Segala hasil baik mahupun buruk yang berlaku pada kita adalah hasil dari perbuatan tangan-tangan kita juga. Allah S.W.T. tidak akan ubah nasib kita jika kita sendiri tidak berusaha untuk mengubahnya. Itu telah Allah nyatakan dengan sangat jelas. Orang yang jahil dan malas berusaha akan menyerahkan segalanya kepada Allah sahaja tanpa berusaha. Kononnya segala yang terjadi telah ditetapkan dari sebelum dia lahir lagi.
Ya! memang baik buruk dari semua yang berlaku telah Allah tetapkan di dalam Luh Mahfuz, Al Quran kitab Agungnya. Semua manual kehidupan itulah yang akan menetapkan hasil baik mahupun buruk kepada pelakunya. Sejak azali lagi telah Allah tetapkan kebaikan dan kesejahteraan bagi sesiapa yang mematuhi arahanNya dan keburukkan bagi mereka yang mengingkari aturan hidup yang telah ditunjukkan oleh Nya.
Serik biasanya diguna oleh seseorang yang telah mengalami sesuatu yang pahit atau musibah ke atas dirinya sendiri. Sebesar-besar pelajaran di ambil. Jika boleh tidak sekali-kali mahu mengalaminya lagi. Insaf adalah suatu kesedaran yang terbit dari dalam diri atas pelbagai asbab. Kadangkala keinsafan terbit berikutan pengalaman pahit pada diri sendiri. Ada juga yang insaf hanya setelah mendengar nasihat atau melihat pengalaman ‘serik’ yang berlaku pada orang lain. Inilah yang sebaik-baiknya.
Ada pengalaman serik yang bersifat sementara dan berbaloi untuk diinsafi. Ada pula kerosakan yang bersifat kekal. Rasa serik dan insaf sudah tidak berguna lagi. Inilah fenomena "Nasi sudah jadi bubur", atau "cempedak sudah jadi nangka". Sebagai contoh, anak gadis yang suka berkeliaran, bergaul bebas, berpakaian seksi dan berpoya-poya harus merasa insaf apabila melihat ada rakannya yang telah diratah jantan dan melahirkan anak luar nikah. Merasa serik hanya setelah semua itu berlaku pada diri sendiri adalah tidak berguna sama sekali. Dara sudah hilang, maruah diri hilang dan masa depan jadi gelap.
Lebih malang lagi jika kita bukan sahaja tidak pernah insaf, malah tidak pernah kenal erti serik. Kejadian buruk yang sama berlaku berulang kali pada diri kita tanpa sedikitpun pelajaran diambil. Ada yang melahirkan anak luar nikah sampai berkali-kali. Ibubapa pula masih membiarkan sahaja anak gadis berkeliaran walaupun sudah ada ahli keluarganya yang melahir anak luar nikah, sebahagiannya hasil zina bersama keluarga sendiri.
Umat Islam WAJIB mengambil pelajaran dan menginsafi segala kesilapan lalu. Baik buruk sesebuah keluarga, jatuh bangunnya umat dan sesebuah negara semuanya ada cerita dan pelajaran yang harus diambil dan diinsafi. AlQuran sendiri sentiasa mengingatkan kita melalui pengalaman buruk orang-orang terdahulu. Alangkah baiknya jika kita cuba fahami mesej Allah yang telah menceritakan segala pengalaman buruk umat terdahulu dan mengelakkan langkah yang sama agar kita tidak turut merasainya.
Dari Abu Hurairah R.A., Nabi S.A.W. bersabda,
“Tidak selayaknya seorang mukmin dipatuk ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali.” (HR. Bukhari no. 6133 dan Muslim no. 2998)
Lebih malang sekali apabila kita hanya menyesali, menginsafi dan serik dengan siksa neraka atas segala perbuatan kita di dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan