Rabu, 4 Januari 2017

HANYUT DIBUAI MIMPI DUNIA

Ramai yang masih belum sedar hidup ini akan lebih bermakna hanya dengan memahami Kitab Allah dan menjalani kehidupan sebagaimana Sunnah para rasul. Menjadi muslim yang berserah diri kepada Allah dengan mempraktikkan segala kerjabuat Rasulullah di dalam membangunkan agamanya mengikut lunas dan sempadan wahyu. Hari ini manusia sedang hidup di dalam kebohongan dunia sementara, menipu diri sendiri berlumba-lumba mencari habuan dunia masing-masing. Terleka dan lalai dengan arus kemodenan sehingga lupa maksud hidup beragama. Harta dan diri telah diserahkan untuk memonopoli dunia dengan nafsu, bukan lagi iman.
Mereka menjadi takut pada asas agama kerana kita tidak memahami tuntutannya. Lari meninggalkan cara hidup al-Quran kerana tidak faham makna tauhid yang sebenar. Siangnya beriman, malamnya kafir kerana dunia sudah dibeli dengan harga yang mahal manakala agama sudah dijual dengan harga yang sangat murah. Kita hilang pedoman hidup kerana aqidah yang tidak kuat memegang fahaman Allah dan Rasul. Sanggup hidup dalam jahil kerana menafikan kebenaran ilmu bahawa syurga dan neraka itu benar. Agama dipermainkan oleh umat Islam sendiri, hukum dilanggar tanpa segan dan malu. Kerana kita sudah tidak punya pendengaran, penglihatan dan hati yang sensitif tentang agama.


Kita bingung kerana hidup terlalu mengejar dunia hingga lupa ada sebab kenapa kita dicipta sebagai manusia. Kita ada akal tapi malas nak guna. Kita ada mata tapi sengaja jadi buta. Kita ada telinga tapi lebih suka menjadi pekak. Lalu yang hidup cuma sebatang tubuh yang dimakan usia, hidup kerana nafsu makan dan minum. Menghabiskan umur untuk hidup dengan cita-cita manusia, bukan untuk kepentingan agama. Kita sanggup bermatian-matian mengejar impian dunia, tetapi tidak langsung ingat apa impian dan wasiat Nabi kepada kita. Ingat pun tidak, apa lagi nak buat!
Islam bukan lagi satu cara hidup, tapi anutan yang mengikut fahaman nenek moyang. Hidup bersangka-sangka, mengikut kebanyakan manusia yang sesat seperti di bumi sendiri. Islam hanyalah kerana keturunan, bukan lagi kerana kepercayaan iman yang sebenar. Bila manusia hilang keyakinan hidup beragama, kita disogok dengan pelbagai umpan dunia. Pakat sibuk mencari tujuan dan matlamat hidup mengikut acuan manusia bukan pencipta. Kita Dipecah belah oleh sistem manusia yang sentiasa mengambil kesempatan di atas kelemahan kita kepada harta, tahta dan wanita.
Sentiasa berdebat dan bermusuhan kerana fahaman yang dijajah manusia berpaksikan ideologi dunia. Fanatisme terhadapat ISME (fahaman) manusia, dari KAPITALISMA hinggalah SOSIALISMA yang melahirkan manusia komunis sampailah yang tidak mengaku bertuhan. Semua itu penyakit manusia yang dah lupa agama. Kerana nak hidup berjaya di dunia, tuhan mereka adalah duit yang mencipta nama, takhta dan kuasa untuk mengumpul harta dan wanita. 
Jadilah kita manusia yang menyembah apa saja di depan mata asalkan boleh menjadikan kita hidup dalam syurga ciptaan manusia. Sanggup hidup dikuda manusia, menjadi lembu untuk dipergunakan demi kepentingan manusia yang tamak haloba. Dikandang di dalam sistem yang hanya menjadikan kita alat untuk memastikan ekonomi dunia bergerak, menguntungkan yang kaya. Siapa kita sekarang? Di dalam kandang atau di luar kandang?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan