Perhiasan diri merupakan antara topik atau tajuk yang sering
dibualkan oleh manusia di pelbagai peringkat umur dan usia. Sejak awal usia
sebulan lagi, ibubapa akan sibuk menghiasi anaknya dengan pelbagai baju yang
cantik, menarik selain selesa untuk dipakai. Apabila usia menginjak ke alam
usia awal kanak-kanak, mereka sudah pandai bergaya dengan memilih baju mengikut
kehendak sendiri. Sementelah itu, apabila anak-anak mencapai usia alam remaja
pula, maka bertambahlah cara dan gaya yang hendak dikenakan lebih-lebih bagi
anak-anak perempuan yang telah mulai berjinak-jinak dengan dunia solekan. Maka
tidak salah untuk kita katakan sudah menjadi tabiat biasa manusia, bertambah
meningkat usia maka bertambahlah juga perasaan untuk menghiasi diri sendiri.
Dalam pada itu, kita barangkali terlupa atau terleka untuk mencantikan dan
menghiasi dalaman diri dengan sifat malu yang terpuji di dalam Islam.
Perkataan "Malu" dalam kosa kata Melayu
sepertimana yang dinyatakan dalam Kamus Dewan Edisi 2010, malu merujuk kepada
berasa aib, hina, rendah diri kerana membuat sesuatu yang salah atau yang tidak
sopan, berasa segan dan agak takut. Pada sudut bahasa Arab, perkataan malu
disebutkan sebagai al-Haya' (الحياء)
atau al-Khajila (الخجل). Menurut
al-Jurjani dalam kitabnya al-Ta'rifat, al-Haya' atau malu itu bermaksud
menahan diri dari sesuatu dan meninggalkannya dalam keadaan berjaga-jaga supaya
tidak tercela. Telah berkata Imam Ibnu al-Qayyim dalam kitabnya Madarijus
Salikin, sifat malu berasal dari kata hayah (hidup), dan ada yang
berpendapat bahawa malu berasal dari kata kata al-hayaa (hujan), tetapi
makna ini tidak masyhur. Hidup dan matinya jantung hati seseorang sangat
mempengaruhi sifat malu orang tersebut. Begitu juga dengan hilangnya rasa malu,
dipengaruhi oleh kadar kematian hati dan roh seseorang.
Selain itu, al-Junaid menyebut bahawa malu adalah perasaan melihat
keseronokan dan kelalaian, yang menimbulkan yang dikenali sebagai malu.
Intipati rasa malu adalah sikap yang mendorong kita untuk meninggalkan
kejahatan dan menghalang kita daripada mensia-siakan hak kita. Maka rumusan
daripada beberapa definisi yang dikemukakan, dapat kita sebutkan sebagaimana
yang disimpulkan makna malu oleh Syaikh Salim al-Hilali dalam kitabnya al-Haya'
fi Dhau-il Quranil Karim wal Ahadith al-Shahihah, bahawa perasaan malu itu
adalah akhlak atau perangai tingkah laku yang mendorong manusia untuk
meninggalkan perbuatan-perbuatan yang buruk lagi tercela sehingga mampu
menghalang seseorang dari melakukan dosa dan maksiat serta mencegah sikap
melalaikan hak orang lain. Demikian rumusan berkaitan maksud malu pada sudut
pandang wacana Islam. Walau apapun, tidak salah untuk kita katakan bahawa sifat
malu itu hakikatnya adalah sifat yang terpuji di dalam Islam.
Dalam intipati ajaran Islam, terdapat beberapa keutamaan memiliki
sifat malu dalam diri manusia. Antara keutamaan tersebut ialah sifat malu pada
hakikatnya tidak memberikan sesuatu kecuali dengan kebaikan. Ini bermakna
perasaan malu pada asasnya akan membawa banyak kebaikan dalam kehidupan
manusia. Ini sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah hadith riwayat Bukhari
dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Malu itu tidak mendatangkan sesuatu melainkan kebaikan
semata-mata"
Sesungguhnya perasaan malu itu adalah merupakan akhlak para Nabi
dan Rasul. Oleh kerana itu, perasaan malu yang dimiliki oleh mereka telah
memberikan kebaikan kepada diri mereka dan orang disekeliling mereka. Selain
itu, keutamaan sifat malu juga ialah sifat malu merupakan antara cabang-cabang
keimanan kepada Allah Azza Wa Jalla. Hal ini boleh dilihat sebagaimana yang
tercatat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim serta lain-lain lagi
yang meriwayatkan hadith ini, baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Iman memiliki lebih dari tujuh puluh atau enam puluh cabang.
Cabang yang paling tinggi adalah perkataan ‘La ilaha illallah,’ dan yang paling
rendah adalah menyingkirkan duri (gangguan) dari jalan. Dan malu adalah salah
satu cabang Iman.”
Berdasarkan maksud hadith ini, jelas kepada kita bahawa antara
cabang-cabang keimanan yang berjumlah 70 atau 60 cabang itu, sifat malu adalah
salah satu antara cabang-cabang iman tersebut. Oleh kita, janganlah kita
bermain-main dengan sifat malu kerana ianya bersangatan dengan hal keimanan
kita kepada Allah Azza Wa Jalla. Maka sebagai orang yang beriman kepada Allah,
memiliki sifat atau perasaan malu adalah petanda bahawa kita memiliki salah
satu daripada cabang-cabang iman. Selain itu, keutamaan sifat malu juga adalah
kerana sifat malu tersebut merupakan akhlak bagi para malaikat. Kedudukan
tinggi para malaikat bukan sahaja kerana penciptaannya dari cahaya tetapi juga
kerana mereka memiliki sifat malu yang disukai oleh Allah SWT. Ini berdasarkan
sebuah hadith riwayat Muslim, baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Apakah aku tidak patut merasa malu terhadap seseorang padahal
para malaikat merasa malu"
Demikianlah antara sebahagian keutamaan sifat malu yang sewajarnya
kita renungi bersama selain berusaha menanam perasaan malu yang terpuji ini.
Hakikat yang harus kita tahu ialah perasaan malu yang terpuji ini boleh dilihat
dalam sejarah kehidupan baginda Nabi Muhammad SAW. Baginda sangat terkenal
dengan sifat pemalu dan malunya baginda kadang-kala lebih malu daripada anak
dara yang baru berkahwin. Perkara ini telah diceritakan oleh Abu Said al-Khudri
dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, beliau berkata yang bermaksud :
"Rasulullah SAW itu tinggi sifat malunya. Bahkan lebih malu
berbanding anak dara yang baru dikahwinkan dengan suami yang tidak dikenalinya.
Jika Rasulullah SAW melihat perkara yang tidak menyenangkan hatinya, kita dapat
melihat perubahan riak wajahnya."
Begitulah pemalunya baginda Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya
perasaan malu itu dapat kita bahagikan kepada dua jenis. Jenis yang pertama,
perasaan malu yang lahir daripada tabiat manusia itu sendiri. Perasaan malu
seperti ini adalah akhlak paling mulia yang diberikan oleh Allah Azza Wa Jalla
kepada seseorang hamba. Malu yang seperti ini bukanlah boleh dibuat-buat. Ianya
lahir dari dalam diri manusia itu sendiri. Perasaan malu seperti ini juga akan
dapat menghalang seseorang daripada melakukan perbuatan buruk dan tercela
sekaligus mendorong dirinya untuk berakhlak mulia. Pada sudut Islam, malu
seperti ini termasuk sebahagian daripada keimanan kepada Allah SWT. Telah
direkodkan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitab Jami'ul 'Ulum wal
Hikam, ungkapan oleh al-Jarrah bin Abdullah al-Hakami, beliau berkata :
"Aku tinggalkan dosa selama empat puluh tahun kerana malu,
kemudian aku mendapatkan sifat wara'(taqwa)".
Perasaan malu jenis yang kedua pula ialah perasaan malu yang timbul
kerana adanya usaha. Ini bermakna perasaan malu yang timbul dalam diri
seseorang adalah hasil daripada usahanya mengenali Allah Azza Wa Jalla dengan
mengenal keagungan Nya, kedekatan Nya dengan hamba, perhatian Nya terhadap
mereka selain pengetahuan Nya terhadap mata yang khianat dan apa sahaja hal
yang dirahsiakan oleh jantung hati. Perasaan malu seperti inilah yang dijadikan
oleh Allah SWT sebagai cabang-cabang keimanan. Apabila diri manusia itu sendiri
mengenali akan hakikat Allah SWT yang Maha Sempurna dan jauh dari segala sifat
hina dan cela, maka perasaan malu itu muncul dan takut untuk melakukan perkara
yang dilarang kerana malu dilihat oleh Allah SWT. Meskipun perbuatan jahat dan
mungkar tersebut tidak diketahui oleh sesiapapun dikalangan manusia, namun
perasaan malu yang kuat terhadap Allah SWT akan menghalang diri daripada
melakukan perkara-perkara kejahatan dan keburukan. Perasaan sebegini tidak akan
dapat diperolehi melainkan setelah benar-benar mengenali Allah Azza Wa Jalla.
Berkenaan perasaan malu juga, dalam sebuah hadith berstatus hasan,
diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ahmad dan lain-lain, sabda baginda Rasulullah SAW
yang bermaksud :
“Hendaklah kalian malu kepada Allah Azza wa Jalla dengan
sebenar-benar malu. Barang-siapa yang malu kepada Allah Azza Wa Jalla dengan
sebenar-benar malu, maka hendaklah ia menjaga kepala dan apa yang ada padanya,
hendaklah ia menjaga perut dan apa yang dikandungnya, dan hendaklah ia selalu
ingat kematian dan busuknya jasad. Barangsiapa yang menginginkan kehidupan
akhirat hendaklah ia meninggalkan perhiasan dunia. Dan barangsiapa yang
mengerjakan yang demikian, maka sungguh ia telah malu kepada Allah Azza wa
Jalla dengan sebenar-benar malu.”
Maksud hadith ini antara lain mengajar kita supaya menjadikan
perasaan malu itu di tempat yang sewajarnya. Menjaga perasaan malu itu di
tempat yang berhak dan selayaknya. Janganlah kita malu dalam mempelajari
sesuatu ilmu yang kita sendiri jahil dan tidak tahu, membiarkan kejahilan
menguasai diri dek kerana adanya sifat malu untuk belajar, ketahuilah itulah
malu yang tercela. Sebaliknya janganlah pula kita tidak tahu malu untuk
melakukan maksiat kerana itu adalah kebinasaan yang nyata. Telah berkata
al-Qadhi 'Iyadh dan yang lainnya dalam kitab Fath al-Bari yang bermaksud
:
"Malu yang menyebabkan seseorang itu mensia-siakan haknya
bukanlah malu yang disyariatkan, sebaliknya ia adalah ketidakmampuan dan
kelemahan. Ia mutlak dan dinamakan malu kerana ia menyerupai keaiban yang
ditetapkan oleh syariat."
Antara sifat malu lain yang tercela adalah seperti malu mengaji
al-Quran, malu untuk solat berjemaah di masjid atau surau, malu mencari nafkah
untuk keluarga dan sebagainya. Malu seperti ini tidak sepatutnya ada dalam diri
manusia. Demikianlah serba sedikit tentang hakikat perasaan malu. Sesungguhnya
malu adalah salah satu sifat yang terpuji dan dipandang tinggi oleh Islam.
Perasaan malu adalah suatu perasaan diwarisi oleh para Nabi dan Rasul selain
malu juga merupakan sifat mulia bagi para malaikat. Dengan adanya perasaan
malu, ianya dapat mencegah manusia daripada melakukan kejahatan, mendorong
manusia berakhlak mulia selain dapat melindungi maruah dan harga diri
seseorang. Pun begitu, ada juga sifat malu yang tercela, iaitu malu untuk
melakukan kebaikan seperti malu dalam menuntut ilmu, malu mengaji al-Quran dan
seumpamanya. Malu yang demikian adalah yang tercela dan tidak patut wujud dalam
diri manusia. Semoga Allah merahmati kita semua.



