Sewaktu kita bersemangat hendak melakukan perubahan besar dalam hidup, masa itulah nafsu pun memujuk untuk kita kekal di takok yang sama. Ketika kita mahu melakukan kebaikan,waktu itu juga kejahatan mula memesongkan kita supaya suka kepada keburukan. Kerana yang buruk itu selalunya sangat cantik pada nafsu manusia. Segala yang indah di mata Allah dan Rasul semuanya satu penyakit yang menyusahkan jiwa untuk kita ikut taat dan patu pada setiap perintah. Mencegah keji dan munkar itu satu amal yang dituntut 24 jam sehari. Terutama hati yang sangat mudah dikuasai syaitan, yang membolak balikkan jiwa dan pedoman kita untuk menjauhi hukum Allah.
Lalu memilih hukum manusia yang sememangnya jahil. Kerana kita telah hidup di dalam fasa jahiliyah moden yang ratanya manusia mengaku beragama tetapi terpesong jauh dari landasan deen yang lurus. Setiap kita telah membengkokkan Kitab dan Sunnah yang telah ditinggalkan kepada kita dengan menjadikannya hanya satu bacaan yang berfungsi hanya untuk tujuan ritual semata-mata. Hanya diperlukan untuk menghalau jin dan syaitan yang merasuk manusia. Membuang bala yang dicipta yang manusia dengan dijadikan jampi serapah, merendahkan mertabat al-quran sebagai petunjuk bagi seluruh manusia. Itu sahajakah fungsi al-quran?
Al-quran tidak mampu menjadi syafaat bagi kita kerana ia telah pun hilang dari dada manusia. Apa yang tinggal cuma helaian kertas yang tulisannya dilagu-lagu kita tanpa memahami langsung apa tujuan dan maksud setiap perintahNya. Mak bapak lebih suka anak-anak membacanya dengan nyaring, penuh lenggok dari mereka membaca dengan penuh minat dan kefahaman. Biarlah sedap di dengar telinga mereka, dari dihayati maknanya oleh hati kerana takutkan perintah Allah!
Anak-anak muda kita sudah jauh membelakangi ilmu Allah. Jauh sudah kita melangkah al-quran dalam setiap perjalanan hidup kita. Kita sebaik ibubapa, apa peranan kita mengembalikan anak-anak kepada mengenali Allah dan Rasul? Mencintai mereka dan agama dari segala isi dunia? Mereka lebih suka habiskan masa di depan program hiburan dan melalaikan dari peruntukkan masa untuk mengenali kitaballah dan sunnah rasul. Hidup dah tak macam orang yang ada agama. Bebas bercampur laki dan perempuan. Malu sudah hilang dari menjadi sebahagian dari unsur iman.
Akal bukan lagi pemandu untuk menjadi penunjuk ilmu. Agama bukan lagi satu cara hidup yang wajib ditaati. Musuh Islam telah berjaya membuang agama dari jasad orang Islam. Yang tinggal hanya alasan untuk hidup menghabiskan segala nikmat usia, nyawa, masa dan apa sahaja yang boleh dihabiskan untuk dunia. Dah puas berjoli dan berpoya nanti, simpanlah dikit baki usia masa tua untuk Allah. Waktu tu baru nak bertaubat, cari tudung tutup rambut dan si jantan baru nak belajar pakai serban. Al-Fatihah baru mula nak mengaji, dok sibuk betulkan tajwid sebab nak itu surah yang wajib dibaca dalam solat.
Ada 7 ayat yang kita ulang setiap waktu solat, tapi malang kita langsung tak faham apa maknanya? Apa pengisiannya? Apa kehendak Allah atas kita? Tak apa, tunggulah tua sikit. Nanti aku belajaq! Ya. Tunggulah waktu itu. Masa segala tenaga dan jwa sudah diserahka pada dunia. Bila rambut sudah beruban baru nak kembali jadi hamba. Sedangkan selama badan bergetah. Rambut penuh dengan minyak Pomade, belah tepi siap dikikis habis bulu sampai nampak kulit. Waktu itu Allah kita letak tepi. Yang penting layan dulu gelojak nafsu puas-puas. Mati itu lambat lagi. Kata kita yang tak kenal diri.
Al-Quran diturunkan mengikut asbab manusia di penghujung akhir zaman. Begitulah fasa ilmu berkembang dengan menjadikan manusia celik MATA dan HATI. Ianya pelajaran dari manusia untuk manusia, dengan beroleh petunjuknya dan ilham dari Allah demi mencipta INSAN yang mampu mendengar nasihat agama. Itulah wahyu yang menghidupkan kita supaya menggunakan seluruh nyawa yang dikandung badan untuk berbakti kepada Allah. Tak guna kalau kita ada jasad tapi tak hidup mengikut hukum Allah. Kita hanya memilih dunia kerana ia telah menghidupkan nafsu kita dengan segala isi dan keindahannya. Siapa tak suka dikelilingi wanita ? Siapa tak mahu ada kuasa ? Siapa tak nak dilimpahi harta ?
Kita memilih syurga dunia kerana itulah yang dimahukan oleh si Dajjal yang telah mencipta dunia kita hari ni mengikut kemahuan nafsu kita. Musuh sedang berusaha memesongkan aqidah umat Muhammad sama ada dalam kita sedar atau tidak. Bangun saja dari tidur, kita sudah pun di dalam dunia mereka. Kita mungkin dikenali manusia, tapi makhluk di langit belum tentu kenal siapa kita? Hanya jasad yang berkeliaran di bumi menunggu MATI.
“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki? (Hukum) Mana yang lebih baik daripada (hukum) Allah? Bagi orang-orang yang meyakini?” (Al Maidah: 50)