Bahasa adalah pertuturan melalui lidah dan mulut yang
mengeluarkan kata-kata dan juga percakapan. Melalui bahasa yang baik dan indah
ia menjadi ibadah dalam kehidupan kita. Setiap hari kita bercakap mengeluarkan
kata-kata dan bahasa, sama ada bahasa yang baik atau sebaliknya. Melalui bahasa
dengan memberi salam sahaja kita sudah mendapat pahala di sisi-Nya. Memberi
nasihat dan juga menunjukkan jalan kepada seseorang juga melalui bahasa dan
diberikan ganjaran pahala. Melalui telefon, penulisan di media sosial kita juga
berbahasa. Oleh itu manfaatkan bahasa dengan baik. Begitulah luasnya peranan
bahasa dalam kehidupan seharian kita.
Dalam usaha mewujudkan masyarakat yang kita idamkan
mestilah bermula dengan bahasa dan perlakuan yang baik. Natijahnya, jika semua
dalam kalangan kita berbahasa dan berperi laku baik akan dapat mewujudkan
masyarakat yang aman dan damai. Menggunakan bahasa yang baik dan betul akan
dapat menyampaikan maksud dan tujuan masing-masing, seperti memberi teguran
yang baik dan nasihat yang baik. Ia membabitkan, pola umum dalam pertuturan
sesuatu komuniti sebagai kegiatan bercakap dan bertutur seseorang individu
dalam suasana tertentu. Bahasa ialah alat yang digunakan dalam perhubungan,
tetapi adalah aktiviti yang sebenar dalam perhubungan masyarakat.
Berkaitan bahasa Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah penciptaan langit dan bumi,
perbezaan bahasamu dan warna kulitmu. Sungguh, pada yang demikian itu
benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mengetahui. (ar-Rum: 22)
Melalui perbezaan bahasa kita dapat mempelajari
bahasa-bahasa lain di dunia dan sebagai kefahaman dan menyedarkan kita tentang
kebesaran Allah SWT. Oleh itu, melalui bahasa yang baik melalui percakapan,
nasihat, tunjuk ajar, pendidikan semuanya menjurus kepada pahala. Melalui
bahasa seseorang itu dapat mengubah kemungkaran kepada kebaikan, melalui
nasihat dan teguran yang baik.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa dalam
kalangan kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan
tangannya apabila dia tidak mampu, maka hendaklah mengubahnya dengan lidahnya,
apabila dia tidak mampu, maka dia hendaklah menegur dengan hatinya dan yang
demikian adalah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim)
Jelaslah, Rasulullah SAW mengajar kita, agar setiap
umatnya membenci perbuatan mungkar atau yang bertentangan dengan syariat Allah
SWT. Islam menganjurkan agar kemungkaran itu diubah segera dengan menggunakan
kuasa atau kemampuan yang ada.
Jika tidak mampu, maka tegurilah dia dengan lisan
(lidah) melalui bahasa atau melalui (tulisan). Jika tidak mampu juga, maka
hendaklah dibenci atau dijauhkan dan jangan pula disukai atau dirasai tiada
apa-apa kesan maksiat itu. Begitulah pentingnya peranan bahasa melalui lidah
atau percakapan. Melalui akal yang beriman dan lidah yang beribadah akan
mengeluarkan kata-kata yang baik dan berkesan untuk disampaikan sebagai nasihat
dan pengajaran dalam kehidupan.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Orang Islam yang selamat itu ialah
orang yang terselamat kepada orang Islam lain daripada gangguan lidah dan
tangannya." (riwayat At-Tirmizi)
Tidaklah dinamakan Muslim orang yang tidak selamat
kepada orang Islam lain daripada gangguan lidah dan tangannya. Oleh itu,
sebagai orang Islam elakkan perbuatan yang boleh menyakiti hati orang lain
seperti memfitnah, mengumpat, mengadu-domba, gosip, mengata hal orang lain,
mencaci, mencela, menyindir yang semuanya memerlukan bahasa dan perkataan. Rasulullah
SAW menggalakkan umatnya agar menjaga percakapan dan bahasa. Orang yang suka bercakap
yang baik, bertujuan yang baik akan mendapat pahala dan diibaratkan sebagai
sedekah yang mengandungi pahala, Setiap ucapan manusia akan ditulis oleh
Malaikat Raqib dan Atid
yang sentiasa bersedia menulis apa yang diucapkan oleh manusia itu.
Percakapan yang baik adalah membawa erti dan tujuan
yang baik, nilai kebaikannya (seperti menyuruh melakukan kebaikan) dan baik
pemilihan kata-katanya, tidak kasar, tidak menyakiti hati orang lain, sama ada
semasa bergurau, indah bunyi bahasanya ada nilai sastera, meskipun membawa
kritikan yang tajam serta baik pula cara penyampaiannya. Semuanya apabila
diucapkan, akan menjadi sedekah dan memberi pahala kepada mereka yang
mengucapkannya. Ini kerana agama Islam itu berbentuk nasihat bagi melaksanakan
semua perkara yang baik dalam semua bidang kehidupan.
Lantaran
itu, bahasa yang baik itu akan menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala
apabila diucapkan. Ia berkaitan dengan akhlak dan tingkah laku seseorang. Ada
yang baik dan indah, ada pula yang buruk dan keji. Oleh itu, semasa bergaul
dengan orang lain pamerkan akhlak yang baik melalui bahasa yang baik dan indah
dan juga akhlak yang elok dan terpuji. Untuk menjadi baik bermulalah dengan
berkata yang baik-baik dan sentiasa menjaga perlakuan dengan tingkah laku yang
baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan