Isnin, 29 Mei 2017

RAMADAN : MEMBURU SEBUAH KETAQWAAN

Saban tahun Ramadan datang menyapa kita semua. Tetamu mulia ini datang dengan membawakan tawaran pahala yang hebat berlipat kali gandanya. Malah semua muslim pada bulan Ramadan ini, dilihat berpusu-pusu berlumba-lumba melakukan amal soleh seperti mengimarahkan masjid, bertadarus al quran, bersedekah dan lain-lain, memanfaatkan tawaran yang dibawa oleh Ramadan ini. Dalam keghairahan kita menyambut bulan Ramadan, misi utama kita adalah untuk memburu sebuah ketaqwaan.

Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah Al Baqarah ayat 183 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”.

Menurut Imam Ibnu Katsir ayat ini berisi perintah untuk menunaikan ibadah puasa pada Bulan Ramadhan. Secara istilah syarak, puasa bererti menahan diri dari makan, minum, dan hal-hal lain yang membatalkan puasa mulai terbit fajar sampai terbenamnya matahari. Puasa mengandung aspek sosial yang sangat tinggi. Dengan puasa, seseorang berlatih kepekaan sosial. Di samping itu, puasa mampu membersihkan diri dari hal-hal buruk kerana ketika seseorang berpuasa, saluran dalam tubuh yang biasa dilewati oleh syaitan akan menyempit. Dengan begitu syaitan tidak akan berleluasa bergerak. Ada juga yang berpendapat puasa juga merupakan zakat jiwa, iaitu bermakna puasa adalah suatu jalan bagi mensucikan jiwa dari lara dunia. 



Tujuan utama kita menjalani madrasah Ramadan ini ialah untuk memburu sebuah nilai ketaqwaan,untuk menjadikan kita insan yang lebih bertaqwa. Ini kerana, disisi Allah Azza Wa Jalla, tiada nilainya kita sebagai hamba Nya melainkan hanya di pandang ketaqwaan pada Nya. Sekian lama kita dilalaikan dengan hidangan hiburan yang lara, maka ramailah manusia menjadikan bulan Ramadan ini sebagai satu kesempatan memperbaiki diri, menjadi insan yang lebih bertaqwa. Oleh kerana itu, budaya sindir menyindir orang mula berpusu ke masjid, menyindir orang yang baru mahu membaca al quran, adalah satu budaya yang kurang elok. Sebetulnya, kita sama-sama memberikan mereka dorongan semangat disamping kita membimbing diri sendiri menjadi insan yang bertaqwa. Barangkali dengan keberkatan Ramadan yang datang ini, kita dan mereka semua akan menjadi insan yang lebih baik dari semalam.

Ketaqwaan yang dicari perlu di dasari dengan keimanan yang utuh. Seringkali kita semua terlupa, kadang kita telah menjadi hamba pada Ramadan, tidak hamba kepada Allah. Hal ini kerana, kita gagal untuk benar-benar memburu ketaqwaan yang sebenar. Kita gagal untuk memahami dan memaknai sebuah erti ketaqwaan. Oleh itu, Ramadan adalah sebuah sekolah latihan yang akan melatih kita berusaha gigih menjadi orang yang bertaqwa. Natijahnya, apabila kita keluar daripada sekolah latihan ini, kita kekal istiqamah melaksanakan amal soleh meskipun di luar bulan Ramadan. Kita harus lebih sedar bahwa, Ramadan yang sedang kita jalani ini bukanlah untuk kita jadikan pesta berjuadah. Ke sana dan ke sini, ke hulu dan ke hilir, mencari juadah berbuka puasa. Sepatutnya, Ramadan ini kita jadikan ianya bulan kita berpesta ibadah, berlumba-lumba melaksanakan amal soleh.

Kita juga seharusnya lebih menekankan tentang bagaimana untuk kita meningkatkan kualiti ibadah kita berbanding kita berbalah sesama sendiri dalam perkara yang menjadi perbincangan khilaf para ulama. Marilah kita jadikan bulan Ramadan ini sebagai titik permulaan penyatuan ummah dengan menanggalkan segala perbezaan ideologi mazhab, politik dan sosial. Ketaqwaan yang kita sedang buru ini, tidaklah datang dengan bergolek melainkan kita berusaha meningkatkan amal soleh selain berusaha meninggalkan perkara-perkara yang melalaikan kita. Pada masa yang sama, Ramadan adalah bulan yang terbaik untuk kita sama-sama mempelajari al quran, mendalami ilmu tafsir dan sebagainya. Peluang-peluang seperti ini amat jarang diadakan melainkan bersempena dengan kedatangan Ramadan ini. Dengan cara yang telah disebutkan tadi, demikianlah antara usaha yang boleh kita laksanakan bagi memburu sebuah ketaqwaan yang sudah tentu menjadi dambaan hamba Nya yang soleh solehah.

Marilah sama-sama kita memburu ketaqwaan yang telah dijanjikan oleh Allah bagi para hamba Nya yang bersungguh-sungguh. Percayalah, perubahan manusia barangkali Ramadan ini merupakan titik tolak penghijrahan bagi mereka yang mencari redha Nya. Maka janganlah kita terus bermain sindir-menyindir pada mereka yang ingin berubah. Setiap sesuatu kebaikan yang hamba Nya laksanakan, tidak akan pernah ada yang sia-sia. Allah itu Maha Adil, bersifat rahmah dan maghfirah pada hamba Nya. Maka janganlah berputus asa dari terus mencari dan memburu sebuah ketaqwaan. Ketaqwaan itu bukanlah terletak pada pakaian, ianya akan terserlah melalui contoh teladan, keperibadian yang mulia dan hati yang suci. Sementara kita masih berkesempatan bertemu dengan Ramadan, maka ayuhlah semua kita menjadi pemburu ketaqwaan bukan pemburu bazar Ramadan.

Khamis, 18 Mei 2017

RAJA DAN RAKYAT BERPISAH TIADA

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah diisytiharkan sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000. Sejak dari terbentuknya Kerajaan Perlis yang berdaulat, Perlis menyaksikan kehadiran pemerintahnya yang berjiwa rakyat. DYMM Tuanku Syed Sirajuddin dibesarkan dalam persekitaran Bandar DiRaja Arau, Istana Arau yang dikelilingi oleh teratak rakyat jelata, sawah padi yang menguning dan sungai-sungai kecil yang mengalir lesu, serta nada cengkerik yang mengiringi tabir malam. Suasana ini membina watak Raja dan anak-anak Raja Perlis serasi dengan jiwa rakyat jelata, Al-marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan puteranya Syed Sirajuddin biasa berbasikal dari Arau ke Kangar, sifat Baginda yang merendah diri menjadikan DYMM Raja Perlis mudah didekati rakyat. Semasa menjadi DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin lebih selesa memandu sendiri kereta baginda ke mana sahaja berangkat sama ada untuk urusan, peribadi mahupun bersantai. Memandu kereta tanpa pemandu cukup membahagiakan baginda, walaupun dari segi protokol mungkin tidak sesuai namun baginda tidak pernah merasakan ianya sesuatu yang ganjil, kerana rakyat sentiasa menyanjungi baginda sebagai Raja pemerintah yang dekat di hati rakyat. Baginda boleh disifatkan sebagai seorang raja yang sangat ramah dan tidak kekok melayan rakyat.


Baginda juga tegas dalam menjalankan tanggungjawabnya. Semasa menjadi Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis baginda berpegang kepada Perlembagaan Negeri, khususnya dalam menentukan umat Islam di Perlis berpegang teguh kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. DYMM Tuanku Syed Sirajuddin juga seorang Raja yang suka membaca buku dan ini membolehkan baginda mempunyai pengetahuan am yang agak luas. Ada pendapat yang menyebut Tuanku Raja Perlis ini gemar membaca semasa dalam perjalanan, ini termasuklah dalam kereta. Baginda juga seorang yang periang dan suka berjenaka. Hal ini kerap dinyatakan oleh mereka yang kerap menyertai DYMM Tuanku bermain golf. Jenaka Tuanku kerap menyebabkan gelak ketawa.  Baginda tidak mementingkan protokol namun soal adat istiadat amat beliau titik beratkan. Dalam soal ini ketepatan waktu menjadi perhatian DYMM Tuanku. Sifat baginda yang berterus terang membolehkan baginda disayangi mereka yang mendampingi baginda, malah rakyat jelata sentiasa bersedia menerima nasihat dan pandangan baginda. Hal ini ditambah pula dengan sifat baginda yang merendah diri yang menjadikan baginda disenangi rakyat jelata.





Bagi seluruh rakyat negeri Perlis, tanggal 17 Mei setiap tahun adalah satu tarikh yang sangat dinanti-nantikan. Hal ini kerana, kehangatan sambutan ulangtahun keputeraan Raja Perlis ini terasa bahangnya hingga ke rakyat bawahan. Manakan tidak, sambutan keputeraan raja Perlis ini sudah berkali-kali mengadakan program yang diberi nama “Malam Kilauan Cahaya” di Istana Arau. Apa yang istimewanya dalam program ini ialah, seluruh rakyat Perlis bahkan dialu-alukan dari segenap rakyat Malaysia untuk memasuki kawasan Istana Arau yang dihiasai dengan kilauan cahaya lampu yang mempesonakan. Malah diberi peluang buat semua yang hadir untuk melawat Galeri Diraja. Inilah salah satu diantara keunikan sambutan ulangtahun keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis. Selain itu, seluruh rakyat juga amat ternanti-nantikan Istana Terbuka yang saban tahun dilaksanakan pada hari raya pertama aidil fitri. Istana Terbuka ini merupakan satu perkara wajib hadir bagi rakyat Perlis kerana selain disediakan jamuan yang enak, tetamu yang hadir juga diberi kesempatan untuk bersalaman dan menerima duit raya dari pihak Istana Arau. Apa yang istimewanya Istana Terbuka ini ialah, bukan sahaja orang islam yang hadir, turut serta memeriahkannya juga ialah dari pelbagai latar belakang bangsa, agama dan negara. Ini adalah salah satu bukti yang jelas bahwa Raja dan rakyat berpisah tiada.


Rakyat sejati negeri Perlis, sudah tentu akan mengenali sifat DYMM Tuanku Raja Perlis yang bukan sahaja menjadi penaung pada rakyatnya, tetapi baginda juga boleh menjadi sebagai seorang rakan, kawan dan ayahanda kita semua. Sikap baginda yang tidak berapa gemar “berprotokol” dalam urusannya, menambat hati seluruh rakyat negeri bertuah ini.Pernah satu ketika, baginda menghadiri kenduri walimah tanpa di iringi oleh pegawainya. Bukan tidak bimbang akan keselamatannya, namun itulah baginda yang lebih suka untuk menjadi seperti insan yang lain. Kini, usia baginda mencecah 74 tahun. Baginda juga seringkali menghadiri majlis-majlis rasmi sama ada di dalam atau di luar negeri, kelihatan baginda sentiasa bertongkat. Raut wajah baginda mencecah usia 74 tahun, namun semangatnya untuk terus berbakti pada rakyatnya tetap kekal utuh. Dengan kesihatan baginda yang terhad, saya percaya dan yakin, seluruh rakyat negeri Perlis senantiasa mendoakan agar Allah memberkan kesihatan yang baik buat baginda berdua. Sempena ulangtahun baginda yang ke 74, marilah sama-sama kita berdoa menadah tangan memohon kepada Allah, supaya baginda berdua dianugerahkan kesihatan yang baik, kesabaran yang tinggi dan kekuatan yang utuh, demi melaksanakan tugasnya sebagai pemerintah yang menaungi seluruh rakyatnya.

Rabu, 17 Mei 2017

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Tema Hari Guru 2017 mengulangi tema Hari Guru 2016 dan 2009. Ini membuktikan bahawa tema, ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ sangat signifikan dengan peranan utama guru dalam melunaskan akauntabiliti mereka. Guru seperti lilin membakar diri adalah analogi klise yang relevan sepanjang masa. Dalam semua agenda pembangunan negara, guru adalah nadi penggerak utama yang sentiasa berkorban tenaga dan masa. Peranan guru dalam membina negara bangsa merujuk kepada melahirkan insan yang mempunyai jati diri beridentiti Malaysia. Identiti Malaysia boleh dirujuk kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang boleh dimengertikan bahawa guru bertanggungjawab melahirkan warga Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai ke­sejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.


Bagi menyempurnakan peranan dalam membina negara bangsa menerusi kelahiran warga yang berpengetahuan guru mesti menguasai disiplin ilmu yang diajar. Menyampaikan ilmu secara kreatif dan inovatif selari dengan perkembangan teknologi terkini. Menggunakan pendekatan, strategi dan teknik pengajaran yang pelbagai termasuk berani mencuba pembelajaran abad ke-21. Di samping itu, guru perlu meningkatkan profesionalisme sama ada tahap kelayakan ataupun mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan. Dalam konteks membangunkan warga berketrampilan dalam pembinaan negara bangsa, guru sendiri perlu kompeten. Mereka bukan sahaja mesti memiliki pengetahuan tetapi kemahiran dan berkemampuan mengurus hubungan manusia dengan efektif dan efisien. Dalam hal ini guru menjadi suri teladan kepada pelajar masing-masing. Sentiasa mematuhi etika pakaian profesion pendidikan dan memastikan pelajar tidak melanggar peraturan pakaian yang telah ditetapkan juga satu daripada amanah yang mesti disempurnakan oleh guru.


                                                                       

Melahirkan warga berakhlak mulia adalah tanggungjawab terpenting dalam pembinaan negara bangsa. Ini kerana sebijak dan secekap mana pun warga yang dilahirkan menerusi sistem pendidikan di Malaysia, tidak akan memenuhi takrifan negara bangsa sekiranya tidak akur kepada hukum agama dan adat resam tidak terpelihara. Di samping itu, menjadi satu kemestian kepada guru untuk memastikan pelajarnya mempunyai rasa cinta mendalam kepada lambang-lambang kedaulatan negara seperti bendera dan jata negara. Strategi yang boleh dipraktikkan oleh guru ialah menerapkan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk membentuk individu berakhlak mulia. Nilai bersyukur sekiranya kerap diterapkan akan membentuk keperibadian unggul dalam kalangan pelajar. Nilai mengutamakan kebersihan pula bakal melahirkan warga yang melestarikan kebersihan alam sekitar. Begitu juga dengan penerapan nilai menghormati orang lain akan melahirkan masyarakat yang saling menyayangi dan menyanjung tinggi antara satu sama lain dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia.

Dalam membina negara bangsa, warganya mestilah berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Dalam hal ini guru perlu istiqamah untuk membangun pelajar yang holistik dalam konteks jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial serta seimbang dalam menguasai ilmu dunia dan akhirat. Tanggungjawab setiap insan semestinya berusaha untuk memperoleh kehidupan yang bahagia, aman dan damai. Gurulah yang menjadi tunjang utama dalam merealisasikan kesejahteraan diri insan yang dipimpinnya. Selain kesejahteraan diri, warga Malaysia dalam konteks negara bangsa perlu menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu, menjadi amanah kepada guru untuk melahirkan warga yang tidak mementingkan diri sendiri. Menjadi harapan kepada guru untuk mereka melahirkan insan yang boleh membantu orang lain untuk turut menikmati kebahagiaan dan kesejahteraan diri.



Bagi memastikan guru berjaya melahirkan warga yang boleh menyumbang kepada kemakmuran dan keharmonian negara. Pelajar yang mempunyai semangat nasionalisme, patriotisme, mengamalkan semangat perpaduan dan integrasi serta sehati sejiwa dalam mempertahankan nama baik dan kedaulatan Malaysia mesti diusahakan oleh semua guru. Hasrat tersebut tidak akan dicapai sekiranya hanya guru bidang sains sosial sahaja yang dipertanggungjawabkan. Guru-guru yang mengajar sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik juga perlu memainkan peranan secara kolektif. Negara bangsa memerlukan ejen perubahan demi pembangunan negara. Pada masa yang sama negara bangsa perlu mempertahankan tradisi dan identiti Malaysia. Oleh itu guru dalam membina negara bangsa, perlu dinamik melahirkan pelajar yang boleh mencipta kemajuan dan lestari mempertahankan tradisi agar mereka mempunyai jati diri. Guru mempunyai amanah untuk membangunkan insan yang berfikiran dan bertindak berpaksikan budaya tempatan dan berfikiran antarabangsa dalam meniti alam pekerjaan dan kehidupan demi sebuah negara bangsa bernama Malaysia.