"Tiap-tiap yang bernyawa
akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan
disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan
dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa)
kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya)
tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya."
(Surah Ali-Imran, ayat
185)
Hidup adalah suatu hakikat yang ada dan akan berakhir pada suatu
masa tidak diketahui dengan tepat dan tempatnya. Hidup di dunia ini sungguh
mengelirukan pencintanya tetapi orang yang pintar tidak akan tertipu kerana
mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada harta, pangkat dan kekayaan. Sebaliknya,
mereka berpegang kepada iman dan keyakinan kebesaran Allah SWT serta menyerah
diri kepada-Nya. Firman Allah SWT menyatakan hisab dan pembalasan juga berlaku
sebelum hari kiamat tetapi tidak keseluruhannya. Ada kalanya manusia memperoleh
balasan di alam barzakh tetapi ia hanyalah permulaan. Oleh itu, seseorang tidak
akan dijauhkan daripada neraka jika dia tidak berusaha melepaskan dirinya
daripada tarikan neraka sedikit demi sedikit.
Justeru, ketika di dunia
perlu mengawasi diri supaya tidak terjebak dalam perkara yang boleh menyebabkan
kita terjerumus ke dalam neraka kerana di akhirat nanti hanya amalan yang akan
mengiringi. Mereka yang berjaya menjauhkan diri daripada neraka adalah golongan
yang beruntung. Mereka yang dapat menjauhkan diri daripada neraka memiliki
rohani yang bersih serta berjaya mengalahkan tuntutan nafsunya. Neraka
mempunyai penarik yang banyak antaranya nafsu, kelazatan tidak terkawal,
kekayaan, harta benda yang menyalahi hukum Allah SWT. Melihat dari jauh, dunia
kelihatan cantik serta amat mempesonakan. Ibarat musafir kehausan melihat fata
morgana yang disangka air tetapi apabila didekati ia hanyalah pantulan cahaya
ke atas pasir, maka hampalah musafir.
Sesungguhnya dunia ini
bukan matlamat tetapi jalan yang boleh menyampaikan kepada matlamat. Sesiapa
mencari dunia sebagai matlamat sebenarnya dia rugi dan sesiapa menjadikannya
sebagai jalan menuju akhirat yang abadi, maka dia akan selamat. Kenikmatan
dunia menyebabkan kita terpedaya oleh kesenangan hingga sanggup bersusah payah
mengejar sesuatu yang tidak kena pada tempatnya serta lupa melengkapkan diri
dengan ilmu dan akhlak yang dapat meningkatkan rohani bagi mencapai kebahagiaan
akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia
ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan
akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya
negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka
mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari
akhirat)." (Surah al-Ankabut, ayat 64)
Memetik kata-kata Syeikh
Muhammad al-Ghazali, penulis, pemikir dan pendakwah terulung Mesir, "Pada
suatu hari, saya berjalan di salah satu jalan di Kaherah. Saya melihat sebuah
pedati di mana keldai yang menariknya telah mati. Saya mendekati pemilik pedati
itu yang kelihatan sangat sedih di atas kematian keldainya itu. Saya
memerhatikan binatang yang telah mati itu. Di dalam hati saya berkata:
Urusannya telah selesai. "Sesungguhnya tidak kurang pemimpin dan penguasa,
kehidupannya tidak lebih daripada binatang ini. Mereka mengira urusannya akan
selesai setelah mati seperti binatang ini."
Ayat ini memberi galakan kepada orang yang beriman untuk
melakukan ketaatan dan memberi amaran kepada pelaku maksiat supaya segera
berhenti. Sesungguhnya semua akan kembali kepada Allah SWT dan melihat sendiri
kesan amalan yang mereka lakukan sewaktu berada di dunia dahulu. Al-Quran
mendidik manusia untuk memperbaiki kehidupan dengan mengharapkan kehidupan yang
lebih kekal dan bahagia. Oleh itu, setiap orang perlu berusaha menuntut ilmu
bagi meningkatkan akalnya di samping memperbaiki jiwa dan membetulkan niatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan