Ahad, 26 April 2015

KENALI HAKIKAT DIRI

Setiap yang dilahirkan dimuka bumi ini akan melalui suatu tempuh masa yang dinamakan kehidupan.Setiap orang akan menafsirkan kehidupan ini berdasarkan maklumat dan pengalaman yang diterimanya sejak dia mula berfikir dan dapat menyimpan memorinya.Bagi seorang muslim dia melalui satu jalan pintas untuk mengetahui apakah sebenarnya hakikat kehidupan ini melalui maklumat yang diterangkan oleh al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.Itupun bergantung bagaimana cara dia dibesarkan dan sejauh mana pendedahan terhadap maklumat daripada sumber tadi  yang diperolehinya sama ada daripada ibu bapanya atau persekitaran yang  membesarkannya.Al Quran adalah kitab terakhir yang merupakan anugerah Allah kepada manusia di dunia ini, Ia ibarat peta bagi seorang musafir. Di dalamnya terkandung gambaran jalan yang lurus untuk menuju suatu matlamat yang telah digariskan.


Malah ianya menerangkan destinasi sebenar yang sepatutnya semua orang  menujunya. Alam Akhirat dan perkara ghaib digambarkan oleh al Quran sebagai suatu yang benar sebagai jalan pintas untuk akal fikiran manusia memahaminya. Sebab itulah al Quran hanya petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa iaitu mereka yang mengimani perkara ghaib termasuk Alam Akhirat.Walaupun dengan akal yang waras yang Allah kurniakan kepada manusia itu  boleh menyampaikan seseorang itu kepada hakikat ketuhanan, akan tetapi Allah dengan rahmatnya telah mengutuskan para Rasul dan Kitab sebagai jalan pintas dan jalan mudah untuk manusia sampai kepada hakikat tersebut. Begitu juga dengan hakikat kehidupan ini serta di mana kesudahan dan apa tujuan manusia dihidupkan di alam ini juga secara terperinci ditunjukkan oleh al Quran. 




Oleh itu sebenarnya al Quran adalah sebesar-besar nikmat yang  diturunkan  Allah untuk manusia di alam buana ini. Sebab itu bagi mukmin menatap ayat-ayatnya saban hari  itu adalah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah di atas nikmat tersebut.Manusia adalah makhluk yang paling unik yang diciptakan Allah di alam buana ini. Kemuliaannya boleh mengatasi ketinggian para malaikat akan tetapi  kehinaannya pula boleh sampai lebih hina daripada  binatang.Kemuliaan atau kehinaan adalah dua pilihan yang mesti dibuat oleh manusia kerana kedua-duanya adalah berbeza. Jalannya juga berbeza dan tidak boleh bercampur. Bagi yang memilih kemuliaan dan ketinggian maka jalan yang digambarkan oleh al Quran sebagai jalan yang lurus dan itulah jalan menuju Allah Yang Maha Tinggi.


Adapun jalan yang bercabang atau bengkok adalah jalan menuju kehinaan dan kerendahan.Manusia juga mesti mengenali hakikat dirinya sendiri serta mengetahui apa yang perlu disediakan untuk memudahkannya  sampai kepuncak  kemuliaan dan ketinggian.Seperti seorang yang bermusafir yang mengetahui selok belok kenderaan yang dinaikinya serta apa yang diperlukannya semasa perjalanan akan lebih mudah untuk sampai ke distinasi yang ditujunya, begitu juga di dalam perjalanan menuju Allah Yang Maha Tinggi.Hakikat kejadian manusia seperti digambarkan oleh al Quran dan al Sunnah terdiri daripada beberapa unsur yang setiap satunya diberi penekanan oleh Islam di dalam pembinaan,pemeliharaan dan penyelenggaraanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan