Belia merupakan antara aset terpenting negara bagi menyambung warisan kepimpinan negara dimasa akan datang . Pemimpin datang dan pergi dengan meninggalkan warisannya untuk disambung oleh bakal pemimpin yang akan mengambil alihnya bagi meneruskan segala tanggungjawabnya untuk negara. Persoalannya , seramai mana belia yang mengambil tahu tentang hal ini ? Golongan belia bukanlah satu golongan yang dipinggirkan atau golongan yang kurang penting dalam pembangunan negara. Mereka bukanlah disisihkan. Malah mereka adalah satu kumpulan tersendiri yang memerlukan pendekatan yang tersendiri. Ini memandangkan kepada tahap perkembangan dan kemampuan mereka dalam mengharungi kehidupan yang memerlukan pendekatan tertentu
Susah untuk kita mencari dan mengesan belia-belia yang benar-benar mengambil tahu apa sahaja tentang negara termasuklah politik , ekonomi , sosial dan seumpamanya . Ini adalah kerana sikap mereka yang tidak ingin mengambil tahu atau menganggap ianya adalah sekadar hal yang remeh dan tidak mendatangkan hasil untuk mereka.Hal politik dan ekonomi adalah perkara yang paling merumitkan bagi mereka . Tidak semua minat berparti dan menyertai mana-mana parti politik . Pada hari ini juga hanya segelintir sahaja aktivis politik dan aktivis mahasiswa yang benar-benar aktif dan memperjuangkan yang ingin diperjuangkan . Segalanya bermula dari sejarah . Seharusnya siapa yang harus memainkan peranan ini ?
Oleh kerana itu kita sudah dididik dengan matapelajaran Sejarah sejak dibangku sekolah lagi . Ditanam perasaan patriotik dan cinta kita akan negara dan menerangkan bagaimana pemimpin terdahulu berusaha untuk memerdekakan negara dan melindungi negara daripada ancaman musuh .Maka , generasi pada hari ini perlu menurunkan ilmunya kepada generasi yang akan datang agar sejarah kita tidak terkubur . Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh belia pada masa kini . Cabaran-cabaran inilah yang perlu dihadapi oleh belia secara realiti pada hari ini dan masa akan datang seiring dengan persekitaran sosial dan peredaran zaman yang berubah saban hari .
Pertamanya adalah cabaran teknologi maklumat . Setiap orang kini boleh mengakses segala maklumat tanpa sempadan hanya dengan menggunakan jari atau dalam erti kata lain adalah mendapatkan maklumat dengan mudah . Kebaikannya sememangnya sangat banyak seperti menambahkan pengetahuan , mendapatkan maklumat isu-isu semasa dan maklumat awam . Semua ini berlaku kerana dengan kecanggihan sistem yang dunia ada .Malah boleh dikatakan setiap orang memiliki alat-alat canggih seperti komputer , telefon pintar dan seumpanya yang mudah diakses dengan pelbagai pakej internet ataupun internet tanpa wayar . Ianya memberi kesan yang amat ketara dalam hubungan antara individu , kenegaraan , sosial , kewangan dan industri serta sebagainya . Begitu juga dengan penipuan yang sudah pun wujud melalui sistem internet dan keruntuhan moral dan sosial masyarakat akibat penyalahgunaan sistem yang sama.
Seterusnya , pemikiran dan budaya juga antara cabaran yang dihadapi oleh pada masa kini. Pemikiran beberapa individu terutamanya negara maju yang lebih bersifat mempengaruh dan menakluk menjadi lebih dominan dalam alaf ini. Contoh seperti pemikiran globalisasi dan isu hak asasi manusia . Sifatnya adalah subjektif dan sehingga menimbulkan pergaduhan . Namun, masalah penerimaan dalam keterpaksaan terus berlaku kerana kesan ancaman politik dan ekonomi serta ketenteraan yang akan timbul kelak . Sebagai contoh seperti apa yang berlaku di negara-negara seperti Russia-Ukraine , Syria , Libya , Mesir dan negara-negara bergolak . Sementara pengaruh budaya lebih bersifat mempengaruh ekoran kebebasan dan pengaruh media dan teknologi maklumat .
Akhir sekali , moral dan sosial yang merupakan antara aspek yang semakin pudar dengan bertambah majunya kehidupan mereka . Keselesaan, individualistik dan materialistik lebih menguasai kehidupan mereka . Tahap kebergantungan kepada pemahaman moral dan keagamaan terus longgar. Ini dapat dibuktikan berikutan timbulnya beberapa gejala yang sememangnya dilarang keras oleh ajaran agama. Maka , bersedialah kita wahai belia untuk terus mempersiapkan diri kita dengan ilmu yang merupakan perisai diri agar kita dapat berhadapan dengan cabaran-cabaran tersebut dengan bergaya . Sentiasa beringat akan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah SWT di dunia ini dan tanggungjawab sebagai rakyat .InsyaAllah , semoga kita sentiasa dipelihara dan diampunkan oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dikeji olehnya serta Allah SWT melindungi negara kita daripada anasir-anasir jahat dan fitnah .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan