Sabtu, 30 Disember 2017

PAK YUS : IKON HEBAT ANAK MUDA PERLIS

Tanggal 30 November 2015, industri seni negara dikejutkan dengan berita sedih apabila pada tarikh tersebut, telah perginya seorang pelawak, pelakon dan penghibur terkenal berasal dari Perlis iaitu Pak Yus Jambu atau nama sebenarnya Yussry Bin Edoo. Kehilangan Pak Yus memberi kesan yang mendalam terhadap industri seni negara dan pemergiannya ini suatu yang tidak pernah di jangkakan. Rakan-rakan artis yang lain seperti Dato Afdlin Shauki, Dato AC Mizal dan yang lainnya menyifatkan pemergian beliau adalah suatu kehilangan besar buat industri seni tanah air. Lebih terkesan lagi dengan pemergian beliau ialah sahabat akrabnya yang sentiasa mendokong kumpulan Jambu iaitu Taukeh. Bak kata pepatah, “berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”. Pemergian beliau amat memberi kesan buat sahabat seperjuangannya, Taukeh. Siapakah Pak Yus yang sebenarnya ? Apakah yang membuatkan seluruh negara merasakan kehilangan besar atas pemergiannya ?. Semuanya akan terjawab dalam artikel ringkas ini.


Pak Yus atau nama sebenarnya Yussry Bin Edoo telah dilahirkan pada tarikh 15 Mac 1976 dan dibesarkan di Kampung Nesam, Sungai Batu Pahat Kangar, Perlis. Pak Yus merupakan anak bongsu daripada tiga beradik. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan. Namun semuanya itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk mengejar cita-citanya untuk menjadi penghibur negara. Beliau telah menamatkan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Kangar Perlis. Setelah tamatnya pengajian, Pak Yus terus mengasah bakatnya dalam bidang seni dengan menceburi bidang teater dan tarian di Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negeri Perlis. Pada tahun 2004, Pak Yus telah dinobatkan sebagai Pelakon Teater Terbaik Kebangsaan. Sebenarnya, sejak tahun 2001 lagi Pak Yus telah mengorak langkah mencipta nama dalam Sinaran Pasport Kegemilangan, sebuah program anjuran TV3 dahulu. Namun nasib tidak menyebelahinya.



Kegagalan beliau mengharumkan namanya di persada seni pada tahun 2001, tidaklah menjadi penamat kepada beliau untuk terus mengorak langkah. Kecekalan dan ketabahan anak jati Perlis ini, sekali lagi beliau mencuba nasibnya dalam program Raja Lawak Astro yang julung kalinya diadakan pada waktu tersebut. Alhamdulillah, langkahnya kali ini berjaya. Pada tarikh 11 Mac 2007, beliau telah dinobatkan sebagai Juara Raja Lawak Musim Pertama Astro. Kejayaan besar beliau ini sekaligus telah membanggakan seluruh rakyat negeri Perlis. Kejayaan besar ini juga telah menjadi inspirasi dan contoh teladan yang baik kepada anak-anak Perlis yang lain supaya anak-anak Perlis tidak takut untuk mencipta langkah menempa nama di persada seni. Langkah Pak Yus tidak terhenti setakat itu sahaja. Tahun 2011, kumpulan Jambu yang diasaskan oleh beliau dan taukeh telah mendapat tempat keempat dalam Maharaja Lawak. Tahun seterusnya, tahun 2012, kumpulan Jambu telah berjaya dinobatkan sebagai Naib Juara Maharaja Lawak Mega. Bukan setakat itu, langkah Pak Yus sebagai anak seni terus mencipta namanya apabila beliau mendapat tempat keempat dalam Super Spontan 2013, tempat kelima Super Spontan 2014 dan tempat keempat Super Spontan All Starz 2015.


Perwatakkannya yang bersahaja dan melucukan menjadi antara kenangan yang tidak dapat kita lupakan. Dalam persembahannya, kerapkali beliau menyebut beberapa nama dan perkara yang sinonim dengan masyarakat utara seperti pekan Kodiang, tuyu (kicap) dan lain-lain. Sifat kerendahan hatinya tidak ada siapapun yang dapat nafikannya. Dalam lucunya, beliau banyak menyimpan kesedihan hidupnya sebagai anak seni. Dalam diam-diam, sebenarnya Pak Yus telah banyak membantu orang sama ada beliau kenal atau tidak, beliau rapat atau sebaliknya, beliau suka memberi daripada meminta. Sikap beliau yang pemurah ini terbongkar selepas pemergian beliau. Pak Yus yang kita kenali ini, beliau merupakan seorang dermawan meskipun beliau bukanlah dikalangan para jutawan. Tahukah kita semua, Pak Yus adalah insan yang sangat baik pada semua orang. Beliau seorang peramah dan tidak pernah lupa akan asal usulnya. Meskipun namanya  terpahat sebagai anak seni yang hebat, namun tidak pernah sedikit pun beliau bersikap sombong dengan apa yang beliau telah miliki. Saya percaya, sikap yang baik seperti inilah yang membuatkan ramai orang tersentuh hati dengan pemergian beliau.



Saya katakan, Pak Yus adalah ikon anak jati Perlis. Beliau merupakan lagenda hebat orang Perlis. Beliau telah membuktikan bahwa orang yang lahir dari sebuah negeri terpencil di utara pun mampu mencipta nama seperti orang lain juga. Tidak apa pun status kehidupan kita, asalkan kita mempunyai iltizam kukuh, disusuli dengan kesungguhan yang utuh, kita akan berjaya melangkah ke persada dunia. Pemergian Pak Yus adalah pemergian yang abadi. Meskipun airmata darah kita titiskan, namun takkan pernah menghidupkan Pak Yus kembali, Tetapi lihatlah dunia, meskipun Al Marhum Pak Yus telah pergi meninggalkan kita buat selamanya, tidak bermakna semangatnya juga pergi bersama. Pak Yus hanya pergi meninggalkan jasad dan rohnya, namun semangatnya kami pegang, kejayaannya kami kenang dan telatahnya kami pahatkan. Ayuhlah anak-anak Perlis, kita ambil semangat ini untuk terus melangkah mencipta nama dan menempa kejayaan.