Islam
sebagaimana yang difahami merupakan satu gaya hidup yang lengkap dengan
pelbagai panduan yang mencorakkan kesempurnaan ajarannya. Oleh yang demikian,
umat Islam sudah semestinyalah tidak akan teraba-raba dalam mengharungi alam
yang fana ini dalam keadaan yang tidak pasti atau dalam keraguan. Ini
termasuklah isu yang berkaitan dengan seksualiti yang merupakan aspek kehidupan
yang amat peribadi bagi seseorang individu itu. Islam sentiasa cuba memberi
panduan untuk mereka agar tidak timbul rasa bersalah di kemudian hari.
Remaja pula merupakan satu kelompok
masyarakat yang amat besar nilainya bagi umat Islam. Mereka adalah bakal
pemimpin dan pendakwah yang akan meneruskan kesinambungan masyarakat dan tamadun
bangsa mereka. Sebagai pemimpin dan pembela di masa yang akan datang, mereka
itu wajar dibela dan dipelihara sebaik mungkin. Di samping menyediakan suasana
yang mampu meningkatkan potensi perkembangan dan kecemerlangan diri mereka,
para remaja juga hendaklah dididik dan ditunjuk ajar tentang pelbagai perkara
yang baik. Mereka juga hendaklah diasuh untuk sentiasa meningkatkan keupayaan
diri sendiri dengan memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan maklumat
yang baik serta kemahiran-kemahiran tertentu.
Era globalisasi kini telah mendedahkan
para remaja dengan pelbagai gaya hidup dan persekitaran yang amat luas dan
mencabar. Cabaran dan dugaan yang luas ini adalah tidak terhad, termasuklah
aktiviti kehidupan peribadi mereka yang menyangkut aktiviti seksualiti. Ini
merupakan satu isu kerana para remaja pada era ini lebih terdedah dengan
implikasi berkaitan aktiviti seksual. Pada asasnya, aktiviti seksual remaja
kini berlaku akibat daripada aktiviti gaya hidup bersosial yang terlalu bebas
dan tiada had. Kajian klinikal di Amerika mendapati bahawa golongan remaja dan
belia yang berusia antara 17 dan 30 tahun adalah golongan yang paling ramai
dijangkiti pelbagai penyakit jangkitan seks. Trend ini dijangka akan berterusan
memandangkan remaja adalah golongan yang paling aktif dan seterusnya menjadikan
mereka sebagai golongan yang paling berisiko tinggi dijangkiti penyakit
kelamin. Selagi perubahan gaya hidup sihat tidak diamalkan, para remaja akan
terus menjadi kumpulan utama dijangkiti pelbagai penyakit jangkitan seks dan
juga kumpulan teramai yang menyebarkan penyakit jangkitan seks dalam
masyarakat.
Gaya hidup sihat adalah gaya hidup yang
mengutamakan amalan kesihatan dan pencegahan jangkitan penyakit. Trend semasa
menunjukkan bahawa kebanyakan penyakit merbahaya berlaku akibat daripada amalan
gaya hidup yang tidak sihat. Malah, kebanyakan jangkitan oleh bakteria, virus dan
kulat juga disebarkan oleh aktiviti gaya hidup yang tidak sihat ini. Sebagai
contohnya, penyalahgunaan dadah boleh menyebarkan HIV yang mengakibatkan AIDS.
Ketagihan alkohol pula boleh menyebabkan penyakit kongenital, sindrom otak
organik dan lain-lain. Perlakuan seks bebas boleh menyebabkan jangkitan
penyakit kelamin seperti syphilis, gonorrhea, chlamydia, herpes dan sebagainya,
termasuklah AIDS. Gaya pemakanan yang tidak seimbang pula boleh menyebabkan
penyakit kardiovaskular, obesity, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya.
Di seluruh dunia, amalan gaya hidup seks
bebas dan tidak sihat telah menjadi punca utama pelbagai penyakit jangkitan
seks seperti yang telah disebutkan di atas. Dan kini, insiden ini amat ketara
pula di kalangan remaja. Menurut anggaran WHO atau World Health Organization,
setiap tahun, setiap seorang daripada 20 orang remaja akan dijangkiti penyakit
kelamin. Dan daripada 333 juta kes baru penyakit jangkitan kelamin, 111 juta
kes berlaku di kalangan belia berusia bawah 25 tahun. Jangkitan syphilis akan
meningkat ke tahap tertinggi bagi golongan berusia antara 15 dan 30 tahun
berbanding kumpulan umur lain. Setiap tahun, purata lebih daripada separuh kes
baru HIV adalah di kalangan belia berusia antara 15 dan 24 tahun.
Trend
ini akan berterusan dan akan menjadi bertambah buruk melainkan amalan gaya
hidup sihat menjadi teras kehidupan. Islam sememangnya sudah menyediakan garis
panduan tersendiri sebagai asas kepada amalan gaya hidup yang sihat ini
terutamanya dalam mencegah penyakit jangkitan kelamin. Dalam al Quran, surah Al
Isra’, ayat 32 bermaksud :
‘dan janganlah kamu hampiri zina, kerana
ia adalah seburuk-buruk perbuatan, yang membawa kepada kejahatan’.
Daripada ayat ini, dengan tegas Allah
memerintahkan umat Islam supaya menjauhkan diri daripada perzinaan, apatah lagi
melakukannya. Ayat ini juga melarang manusia mendekati sebarang punca yang
boleh membawa kepada terjadinya zina. Mereka ditegah sama sekali melibatkan
diri dengan perkara-perkara yang mencetuskan zina seperti menonton filem atau
membaca majalah lucah, bercerita tentang sesuatu yang lucah, menjual atau
membeli barangan berunsur kelucahan, bercampur gaul dengan bebas antara lelaki
dan perempuan, memberi isyarat berunsur seks dan sebagainya. Semua faktor ini
mendorong kepada perlakuan seks yang tidak sihat. Lebih baiklah menjauhi semua
perkara ini sebelum terjadinya perzinaan.
Pendekatan yang diberikan oleh Islam ini
lebih bersifat behavioristic dan praktikal serta menjurus kepada kaedah
pencegahan. Ia menuntut agar umat manusia tidak membiarkan diri mereka terjebak
ke kancah perzinaan dan kemaksiatan yang jika terjadi akan membawa kepada
pelbagai implikasi buruk yang mungkin akan melibatkan perbelanjaan, usaha dan
tenaga yang banyak bagi tujuan rawatan dan perubatan. Malah, kadang kala nyawa
pula yang akan menjadi pertaruhannya.
Remaja pula sebagai satu kelompok yang
kurang matang (walaupun waras) sering gagal menilai implikasi tersebut. Apa
yang terlintas di fikiran mereka hanyalah keseronokan tanpa menilai risiko dan
kerugian yang akan dialami kemudian. Berfikirlah, apakah mereka sekadar ingin
menikmati keseronokan yang sementara sifatnya tetapi akhirnya terpaksa
menanggung kerugian dari segi kewangan, kesihatan dan mungkin nyawa. Amalkanlah
gaya hidup sihat sebagaimana yang telah diajar oleh Islam.