Islam
itu sebenarnya bukan hanya kepercayaan agama sahaja tetapi meliputi semua
lingkungan hidup. Jikalau kita betul-betul menghayati semua nilai-nilai murni
yang dianjurkan oleh agama Islam, tidak syak lagi kita boleh mencapai kejayaan
di dunia mahupun di akhirat. Dalam menghadapi arus dunia yang penuh cabaran
ini, kita masyarakat Islam hendaklah sentiasa bergerak mengikut masa.
Masyarakat itu sendiri tidak statik dan al-Quran sendiri menerangkan bahawa
masyarakat akan sentiasa menghadapi perubahan. Umat Islam itu sendiri digesa
supaya mengubah keadaan dirinya kepada keadaan yang lebih baik sebagaimana
firman Allah s.w.t. dalam surah ar Raad, sebahagian daripada ayat yang ke 11,
yang bermaksud;
“Sesungguhnya
Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan mereka
sendiri.”
Oleh
yang demikian kita masyarakat Islam hendaklah bersedia menghadapi perubahan dan
menyesuaikan diri supaya dapat terus berjaya. Kita hendaklah membuktikan bahawa
anggapan barat yang selalu mengaitkan Islam itu dengan keganasan, pelampau,
kemunduran serta kemiskinan itu sebagai tidak benar. Apa yang kita fahami
mengenai rekreasi itu ialah selalunya melibatkan aktiviti atau kegiatan
sampingan. Bidang rekreasi meliputi berbagai-bagai aktiviti yang selalu
dilakukan oleh anggota masyarakat pada masa lapang seperti bersukan, bermain,
mendengar muzik, melukis, bersiar-siar, bercuti dan sebagainya. Dalam hidup
bermasyarakat, rekreasi dianggap sebagai sesuatu yang penting dan
kepentingannya itu bersaingan dengan bekerja. Kedua-dua ini tidak bertentangan
tetapi saling melengkapi.
Dalam
perkembangan rekreasi di kalangan masyarakat kita di Malaysia, banyak perkara
yang harus dipertimbangkan, terutama perkara-perkara yang berkaitan dengan
kesan-kesan buruk rekreasi yang dapat merosakkan seseorang. Begitu juga rekreasi
yang tidak mempertimbangkan tentang nilai-nilai budaya seperti moral, etika,
maruah masyarakat dan negara adalah dapat dianggap bertentangan dengan kehendak
masyarakat. Begitu juga rekreasi yang bertentangan dengan kehendak-kehendak
agama hendaklah dikawal. Kita tidak mahu amalan rekreasi yang bertentangan
dengan agama dibawa masuk dan dijadikan amalan di negara kita.
Setiap
individu seharusnya berusaha membina sebuah masyarakat Malaysia yang sepenuhnya
bermoral dan beretika serta maju dalam semua bidang sama ada politik, sosial,
kejiwaan, psikologi dan juga kebudayaan. Semuanya ini terletak kepada sikap
warganegara Malaysia untuk membina dan mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian
yang kukuh serta mendukung nilai etika yang tertinggi. Kita juga harus
menyedari bahawa pembangunan dan kejayaan sesebuah negara adalah bergantung
kepada sikap yang positif dan moral yang tinggi yang dimiliki oleh rakyatnya.
Jika
dilihat kepada perkembangan masyarakat masakini, bidang seni dan rekreasi yang
paling diminati dan berkembang di negara kita ialah seni muzik. Seni muzik juga
adalah merupakan salah satu cabang kebudayaan. Muzik juga dapat meninggikan
pemikiran sesuatu bangsa serta merubah sikap hidup ke arah pencapaian peradaban
yang bererti. Muzik bukan sahaja alat penghibur tetapi juga sebagai pengantara
pembelajaran yang mempunyai kuasa yang tersendiri hingga boleh menukar emosi
manusia menjadi sedih, gembira, terharu dan sebagainya. Selain itu seni muzik
juga menyalurkan nilai dan berbagai mesej yang boleh memberi kesan positif
kepada pembangunan masyarakat.
Sejarah
muzik di negara kita mempunyai latarbelakang yang lama dan meluas. Lagu-lagu
tradisi berbentuk asli, dondang sayang, keroncong, zapin, inang dan seumpamanya
telah melalui evolusi dalam masyarakat melayu selama beratus-ratus tahun.
Proses evolusi muzik ini juga adalah sama dengan proses evolusi kesusasteraan
dan seni tari serta seni ukir. Ianya bergabung dan selari bergerak dalam ruang
lingkup perkembangan masyarakat Melayu keseluruhannya. Di abad ini, khususnya
selepas kemerdekaan ianya bergabung menjadi perkembangan muzik masyarakat
Malaysia. Seni muzik adalah satu bidang kesenian yang kreatif. Ianya
mengandungi unsur-unsur nilai budaya, falsafah dan daya pemikiran serta nilai
semasa bangsa Malaysia. Tetapi sejauh manakah seni muzik kita sekarang ini
mencerminkan budaya bangsa kita? Apakah yang dimaksudkan dengan “muzik Malaysia”
atau sudahkah wujud muzik yang boleh kita anggap sebagai muzik Malaysia yang
berupaya menanamkan nilai-nilai murni yang kita harap-harapkan?
Kuasa
muzik dan lagu sebenarnya adalah amat kuat dan menyeluruh. Dari lagu kasih
sayang boleh ditimbulkan berbagai kesan seperti kasih sayang anak terhadap ibu
dan bapa. Kasih sayang ibu dan ayah terhadap anak, kasih sayang di antara remaja,
malah kasih dan rasa bangga terhadap bangsa dan negara. Dengan gubahan yang
menarik, senikata yang menusuk perasaan, lagu dapat digerakkan dengan begitu
kukuh. Sehingga setiap negara mempunyai lagu kebangsaannya sendiri. Setiap
generasi mempunyai corak lagu dan iramanya sendiri seperti muzik dan lagu-lagu
enam puluhan, dan corak muzik serta lagu masa kini.
Atas
kesedaran inilah maka amalan rekreasi memainkan peranan penting dalam membentuk
dan menentukan perlakuan-perlakuan anggota masyarakat. Dalam masyarakat yang
membenarkan pelbagai jenis dan bentuk rekreasi, kesannya kepada masyarakat
tidak dapat dielakkan. Oleh itu bagi menentukan pertumbuhan masyarakat
bersesuaian dengan agama, adat resam dan norma-norma yang baik, maka
perkembangan dan pertumbuhan rekreasi itu hendaklah ditentu dan dikawal dengan
rapi, umpamanya pengaruh rekreasi kepada kanak-kanak. Kepentingan dalam
memahami dan menghargai aktiviti rekreasi yang berfaedah dan berguna itu patut
didedahkan kepada seseorang itu semasa kanak-kanak lagi dengan merancang dan
menentukan penggunaan masa untuk rekreasi Ketika zaman kanak-kanak, selalunya
anasir-anasir yang boleh mudah meresap jika perancangan masa rekreasi itu tidak
dilakukan dengan baik.
Bertolak
dari sini, apakah pula ciri-ciri dan keistimewaan rekreasi dan juga seni yang
terdapat dinegara kita? Apakah pula ciri dan corak amalan seni dan rekreasi
rakyat Malaysia pada masa akan datang?. Di
sinilah penting dan perlunya kefahaman terhadap rekreasi dalam memainkan
peranan ke arah membangunkan seni dan rekreasi yang berwawasan dan berteraskan
kepada agama dan budaya bangsa. Sekiranya arah dan landasan ini disemaikan,
perkembangan seni dan amalan rekreasi di negara kita bukan sahaja dapat terus membangun
dengan sihat dan membantu pembangunan masyarakat. Tetapi ia juga akan
menyumbang kepada kesejahteraan negara dalam menghadapi cabaran abad akan
datang.