Ketika tinta ini terus menari melakarkan
kata, saya telah pun berada di hari terakhir saya berkhidmat di One Centre
Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah & pembangunan mualaf di negeri
Perlis. Agensi di bawah naungan Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu
Perlis ini telah ditubuhkan pada bulan Oktober 2017. Esok adalah merupakan
program terakhir kendalian saya bersama OCMPs di Denai Larian Pengkalan Asam,
Kangar.
Penglibatan awal saya bermula sebagai seorang
sukarelawan OCMPs pada Disember 2017, telah mengheret saya ke suatu episod
baharu dalam kehidupan. Pada suatu ketika, di hujung bulan februari 2018, saya
telah ditawar untuk berkhidmat sepenuhnya sebagai kakitangan OCMPs. Kerana
keputusan ini tidak semudah ABC, saya telah memohon sedikit ruang masa bagi berfikir,
mendapat nasihat serta memohon petunjuk dari Nya.
Dengan izin Nya, bermula tanggal 1 Mac
2018, saya telah menerima tawaran berkhidmat di OCMPs sebagai Pegawai Khas
OCMPs. Seingat diri ini, tugasan pertama yang diberikan pada saya ketika itu
ialah menguruskan kumpulan sukarelawan OCMPs. Selangkah demi selangkah, dengan
izin Nya jua, saya telah diberikan rezeki menjawat beberapa jawatan terpenting
selepas beberapa bulan berkhidmat.
Sepanjang 3 tahun berkhidmat, pelbagai
lakaran memori suka duka telah tercipta. Ada yang sedih, ada yang gembira dan
tidak kurang juga ada yang kecewa.Tidak banyak yang dapat saya sumbangkan untuk
OCMPs. Namun, banyak perkara yang telah saya pelajari sepanjang berkhidmat di
sana. Pengalaman dan pelajaran ini tidak akan dapat di kuliah-kuliah
universiti, tidak ada di kelas-kelas pengajian, melainkan dengan turun ke
lapangan, santuni masyarakat bukan muslim, dekati golongan saudara baru dan
banyak lagi perkara yang tersimpan kemas di ingatan sebagai sebuah kenangan
terindah.
Antara detik manis yang membuahkan kepuasan tidak ternilai bagi diri ini ialah kejayaan OCMPs suatu ketika dulu menganjurkan Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Siam & Cina pada bulan April 2018. Masih segar di ingatan saya, dengan kekuatan kakitangan yang tidak ramai, dibantu oleh para sukarelawan yang sedia ada menjadi tulang belakang OCMPs. Dalam program tersebut, di isi dengan program dialog harmoni bersama SS Dato Mufti Perlis, ucapan wakil kaum dan pertubuhan seterusnya di tutup dengan titah ucapan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis.
Lebih manis dan bermakna, pada tahun yang
sama, OCMPs sekali lagi mengegarkan bumi Perlis dengan penganjuran Dakwah Tour
Dr. Zakir Naik @ Perlis 2018. Sebanyak 5 lokasi terpilih di sekitar negeri
Perlis dijadikan lokasi ceramah Dr. Zakir Naik. Dalam program itu juga, saya
berpeluang duduk bersama Dr. Zakir Naik, wakil pelbagai agama juga turut serta
Mufti Perlis dan YB Gan Ay Ling, ADUN Indera Kayangan dalam sebuah majlis makan
tengah hari. Pelbagai cerita suka dan duka dilakar bersama. Disebalik kejayaan
pengajuran ini, saya secara peribadi tidak akan pernah lupa jasa bakti warga
sukarelawan OCMPs sekalian yang juga telah bertungkus-lumus dan berhempas pulas
bagi memastikan kelancaran program.
Begitu juga sejarah tercipta, apabila
buat julung kalinya OCMPs dengan gabungan dan kerjasama erat antara staf dan
sukarelawan serta dibantu oleh pelbagai jabatan & agensi kerajaan, OCMPs
berjaya mengajurkan sebuah program diberi nama Malaysia Reverts Camp pada bulan
Ogos 2019. Ianya juga telah di iktiraf oleh Malaysia Book Of Record sebagai
sebuah himpunan raksasa saudara baru. MRC adalah kemuncak klimaks paling tinggi
yang saya perolehi sepanjang tempoh berkhidmat. Siang malam berhempas pulas,
memerah keringat hingga saat akhir, demi menjamin kelancaran program.
Sudah tentu disebalik semua coretan ini,
yang selalu menjadi inspirasi dan motivasi untuk diri ini ialah Brother Zamri
Vinoth, yang bukan sahaja sebagai seorang ketua, tetapi juga sebagai seorang
sahabat, rakan dan juga keluarga bagi saya. Diri ini juga tidak akan kuat tanpa
rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa menyokong dan membantu diri ini untuk
membawa agenda dakwah di bumi tercinta Perlis ini. Sesungguhnya saya berikrar
dan berazam, biarpun selepas ini berbeza lapangan dakwah, selagi kudrat
dikandung badan, selagi itulah diri ini akan bersedia membantu agenda dakwah
OCMPs dengan kadar kemampuan yang ada.
Tanggal 1 Mac 2020, secara rasminya saya
akan meninggalkan OCMPs dengan seribu satu kisah suka dan duka. Arena dakwah
tetap ku bawa walau bukan lagi sebagai seorang staf OCMPs. Di akhir catatan
ini, ingin saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada
seluruh warga OCMPs diatas memori yang tercipta. Mohon ampun & maaf diatas
segala kekhilafan dan kelemhan diri ini, juga saya mengharap doa semua agar
diri ini akan terus kuat berada di arena dakwah walau berbeza irama dan
melodinya. Meski esok sinar akan terpancar, takkan sama seperti hari kelmarin.
Meski langkah ini berat di atur, namun atas takdir ilahi, daku berserah dan
berlalu pergi.
Salam
Hormat,
MUHAMMAD FAIDHI BIN AZIS
28 Februari 2020 | 4 Rejab 1441
Bandar DiRaja Arau
11.30 pm