Agama Islam bersesuaian dengan namanya yang membawa maksud
kesejahteraan, keamanan dan ketenteraman, membawa nilai dan suatu mesej
terpenting dalam kehidupan ini iaitulah nilai berkasih sayang. Adalah mustahil
sama sekali sesuatu nilai keamanan, kesejahteraan dan ketenteraman itu boleh
dicapai tanpa memiliki nilai berkasih sayang. Dalam erti kata mudah,
ketenangan, kedamaian dan kebahagiaan sesebuah kehidupan itu tidak akan dapat
dicapai jika tidak ada dalamnya nilai kasih sayang. Ajaibnya hidup ini juga,
dengan mengakui ianya petanda kebesaran Allah SWT, perasaan kasih dan sayang
yang kita rasai bukan sahaja dimiliki oleh makhluk Nya yang bergelar manusia
malah haiwan dan binatang juga memiliki perasaan kasih dan sayang yang sama
sebagaimana yang dirasai oleh umat manusia lain. Dalam kita berkasih sayang,
satu perkara penting yang mesti kita beri perhatian ialah soal berkasih sayang
kerana Allah.
Perasaan berkasih sayang atau disebut dengan istilah "Mahabbah"
adalah suatu anugerah oleh Allah Azza Wa Jalla kepada para hamba Nya baik yang
terdiri dikalangan manusia mahupun haiwan dan seluruh alam semesta Nya. Imam
Ibnu Manzur dalam kitabnya Lisan al-Arab, beliau menjelaskan perkataan
Mahabbah berasal daripada bahasa Arab yang terbit dari kata asal al-hubb.
Perkataan al-hubb membawa maksud cinta atau sayang. Menurut Kamus Dewan,
perkataan mahabbah membawa maksud perasaan kasih atau cinta terhadap sesuatu.
Imam Hasan al-Banna di dalam tulisannya yang bertajuk Risalah Ta'alim,
beliau menjelaskan bahawa mahabbah atau perasaan kasih sayang itu ialah hati
dan roh yang terikat dengan ikatan akidah Islam.Berdasarkan definisi yang
dinyatakan, boleh kita simpulkan bahawa perkataan mahabbah adalah suatu mesej
terpenting yang menekankan tentang konsep berkasih sayang yang merangkumi kasih
terhadap Allah, kasih sesama manusia, kasih akan haiwan dan binatang serta
kasih kepada seluruh alam semesta ini.
Sesungguhnya berkasih sayang kerana Allah mencakupi pelbagai sudut
dalam kehidupan ini. Ianya tidak semudah diungkap di bibir. Berkasih sayang
kerana Allah mendidik jantung hati manusia agar benar-benar ikhlas dalam
berkasih bukannya sekadar ungkapan di bibir semata-mata. Hakikatnya, dalam diri
orang-orang yang beriman, Allah SWT menanamkan ke dalam diri mereka sifat dan
perasaan kasih sayang. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam
al-Quran menerusi surah Maryam ayat 96, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang
bermaksud :
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati
orang ramai perasaan kasih sayang".
Bagi orang yang beriman, berkasih sayang bukan sahaja untuk
memenuhi tuntutan hidup dunia tetapi juga untuk melestarikan perasaan tersebut
sehingga menuju ke syurga. Hubungan persahabatan yang dibina dikalangan mereka
yang beriman, akan berpanjangan eratnya sehingga di hari akhirat. Hal ini dapat
kita fahami sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam kitab
suci Nya, menerusi surah az-Zukhruf ayat 67, firman Allah SWT yang bermaksud :
"Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi
musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya
berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)".
Berdasarkan ayat ini, jelaslah kepada kita bahawa sesebuah hubungan
yang dibina yang tidak berdiri diatas kasih dan sayang kerana Allah, tentulah
tidak akan berkekalan hubungan tersebut selain akan hancur, berpecah dan
terlerai musnah mengikut kepentingan diri masing-masing. Sesebuah hubungan
kasih dan sayang yang tidak disemai dengan nilai cinta kerana Allah pastinya
bersifat sementara sahaja di dunia dan pada hari akhirat kelak, hubungan yang
sedemikian akan berubah menjadi permusuhan dan kebencian pula. Ironinya, kita
dapat lihat sebahagian episod dalam kehidupan ini, hubungan keakraban yang
dibina dahulu akhirnya menemuinya perpecahan apabila sudah tidak memiliki arah
pandangan yang sama dan selari. Jika dahulu tatkala di waktu mempunyai hasrat,
cita-cita dan pandangan yang sama, ke hulu ke hilir tetap bersama tanpa
mengenal siang dan malam. Namun begitu, apabila sudah tidak berkongsi cita-cita
yang sama, melihat muka pun tidak teringin rasanya. Ini kerana sseebuah
hubungan tersebut dibina sekadar memenuhi citarasa di dunia dan tidak di dasari
atas kasih kerana Allah.
Oleh kerana itu adalah amat penting bagi kita untuk menyemai nilai
kasih dan sayang kerana Allah SWT dan bukan kerana kepentingan tertentu
semata-mata. Dalam usaha mencapai suatu kesempurnaan iman kita terhadap Allah,
mahabbah atau kasih sayang kerana Allah adalah antara petanda yang kita telah
menyempurnakan iman kita. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh baginda Nabi
Muhammad SAW di dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Abu Umamah
bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah,
memberi kerana Allah dan menahan (tidak memberi) kerana Allah, benar-benar dia
telah menyempurnakan keimanan".
Berdasarkan hadith ini, jelas bahwa bagi mereka yang berkasih
sayang kerana Allah, mereka mencintai untuk saudaranya apa yang dicintai oleh
Allah dan Rasul Nya untuknya berupa hidayah, keimanan, kebahagiaan, keselamatan
dan pelbagai lagi kebaikan baik di dunia mahupun di akhirat. Selain itu dalam
pada masa yang sama, mereka juga akan membenci untuk saudaranya dari apa-apa
perkara yang dibenci oleh Allah dan Rasul Nya, iaitu dari apa-apa yang
menyebabkan saudaranya jatuh ke lembah keburukan, kebinasaan dan kemudaratan. Oleh
itu, bagi sesiapa dikalangan umat manusia yang beriman kepada Allah, lalu
mencintai para Nabi, para sahabat Nabi dan orang-orang soleh yang lainnya
kerana keimanan dan keteguhan mereka diatas jalan kebenaran, dan bukanlah
kerana yang lain seperti kerana harta, rupa paras, populariti atau kerana
ketaksuban terhadap mereka, ini bermakna benar-benar telah mencintai kerana
Allah dan pada hari akhirat kelak, kita akan dibangkitkan bersama orang yang
kita cintai. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah
hadith riwayat Tirmizi, sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
"Pada hari kiamat, seseorang itu akan bersama dengan siapa
yang dia cintai"
Maka renunglah seketika apakah kita benar-benar mencintai dan
berkasih sayang kerana Allah SWT ? Kekuatan ikatan iman akan datang dengan
simpulan cinta dan berkasih sayang kerana Allah Azza Wa Jalla. Kerana kasih,
cinta dan sayang kita tanamkannya kepada Allah SWT, pasti kita akan merasai
kelazatan dan kemanisan dalam keimanan kepada Nya. Hal ini sebagaimana yang
telah dijelaskan oleh baginda Nabi dalam sebuah hadith riwayat Bukhari,
daripada Anas bin Malik RA, baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
“Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, nescaya dia
akan memperolehi kemanisan iman. (Pertama) Allah dan Rasul-Nya lebih
disayanginya daripada sesuatu selain keduanya dan (Kedua) dia mengasihi
seseorang, tidak dikasihinya orang itu melainkan kerana Allah, dan (Ketiga) dia
tidak suka untuk kembali menjadi kafir (murtad) sepertimana dia tidak suka
dirinya dicampakkan ke dalam api neraka.”
Betapa besarnya ganjaran pahala bagi mereka yang benar-benar
mengikat perasaan cinta, kasih dan sayang kerana Allah SWT semata-mata, tidak
kerana kepentingan tertentu. Perasaan berkasih sayang kerana Allah di dunia
akan membuahkan hasilnya di akhirat apabila Allah SWT menjanjikan syurga buat
mereka yang berkasih kerana Nya. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada
Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Kamu tidak akan masuk syurga hingga kamu beriman. Dan kamu tidak
dikatakan benar-benar beriman sehingga kamu saling berkasih sayang. Mahukah aku
tunjukkan kepada kamu suatu amalan yang apabila kamu melakukannya, nescaya kamu
akan saling berkasih sayang? (iaitu) sebarkanlah (ucapkanlah) salam di antara
kamu.”
Begitulah Islam yang amat menitikberatkan soal cinta, kasih dan
sayang yang benar-benar ikhlas yang juga disandarkan kepada Allah SWT. Antara
bukti berkasih dan sayang kerana Allah ialah menyukai kebaikan dan membenci
keburukan bagi saudaranya. Selain itu, bagi mereka yang berkasih sayang kerana
Allah, tidak akan timbul perasaan hasad (dengki) dalam diri bahkan bersama
berkongsi perasaan dengan apa yang diperolehi oleh saudaranya. Begitu juga bagi
yang benar-benar berkasih sayang kerana Allah, mereka pastinya akan memenuhi
hak saudara seperti hak menziarahi, hak memberi nasihat, hak berdoa ketika
saudaranya bersin dan lain-lain lagi hak sesama muslim yang wajib dipenuhi.
Mereka juga akan mengajak saudaranya kepada kebaikan dan mencegah saudaranya
daripada berbuat kemungkaran. Selain akan sentiasa menolong dalam perkara
kebaikan dan tidak menolong dalam perkara dosa dan permusuhan dan lain-lain
lagi bukti berkasih sayang kerana Allah SWT. Demikianlah serba ringkas mengenai
konsep berkasih sayang kerana Allah SWT. Semoga kita semua mendapat rahmat dan
keampunan dari Nya.

