Keharmonian adalah salah satu manifestasi dalam membentuk
perpaduan. Perpaduan yang kukuh, akan terlahir daripada manifestasi keharmonian
ini. Perkataan harmoni itu sendiri membawa maksud yang pelbagai seperti aman,
tenteram, bahagia dan tenang. Hakikatnya, setiap dikalangan kita pasti
mempunyai definisi keharmonian yang tersendiri. Beragama adalah fenomena
sejagat. Hampir semua masyarakat bertamadun, sedikit sebanyak dipengaruhi oleh
pandangan atau pernah melalui proses orientasi agama atau kepercayaan dalam
sejarah pembentukan dan perkembangan peradaban mereka.Evolusi sosial mengubah
orientasi dan pegangan kepada agama, yang mengakibatkan pemisahan agama
daripada pemerintahan seperti yang berlaku dalam sejarah tamadun Barat dan
Islam pada satu masa dulu. Namun, ia sama sekali tidak terus menidakkan
kewujudan dan peranan agama dalam membentuk nilai keharmonian dalam sebuah
masyarakat hingga kini.
Oleh kerana sifat kesejagatan pengaruh agama membentuk nilai dalam masyarakat,
maka kajian mengenai masyarakat tidak akan lengkap, tanpa melihat agama sebagai
antara faktor yang mempengaruhi pembentukan nilai masyarakat dalam sesebuah
negara. Dalam Islam, nilai agama bertunjangkan kepada kepercayaan Tuhan yang
Maha Esa (Tunggal) yakni Allah SWT. Bagi penganut agama Islam, nilai yang
mereka pegang adalah berpandukan kepada ajaran dan bimbingan Al-Quran dan
Sunnah. Oleh kerana sebahagian besar penduduk negara ini beragama Islam, maka
tentulah, nilai agama Islam berperanan dalam sejarah dan membentuk masyarakat
Malaysia hingga hari ini. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, kebebasan beragama
sedia terjamin dalam Perlembagaan negara. Kebebasan ini mewujudkan keharmonian
dalam masyarakat kita. Semua agama menyeru kepada kebaikan dan kerukunan dalam
perhubungan sesama manusia. Islam, sebagai agama yang mensejahterakan atau
agama keamanan, sangat menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia,
meskipun anutan agama mereka berbeza daripada Islam.
Hal ini terbukti dalam catatan sejarah di zaman pemerintahan islam
dahulu, sebaik sahaja Nabi Muhammad SAW menjadi ketua negara islam yang ketika
itu berpusat di Madinah, maka Piagam Madinah telah diperkenalkan sebagai
perlembagaan negara. Dalam piagam tersebut, penduduk tetap Madinah yang bukan
beragama islam telah diberikan jaminan oleh Nabi Muhammad berhubung soal
keselamatan dan ketenteraman mereka sama seperti orang islam yang lain.
Meskipun berbeza dari sudut agama dan kepercayaan, Nabi Muhammad yang merupakan
utusan Allah ini telah mendidik dan mengajar umatnya supaya tidak meminggirkan
soal keharmonian dikalangan masyarakat tanpa meminggirkan mana-mana pihak. Sebarang
bentuk kezaliman dan penindasan adalah ditentang dan dilarang dalam islam. Ini
adalah contoh dan sudut pandang islam yang sangat menitikberatkan soal
keharmonian dalam kehidupan masyarakat.
Islam adalah agama yang mengajar umatnya untuk melakukan kebaikan
kepada sesiapa sahaja termasuk kepada yang bukan beragama islam. Kerana islam
itu sendiri adalah agama yang mengajar umatnya untuk menjaga keharmonian. Hal
ini terbukti pada zaman Nabi Muhammad, baginda Nabi pernah menerima undangan
dari seorang Yahudi untuk menjamah makanan bersamanya. Lalu, Nabi Muhammad SAW
pun memenuhi undangan tersebut dari seorang Yahudi. Nabi Muhammad SAW tanpa
ragu, telah hadir dan menjamah makanan bersama. Contoh teladan yang baik ini
melambangkan islam adalah agama yang senantiasa menganjurkan keharmonian hidup.
Tidaklah islam itu agama yang mengajak bermusuhan sebaliknya mengajak kepada keharmonian
hidup sejagat. Akhir sekali, islam satu agama yang membawa mesej keamanan dan
keharmonian hidup tanpa mengira soal agama, bangsa apatah lagi warna kulit yang
berbeza. Sesiapa sahaja, walau apa pun pangkat dan darjatnya, islam senantiasa mengutamakan
nilai kehidupan.