mempertimbangkan tentang nilai-nilai budaya seperti moral, etika, maruah masyarakat dan negara adalah dapat dianggap bertentangan dengan kehendak masyarakat. Begitu juga rekreasi yang bertentangan dengan kehendak-kehendak agama hendaklah dikawal. Kita tidak mahu amalan rekreasi yang bertentangan dengan agama dibawa masuk dan dijadikan amalan di negara kita.

Setiap individu seharusnya berusaha membina sebuah masyarakat Malaysia yang sepenuhnya bermoral dan beretika serta maju dalam semua bidang sama ada politik, sosial, kejiwaan, psikologi dan juga kebudayaan. Semuanya ini terletak kepada sikap warganegara Malaysia untuk membina dan mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang kukuh serta mendukung nilai etika yang tertinggi. Kita juga harus menyedari bahawa pembangunan dan kejayaan sesebuah negara adalah bergantung kepada sikap yang positif dan moral yang tinggi yang dimiliki oleh rakyatnya.

Jika dilihat kepada perkembangan masyarakat masakini, bidang seni dan rekreasi yang paling diminati dan berkembang di negara kita ialah seni muzik. Seni muzik juga adalah merupakan salah satu cabang kebudayaan. Muzik juga dapat meninggikan pemikiran sesuatu bangsa serta merubah sikap hidup ke arah pencapaian peradaban yang bererti. Muzik bukan sahaja alat penghibur tetapi juga sebagai pengantara pembelajaran yang mempunyai kuasa yang tersendiri hingga boleh menukar emosi manusia menjadi sedih, gembira, terharu dan sebagainya. Selain itu seni muzik juga menyalurkan nilai dan berbagai mesej yang boleh memberi kesan positif kepada pembangunan masyarakat.



Sejarah muzik di negara kita mempunyai latarbelakang yang lama dan meluas. Lagu-lagu tradisi berbentuk asli, dondang sayang, keroncong, zapin, inang dan seumpamanya telah melalui evolusi dalam masyarakat melayu selama beratus-ratus tahun. Proses evolusi muzik ini juga adalah sama dengan proses evolusi kesusasteraan dan seni tari serta seni ukir. Ianya bergabung dan selari bergerak dalam ruang lingkup perkembangan masyarakat Melayu keseluruhannya. Di abad ini, khususnya selepas kemerdekaan ianya bergabung menjadi perkembangan muzik masyarakat Malaysia. Seni muzik adalah satu bidang kesenian yang kreatif. Ianya mengandungi unsur-unsur nilai budaya, falsafah dan daya pemikiran serta nilai semasa bangsa Malaysia. Tetapi sejauh manakah seni muzik kita sekarang ini mencerminkan budaya bangsa kita? Apakah yang dimaksudkan dengan “muzik Malaysia” atau sudahkah wujud muzik yang boleh kita anggap sebagai muzik Malaysia yang berupaya menanamkan nilai-nilai murni yang kita harap-harapkan?

Kuasa muzik dan lagu sebenarnya adalah amat kuat dan menyeluruh. Dari lagu kasih sayang boleh ditimbulkan berbagai kesan seperti kasih sayang anak terhadap ibu dan bapa. Kasih sayang ibu dan ayah terhadap anak, kasih sayang di antara remaja, malah kasih dan rasa bangga terhadap bangsa dan negara. Dengan gubahan yang menarik, senikata yang menusuk perasaan, lagu dapat digerakkan dengan begitu kukuh. Sehingga setiap negara mempunyai lagu kebangsaannya sendiri. Setiap generasi mempunyai corak lagu dan iramanya sendiri seperti muzik dan lagu-lagu enam puluhan, dan corak muzik serta lagu masa kini.

Atas kesedaran inilah maka amalan rekreasi memainkan peranan penting dalam membentuk dan menentukan perlakuan-perlakuan anggota masyarakat. Dalam masyarakat yang membenarkan pelbagai jenis dan bentuk rekreasi, kesannya kepada masyarakat tidak dapat dielakkan. Oleh itu bagi menentukan pertumbuhan masyarakat bersesuaian dengan agama, adat resam dan norma-norma yang baik, maka perkembangan dan pertumbuhan rekreasi itu hendaklah ditentu dan dikawal dengan rapi, umpamanya pengaruh rekreasi kepada kanak-kanak. Kepentingan dalam memahami dan menghargai aktiviti rekreasi yang berfaedah dan berguna itu patut didedahkan kepada seseorang itu semasa kanak-kanak lagi dengan merancang dan menentukan penggunaan masa untuk rekreasi Ketika zaman kanak-kanak, selalunya anasir-anasir yang boleh mudah meresap jika perancangan masa rekreasi itu tidak dilakukan dengan baik.



Bertolak dari sini, apakah pula ciri-ciri dan keistimewaan rekreasi dan juga seni yang terdapat dinegara kita? Apakah pula ciri dan corak amalan seni dan rekreasi rakyat Malaysia pada masa akan datang?. Di sinilah penting dan perlunya kefahaman terhadap rekreasi dalam memainkan peranan ke arah membangunkan seni dan rekreasi yang berwawasan dan berteraskan kepada agama dan budaya bangsa. Sekiranya arah dan landasan ini disemaikan, perkembangan seni dan amalan rekreasi di negara kita bukan sahaja dapat terus membangun dengan sihat dan membantu pembangunan masyarakat. Tetapi ia juga akan menyumbang kepada kesejahteraan negara dalam menghadapi cabaran abad akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan