Tajuk ini barangkali menjadi sangat sensitif
khususnya kepada kaum wanita. Malah tajuk ini seringkali menjadi kelaziman
peperangan berzaman antara kaum lelaki dan wanita. Persoalan tentang isu poligami
menjadi sebuah polimik dari zaman ke zaman hingga ke saat dan ketika ini.
Rata-rata dikalangan para asatizah juga agak sedikit yang berani tampil
memperjelaskan isu ini. Barangkali banyak hati pihak yang akan terluka bila
kita berbicara isu dan topik hangat ini. Zaman ke zaman, isu ini terus
dipolimikkan, diperdebatkan malah akan dipandang serong jika kita mengamalkan
syariat poligami ini.
Namun disebalik perkataan poligami ini,
ramai masyarakat bahkan majoriti umat islam masih terkeliru dan tidak jelas
akan pensyariatan poligami ini sehingga menjadi polimik perdebatan yang hebat.
Kekeliruan ini bukan sahaja berlegar di ruang minda orang islam, bahkan
dikalangan bukan muslim juga sudah tentu mendatangkan pelbagai persepsi dan
pandangan yang tidak benar akan syariat poligami ini. Sekiranya kita bertanya
secara rawak kepada kaum wanita, adakah mereka setuju dengan pensyariatan
poligami ini, lazimnya mereka tidak bersetuju. Malah lebih dasyat lagi,
beberapa gerakan penentangan poligami dilakukan khususnya datang dari golongan
liberal yang kononnya memperjuangkan hak keadilan dan kesamarataan.
Pertamanya, sebelum kita mahu menentang
atau menolak sesuatu perkara, terlebih dahulu kita perlu memahami asal usul
sesuatu perkara tersebut. Dalam isu ini, poligami bukanlah sesuatu perkara yang
dianggap sebagai adat kebiasaan, tetapi ianya datang dari syariat Allah Azza Wa
Jalla. Hal ini sabit di dalam firman Nya dalam surah An Nisa ayat 3 yang
bermaksud :
“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil
terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka
berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain):
Dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di
antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau
(pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah
lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.
Ayat ini menjadi dalil atau bukti
pensyariatan poligami. Ianya jelas merupakan suatu titah perintah Allah dan
menjadi haram dan berdosa besar sekiranya kita menentang hakikat
pensyariatannya yang telah terkandung di dalam firman Nya. Syariat poligami ini
bukanlah rekaan baginda Nabi Muhammad SAW untuk tujuan pemuasan nafsu
semata-mata. Malah di dalam beberapa kitab utama agama lain juga terdapat
penceritaan tentang pelaksanaan poligami ini. Untuk itu, tidak kira sama ada
lelaki mahupun wanita, kita dilarang untuk menentang pensyariatan poligami
meskipun kita terdapat perbezaan untuk pelaksanaannya. Umumnya kita harus faham
dan sedar bahawa ianya suatu syariat dan bukannya adat atau rekaan manusia.
Setelah kita ketahui tentang pensyariatan
tersebut, maka timbul persoalan berkenaan pelaksanaan. Adakah ianya suatu
tuntutan sunnah atau sebaliknya. Ramai dikalangan para lelaki suka menjenamakan
poligami ini suatu tuntutan sunnah kerana baginda Nabi juga mengamalkan syariat
tersebut. Untuk memahami tuntutan yang disebutkan sebagai sunnah ini, mari kita
melihat maksud sunnah yang ditakrifkan oleh para sarjana islam. Dalam Kitab
Ulum Hadis Wa Nusus Min Athar, para sarjana islam mentakrifkan makna sunnah
adalah :
“Apa sahaja yang disandarkan kepada Nabi
SAW dariapda jenis perkataan, perbuatan, iqrar (persetujuan) dan sifat, sama
ada berbentuk akhlaq ataupun fizikal. “
Para sarjana juga meletakkan kaedah untuk
sesuatu hukum pensyariatan itu mestilah melihat dari sudut aspek sebab dan
illahnya. Ini bermakna sesuatu hukum itu tidak boleh ditetapkan berdasarkan
zahir sunnah atau tidak semata-mata sebaliknya perlu melihat kepada maslahah
sesuatu perkara. Demikian juga tentang soal hukum poligami. Ianya terletak dan
bergantung kepada si pelaku tersebut. Boleh jadi membawa kebahagiaan dan boleh
jadi mengundang kezaliman dalam rumahtangga. Menerusi firman Nya, Allah Azza Wa Jalla
menyebutkan dalam Surah An Nisa ayat 3 yang bermaksud :
“Kemudian jika kamu bimbang tidak akan
berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang
sahaja”
Ayat ini dengan jelas menunjukkan kepada
kita sekiranya ditakuti dan dibimbangi sekiranya kita melakukan poligami boleh membawa
kepada kezaliman maka cukuplah berkahwin satu sahaja. Makna perkataan kezaliman
ini juga perlu mengambil kira beberapa persoalan penting seperti pembahagian
nafkah, kesihatan, kewangan, dan kemampuan fizikal. Jika tidak diraikan perkara
ini, kebahagian yang diburu tidak ditemui.
Maka, harus dijelaskan kepada kita semua
khususnya kepada masyarakat bukan muslim diluar sana bahawa hukum asal poligami
adalah harus dan ia akan berubah mengikut situasi tertentu. Sebagai contoh,
hukum poligami asalnya harus boleh berubah menjadi haram sekiranya boleh
mengundang kezaliman, penindasan dan penderitaan dalam rumahtangga. Islam
tidaklah mewajibkan umatnya untuk berpoligami. Ianya adalah suatu pilihan
mengikut kemampuan diri masing-masing. Meskipun istilah “kemampuan” itu punyai
banyak ruang untuk diperbahaskan, ianya tidak akan sama sekali merubah syariat
itu bertukar hukum menjadi wajib.
Walaupun poligami itu suatu bentuk
pensyariatan, namun pelaksanaannya diikat dengan kemampuan untuk berlaku adil
atau sekurang-kurangnya tidak menzalimi pasangan kerana pelaksanaannya. Untuk
itu, umat Islam diberi ruang seluas-luasnya untuk bersikap berbeza dalam soal pelaksanaannya.
Kita boleh menolak pelaksanaannya kerana ditakuti berlaku zalim dan tidak adil.
Pada masa sama, sekiranya kita merasakan mampu bersikap adil setelah dinilai
maka Islam tidak menghalangnya. Meskipun begitu, hakikat poligami itu kita
perlu akur bahawa ianya suatu syariat dari Allah yang penuh kemuliaan dan
keagungan.
Sesungguhnya amalan poligami telah wujud
sejak sekian lamanya sebelum kedatangan Islam lagi di seluruh dunia, bahkan
dalam agama Kristian dan Yahudi itu sendiri tidak wujud larangan untuk
berpoligami yang telah memungkinkan untuk seseorang itu berkahwin dengan
seramai mana wanita yang diingininya tanpa sebarang panduan. Lalu datang Islam memandu
manusia dengan menghadkan kadar berpoligami dalam satu-satu masa kepada 4
isteri sahaja dengan syarat-syarat yang tidak sewenangnya untuk dipenuhi. Maka
di mana keburukkan Islam yang dirasakan berbanding agama-agama dan tradisi lain
? Realiti hari ini dilihat seolah-olah
Islam lah yang mencipta amalan poligami ini sedangkan Islam tidak menjadikan
amalan berpoligami semberono mengikut hawa nafsu serta keinginan sang lelaki semata-mata
bahkan syaratnya ketat dan ancamannya dahsyat bagi mereka yang mengabaikan hak
para isteri dan tidak berlaku adil terhadap mereka.