Isnin, 8 Julai 2019

SIFAT SOMBONG : UMPAMA API YANG MEMAKAN DIRI


Sifat sombong atau takabbur merupakan salah satu sifat mazmumah yang bukan sahaja merosakkan diri seseorang tetapi juga membawa kemudaratan yang amat besar kepada ummah seluruhnya. Kemudaratan ini mungkin tidak kita sedari tetapi apabila ia sudah sampai kemuncaknya barulah kita menyedari betapa hebatnya sifat keji ini memusnahkan diri kita. Kita tanyalah diri sendiri. Sebagai hamba, apalah yang kita ada untuk bersifat sombong? Layakkah kita untuk menunjukkan kehebatan, kekusaan dan kekuatan diri? Adakah kedudukan, harta dan pangkat yang juga sebenarnya bukan miliki mutlak kita, memberikan kita ruang untuk berbuat demikian?


Walau apa pun yang kita jadikan alasan untuk mewajarkan segala tindakan, kita perlu kembali ke dalam diri dan menginsafi kebesaran Allah s.w.t. Hisablah kedudukan diri kita di sisi-Nya. Nilailah keagungan-Nya berbanding kekerdilan diri sendiri. Takutilah amaran-Nya terhadap manusia yang bersifat sombong dan takabbur. Sebagaimana yang kita maklumi, setiap larangan keras Allah, pasti ada alasan atau sebabnya. Demikian jugalah sifat sombong dan takabbur. Antara sebabnya termasuklah hanya Allah sahaja yang memiliki kekuasaan dan keagungan. Oleh yang demikian, hanya Dia sahajalah yang berhak menyatakan kebesaran-Nya. Sebaliknya, manusia yang terlalu kerdil dan lemah, perlu menginsafi realiti ini berdasarkan asal kejadian mereka sendiri. Dalam satu ayat Allah s.w.t. menjelaskan :

“Manusia tidak memerhatikan bahawa Kami menciptakannya daripada setitik air (mani), maka tiba-tiba ia menjadi penentang yang nyata.” (Surah Yaasin 36:77)



Sifat takabbur ini akan memberikan kesan yang negatif terhadap hubungan sesama anggota masyarakat. Disebabkan sifat yang buruk inilah banyak masalah interaksi yang akan timbul. Ini kerana, orang yang takabbur gemar memandang rendah terhadap kedudukan atau kemampuan orang lain. Sebaliknya, ia sentiasa berbangga dengan diri sendiri kerana menganggap dirinya lebih sempurna daripada orang lain. Pertelingkahan juga mungkin kerap berlaku disebabkan orang yang takabbur ini lebih cenderung untuk mempamerkan kelebihannya dan merendah-rendahkan atau menghina orang lain.

Suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah kemajuan sesebuah masyarakat bergantung sepenuhnya pada kemurniaan akhlak dan peribadi anggotanya. Jika terdapat segelintir anggota masyarakat yang bersifat takabbur umpamanya dari sudut material, sudah tentulah kekayaan dan keselesaan hidup tidak dapat dikecapi secara adil oleh semua. Contohnya seperti Qarun yang bukan sahaja terlalu takabbur dengan harta yang dimiliki tetapi juga tidak sanggup untuk mengagihkan kekayaan kepada orang lain melalui zakat dan cara-cara yang lain yang dianjurkan oleh Nabi Musa a.s.

Selain semua sebab yang telah disebutkan, sifat takabbur juga boleh membinasakan diri seseorang, bukan sahaja di dunia bahkan lebih-lebih lagi di akhirat iaitu pada saat-saat ia memerlukan pertolongan Allah s.w.t. Pada saat-saat itu, ia akan benar-benar berasa kecewa dan menyesali dirinya sendiri terutama apabila melihat orang lain beramai-ramai memasuki syurga Allah s.w.t. Dalam sebuah Hadith, Rasulullah SAW menegaskan :

“Sesiapa yang tersemat dalam hatinya sifat takabbur walau sekecil zarah sekalipun, ia tidak akan memasuki syurga.” (Muslim)



Rasulullah SAW menunjukkan banyak teladan berhubung soal ini. Baginda sudi untuk menunggang keldai – yang merupakan kenderaan orang biasa. Baginda juga sedia memenuhi undangan pembantu rumah. Bahkan Baginda juga mahu duduk bersama-sama orang miskin atau fakir selain bersalaman dengan semua orang tanpa mengira status; fakir miskin, kanak-kanak, hamba, orang berkulit hitam dan sebagainya. Bahkan dalam peperangan Khandak umpamanya, Baginda menyertai sahabat-sahabat untuk menggali parit sehingga tubuh Baginda terpalit debu dan tanah.

Sebagaimana yang dikatakan, sifat tawaduk yang sungguh mulia ini diteladani oleh sahabat-sahabat, tabi’in, salihin dan sebagainya. Sebagai contoh ialah `Umar ibn `Abdil `Aziz. Pada suatu malam, seorang tetamu menziarahinya di rumah. Seperti biasa, `Umar akan mencatat perkara-perkara yang penting selepas solat Isyak. Manakala tetamunya pula duduk tidak jauh darinya. Lampu pelita pula berkedip-kedip, hampir padam. Melihat lampu pelita itu, tetamu tersebut pun berkata, “Wahai Amir al-Mu’minin! Saya akan bangun mengisi minyak pelita.” `Umar pun menjawab, “Bukanlah daripada sifat peri kemanusiaan sekiranya tenaga tetamu digunakan.”

Tetamu tersebut pun bertanya lagi, “Perlukah saya kejutkan pembantu rumah?” `Umar menjawab, “Jangan kerana dia baru sahaja tidur.” `Umar seterusnya mengisi minyak pelita dengan sendirinya. Tetamu `Umar berkata, “Wahai Amir al- Mu’minin, tuan sendiri yang mengisi minyak pelita ini?” Jawab `Umar, “Ketika aku bangun untuk mengisi minyak di dalam pelita, aku ialah `Umar dan apabila aku kembali duduk, aku masih juga `Umar. Sebaik-baik manusia di sisi Allah ialah orang yang tawaduk.”

Untuk menjadi mukmin sejati, kita amat perlu menghindari sifat takabbur ini. Sehubungan itu, kita hendaklah sentiasa menilai dan meneliti peribadi sendiri. Sekiranya kita memiliki walau sedikit perasaan takabbur, segeralah berusaha menghapuskannya. Bermuhasabahlah. Adakah kita gemar orang lain memuji-muji diri dan kehebatan kita. Sebaliknya adakah pula kita berasa benci jika orang lain mengkritik dan menegur kelemahan kita? Adakah juga kita mahukan supaya orang lain sentiasa menganggap bahawa kita ini sempurna?” Lalu kita dengan mudah menyebut-nyebut kelemahan dan kekurangan orang lain? Ketahuilah bahawa sifat yang amat buruk ini akan menjauhkan diri kita daripada rahmat Allah. Bahkan kita juga akan dijauhi oleh orang lain kerana tidak menyenangi sifat buruk kita itu.



Fikirkanlah juga akibat bersifat takabbur. Renungkanlah kesudahan kita hidup di dunia ini sekiranya kita berasa hebat dengan kehidupan kita di dunia yang fana ini. Sesungguhnya, tiada manusia pun di dunia ini yang berhak mengakui kehebatan, kemuliaan dan kekuatannya. Janganlah kita berbangga dengan apa yang kita miliki – kedudukan, keturunan, kemewahan dan sebagainya – sekiranya kita sendiri tidak mampu untuk menentukan kedudukan kita di akhirat nanti. Janganlah juga kita memandang hina orang lain, meskipun pada pandangan kita, orang tersebut perlu diperlakukan sedemikian. Tanyalah diri sendiri. Siapakah kita untuk berbuat demikian? Insaflah. Kita bukanlah sesiapa di dunia ini. Kita juga seperti orang lain. Perantau di bumi Allah yang mencari bekalan terbaik untuk dibawa pulang. Jangan sesekali takabbur dengan semua yang dimiliki hatta iman sekalipun. Dalam masa yang sama, janganlah memandang hina orang yang melakukan kesilapan atau dosa sehingga melukakan hati orang tersebut dengan kata-kata yang kesat.

Ingatlah bahawa sebagai manusia, kita juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa. Sebagai insan yang tawaduk, kita hendaklah berusaha mengingatkan orang yang melakukan kesilapan itu dan bersungguh-sungguh menyedarkannya. Itulah sebaik-baik jalan. Renungkanlah firman Allah iaitu sebagai jawapan bagi pertanyaan Nabi Musa a.s., “Siapakah makhluk yang sangat Engkau benci?” Allah berfirman, “Wahai Musa, orang yang sombong hatinya, kasar lidahnya, lemah keyakinannya dan bakhil tangannya.” Memanglah benar kesombongan tidak ubah seperti api. Semakin besar nyalaannya, semakin hebat kemusnahannya. Padamkanlah ia sepenuh daya sebelum diri kita benar-benar dimusnahkannya.