Sumayyah adalah watak terpenting yang boleh menjadikan inspirasi
kepada kita semua. Kisahnya telah memberikan tamparan hebat kepada diri kita
yang mempunyai kelebihan lebih hebat berbanding beliau yang menjadi seorang hamba pada satu
manusia. Untuk mencari manusia sekental Sumayyah pada hari ini agak sukar dan
susah. Kerana kita telah dikaburi oleh habuan harta dan pangkat. Di taburkan
dengan pengaruh dan kuasa. Dek kerana itu, kita menjadi lemah dan longlai.
Masih berkira-kira tenaga, masa dan harta
untuk menyambung kerja warisan para nabi dan rasul.
Kisah Sumayyah telah
mengajarkan kita erti keberanian dan berkorban yang sangat besar dan teramat bernilai harganya.
Pengorbanan nyawa adalah suatu tingkatan yang paling tinggi kedudukkannya.
Sewaktu itu, keluarga Yassir, yang terdiri daripada anaknya yang bernama Ammar
dan isterinya bernama Sumayyah, diheret ke tengah padang pasir, diseksa dan
dipukul hanya oleh kerana mereka mengikuti ajaran Nabi Muhammad SAW yakni agama
Islam. Ketika itu, disaat awal penyebaran islam di Makkah, umat islam masih
belum mempunyai kekuatan yang utuh. Hampir lebih kurang 100 orang sahaja
memeluk agama islam. Islam sewaktu itu masih belum mempunyai bala tenteranya.
Belum mempunyai kuasa pemerintahan yang kukuh. Apatah lagi mahu diberi
pertolongan kerana islam ketika itu masih dalam keadaan minoriti.
Jika dibandingkan dengan
zaman kita sekarang, jauh lebih hebat dari zaman dahulu. Kini, kita sudah mempunyai
umat yang ramai. Malah menjadi majoriti di dunia. Dalam majoriti tersebut, kita
sudah pun memiliki negara yang mempunyai pemerintahan islamnya. Berbeza pada
zaman tersebut, mereka menjadi kaum minoriti, diseksa dan dipukul dengan penuh
kebencian dan kezaliman. Paling menyedihkan, seorang wanita hamil yang juga
merupakan isteri kepada Yassir dan ibu kepada Ammar, ditusuk dengan perlahan,
dengan menggunakan tombak yang amat tajam matanya. Dalam keadaan tersebut,
Sumayyah tetap kental dan cekal, menahan segala seksaan keatas dirinya, lantas
tetap berpegang teguh kepada islam, dengan keras hatinya beliau tetap
pertahankan pendiriannya untuk kekal berterusan mentauhidkan Allah.
Pada masa yang sama, episod
kekejaman tersebut tidak terhenti setakat itu, Yassir diikat di tengah padang
pasir lalu diseksa dengan sekeras-kerasnya. Bertambah lagi duka derita, anak
mereka iaitu Ammar, disalai diatas api yang sangat panas. Mereka sekeluarga
diseksa dengan tidak diberi makan, mereka berlapar dan dahaga diatas padang
pasir yang panas dan kering-kontang keadaannya. Akhirnya, kerana mempertahankan
islam, Sumayyah dan Yassir menyahut seruan ilahi, mati syahid dengan disaksikan
oleh anak mereka iaitu Ammar yang telah terselamat dengan izin Allah. Demikian
hebatnya mereka yang dikatakan sahabat Nabi, diseksa dan diuji kerana
mempertahakan islam.
Agama islam yang datang
kepada kita hari ini, telah disebarkan dengan nilai mahar nyawa dan titisan
darah mereka yang terdahulu. Kerana pengorbanan mereka, kita pada hari ini
dapat menikmati islam dengan aman, sejahtera dan damai. Hasil dari titisan
darah mereka, islam tersebar luas tanpa perlu kita mengorbankan nyawa dan
segalanya. Ketahuilah bahawasanya, berdirinya kita sebagai muslim pada hari
ini, adalah kerana susah payah mereka yang terdahulu, yang sanggup mengorbankan
nyawa, keluarga, harta dan segalanya demi menegakkan agama islam yang tercinta.
Berbeza jauh dengan kita pada hari ini. Disaat dan ketikanya,
kita mempunyai segala kekuatan, kemudahan dan kesenangan hidup, kita masih
teragak-agak untuk mengikuti kerja dakwah. Sebahagiannya ada yang masih
berkira-kira dengan masa, tenaga dan harta, sedangkan Sumayyah, hanya seorang
wanita biasa,yang kerjanya siang malam untuk memenuhi keperluan tuannya sahaja,
namun iman di dadanya tetap utuh dan teguh. Meskipun di ancam dengan tombak
yang tajam, diugut dengan menyiksa suami dan anak tercinta. Kerana agama, biar
tercabut kasih pada dunia, asalkan tidak hilang cinta pada Nya. Inilah sikap
yang semakin hari semakin hilang dalam dada umat islam. Masing-masing mengejar
kepentingan duniawi sehingga terlupa kehidupannya di akhirat sana.
Dalam perjalanan kembara hidup ini, untuk mencari seseorang yang
sekental Sumayyah, amatlah sukar dan susah. Namun tidak dinafikan, pada zaman
milinea ini, ada sebilangan daripada kita, ada yang sanggup mengorbankan masa
cutinya untuk meneruskan kerja-kerja dakwah. Ada juga sebilangannya yang
sanggup mengorbankan wang dan hartanya bagi menampung kos perjalanannya untuk
berdakwah. Tidak kurang pula, ada yang sanggup meninggalkan anak isteri dan
keluarga tercintanya, demi menyahut seruan pekerjaan warisan para Nabi ini. Barangkali
kesemua pengorbanan ini kelihatan sangat kecil dan tidak bernilai dikaca mata
manusia, namun percayalah, ia amat besar dan bermakna di sisi Allah. Dakwah,
bukanlah urusan pak ustaz semata-mata. Tugas mempertahankan islam bukanlah
kuasa jabatan agama sahaja, malah menjadi tanggungjawab setiap muslim yang
mentauhidkan Allah.