Jumaat, 26 Jun 2020

MUKTAZILAH : PENUNGGANG AKAL BERTUHANKAN FALSAFAH

Muktazilah ialah sebuah mazhab akidah yang memberikan keutamaan kepada akal hingga menjadikan akal itu suatu pemutus hukum-hakam di dalam agama. Bagi golongan ini mereka mementingkan serta meninggikan kedudukan akal melebihi dalil syarak. Pendirian mereka ini juga berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud :

“Agama adalah akal, barangsiapa tidak punya agama maka ia tidak mempunyai akal”

Namun sebahagian ulama menyatakan bahawa hadis ini batil. Telah berkata Imam An Nasai ini adalah sebuah hadis yang batil lagi munkar. Dalam Kitab Al Manarul Munif, Imam Ibnu Qayyim rahimahullah berkata semua hadis yang berhubungan dengan akal adalah palsu. Hal ini menunjukkan bahawa hadis yang menjadi rujukan serta pegangan Muktazilah selama ini adalah palsu dan tidak boleh di imani akan makna hadis tersebut.


Berdasarkan konsep akal inilah golongan Muktazilah telah menafsirkan ayat Al Quran sesuai dengan pertimbangan akal mereka semata-mata.  Kewujudan konsep pegangan Muktazilah ini juga dipercayai menyelinap ke dalam akidah Islam adalah akibat daripada perbuatan orang-orang yang memeluk Islam tetapi dengan berniat buruk dan jahat. Hal ini kerana ia telah muncul selepas Khalifah Al Makmun mengizinkan kitab-kitab tamadun Yunani diterjemah ke dalam bahasa arab. Disebabkan itu, ada dikalangan mereka yang terpengaruh dengan falsafah Yunani sehingga fikiran mereka telah diracuni dan dibutakan pandangan dengan kekaguman terhadap ilmu falsafah.

Orang pertama yang dikaitkan dengan mazhab Muktazilah dikenali sebagai Wasil bin Atha. Beliau merupakan anak murid kepada seorang tokoh besar ulama di Baghdad iaitu Imam Hassan Al Basri. Beliau telah berbeza pandangan dengan gurunya Imam Hassan Al Basri, lalu beliau telah keluar meninggalkan majlis ilmu gurunya dan kemudian mengadakan kumpulan ilmunya sendiri. Tindakan beliau itu telah menyebabkan beliau dan kumpulannya dikenali sebagai Mukatzilah (terpisah) dari majlis ilmu gurunya.

Golongan Muktazilah ini adalah golongan yang terperangkap dengan pemikiran logik dan falsafah. Kesudahannya mereka telah mengadaptasikan Al quran dengan pemikiran falsafah. Dalam Kitab Tarikh al Mazahib al Islamiyyah, Syeikh Muhammad Abu Zahrah menyatakan bahawa terdapat beberapa faktor mereka terpengaruh dengan falsafah antaranya ialah :

1. Menerusi ilmu falsafah, mereka merasakan keanjalan dalam penggunaan akal sehingga mampu untuk memperkukuhkan hujah-hujah mereka. 

2. Ketika golongan falsafah menggempur prinsip-prinsip pemikiran Islam, golongan Muktazilah menawarkan kepada mereka perdebatan. Akibatnya, Muktazilah terpaksa menggunakan sebahagian metodologi golongan falsafah dalam berdebat dan menyampaikan argumentasi.

 


Sejarah telah mencatatkan fahaman Muktazilah telah berjaya mempengaruhi orang Islam termasuk beberapa orang khalifah selama kira-kira 300 tahun sehingga diangkat menjadi mazhab rasmi negara ketika itu. Ramai ulama yang enggan berpihak dan menyokong pendaat mereka menjadi mangsa tahanan, penderaan dan hukuman yang zalim. Antaranya termasuk Imam Ahmad bin Hanbal yang bertegas mempertahankan iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah berhubung isu Al quran adalah kalam Allah dan bukannya makhluk.

Oleh kerana akal dianggap lebih utama dan lebih tinggi berbanding nas Al quran dan hadis, maka ayat-ayat Al quran ditafsir menurut kesesuaian akal mereka. Bahkan hadis Nabi SAW ditolak jika kandungan hadis tersebut tidak selaras dengan logik akal mereka. Pendapat Ahli Sunnah Wal Jamaah mengenai peranan akal dalam urusan agama amat jelas. Para ulama tidak menafikan kedudukan penting akal tetapi tidak lah sehingga memberi tempat utama dan kedudukan tinggi melebihi wahyu Allah Azza Wa Jalla.

Beberapa asas prinsip pemikiran yang terpenting bagi Muktazilah adalah mengenai konsep keadilan. Mereka percaya dengan keadilan-Nya, Allah SWT membiarkan manusia menciptakan amal perbuatan mereka sendiri, sama ada baik atau buruk. Dengan keyakinan tersebut, mereka menolak keberadaan takdir. Kewujudan takdir dikatakan akan mencampuri perbuatan seseorang hamba, maka ini sudah tentu akan bercanggah dengan keadilan Allah SWT. Diatas asas prinsip keadilan ini, maka yang menentukan baik buruk sesuatu perkara itu adalah akal bukannya wahyu.

Begitu juga dalam soal perbahasan mengenai kedudukan pelaku dosa besar. Pada iktikad mereka, pelaku dosa besar tidak boleh dihukum beriman sebagaimana mereka juga tidak boleh dihukumkan kafir. Sebaliknya mereka itu digelar fasik dan akan kelak akan kekal di dalam neraka walaupun mereka beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Namun begitu, Muktazilah berpendapat azab yang dikenakan ke atas pelaku dosa besar di akhirat lebih ringan berbanding seksaan terhadap orang-orang kafir.



Selain itu beberapa iktikad mereka bercanggah dengan iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antaranya termasuklah menolak peristiwa Mikraj, beranggapan Al quran adalah makhluk dan bukannya kalam Allah, menolak segala sesuatu atas izin Allah dan berpendirian semuanya diatas daya usaha manusia, Mereka juga menolak kewujudan Arasy dan Kursi Allah. Bagi mereka Arasy dan Kursi itu adalah lambang kekuasaan semata-mata. Mereka juga menolak kewujudan azab kubur, menolak kewujudan proses perhitungan yang disebut hisab, menolak kewujudan syafaat baginda Nabi dan lain-lainnya.

Dalam era modenisasi ini, golongan Muktazilah boleh kita simpulkan sebagai gerakan Liberal yang suka mengajak manusia kembali berfikir akan hakikat syariat Islam yang sebahagiannya dianggap sebagai diskriminasi gender, penindasan dan ketidak adilan sosial. Sebahagiannya juga wujud fahaman anti hadis dengan mempersoalkan ketulenan hadis yang diwarisi dari zaman ke zaman. Kita semua harus berwaspada dan berhati-hati dengan fahaman ini yang bukan sahaja menyimpang bahkan sesat lagi menyesatkan.

 


Sabtu, 20 Jun 2020

ISU TUDUNG : TUNTUTAN SYARIAT ATAU BUDAYA ARAB ?

Isu pemakaian tudung ini adalah berpokok pangkalkan kepada pensyariatan menutup aurat bagi kaum wanita. Perkataan aurat berasal daripada bahasa arab. Dalam Lisan al Arab, Imam Ibnu Manzur menyatakan bahawa perkataan aurat itu membawa maksud setiap perkara yang mendatangkan malu apabila sesuatu itu terpamer atau terlihat. 

Maka setiap perkataan, perbuatan dan perkara yang boleh menimbulkan perasaan malu dan mendatangkan aib, dikira sebagai aurat. Melalui pemahaman maksud ini, dapat kita fahami bahawa aurat itu bertunjangkan perkara yang mengaibkan, memalukan dan perkara yang hilang kehormatan.

Perbahasan aurat dikalangan para ilmuan boleh kita bahagikan kepada dua kerangka besar perbincangan iaitu aurat ketika solat dan ketika di luar solat. Aurat ketika solat adalah merupakan suatu tuntutan agama. Tetapi para ilmuan berbeza pendapat dalam perbincangan berkenaan aurat ketika di luar solat. Adakah ianya tuntutan agama ataupun kehendak budaya semata-mata.

Dikalangan ilmuan, mereka melihat kandungan Al quran dan hadis itu kepada dua bentuk. Pendapat pertama, semua ayat Al quran dan hadis itu adalah tuntutan agama. Pendapat kedua pula berpandangan bukan semua ayat Al quran dan hadis itu tuntutan agama. Ini kerana terdapat sebahagian ayat Al quran dan hadis berkaitan tuntutan dalam konteks tertentu. Bagi golongan kedua ini, mereka berpendapat hukum boleh berubah mengikut konteks semasa, masyarakat dan keadaan tertentu.

Dalam soal pemakaian tudung misalnya, Allah Azza Wa Jall berfirman dalam surah Al Ahzab ayat 59 yang bermaksud :

"Wahai Nabi, perintahkanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka."

Firman Allah lagi dalam surah An Nur ayat 31 yang bermaksud :

"Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya serta janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali terpaksa nampak. Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka..."

Berdasarkan dua ayat ini, sebahagian ilmuan menyatakan bahawa arahan ini ditujukan khusus kepada isteri Nabi, anak perempuan Nabi. Dalam masa sama, perintah ini juga ditujukan juga kepada seluruh kaum wanita muslim. Allah juga telah memerintahkan kaum wanita menjaga perhiasan (rambut, leher, dada) dari dilihat oleh orang lain selain suami dan mereka yang mahram. Jika digabungkan dua ayat ini, menjelaskan bahawa perkara ini adalah tuntutan bersifat agama.



Bagi sebahagian ilmuan lain pula, mereka berpandangan bahawa kedua-dua ayat tersebut adalah merujuk kepada konteks budaya arab semata-mata. Dalam konteks kebudayaan arab, yang mana cara tersebut (menunjukan rambut, leher, dada) dapat menaikkan keinginan sehingga boleh membawa kepada penzinaan.

Dalam ayat yang lain, dalam surah Al Ahzab ayat 60 dan surah An Nur ayat 30-31, mereka berpendapat suruhan memakai tudung itu adalah bertujuan melindungi wanita daripada diganggu dan daripada berlaku zina. Maka sekiranya fahaman sesuatu budaya itu menganggap wanita tidak berasa diganggu walau tidak memakai tudung, maka ayat itu tidak terpakai dalam konteks masyarakat tersebut.

Oleh itu, mereka menyimpulkan suruhan memakai tudung itu adalah berbentuk budaya arab. Bagi orang arab, tidak memakai tudung adalah suatu keaiban. Tetapi budaya lain tidak menganggap ianya suatu keaiban. Maka tidak boleh memaksakan orang lain mengikuti budaya arab yang beranggapan seperti mereka. Demikian pandangan mereka yang berhaluan kiri dalam soal membincangkan isu pemakaian tudung.

Walau bagaimana pun, Syaikh al Albani menyenaraikan lapan kriteria pakaian wanita Muslimah berdasarkan ayat Al quran dan hadis Nabi SAW antara lain beliau menyebutkan wanita itu mestilah memakai pakaian yang menutup seluruh anggota tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan, pakaian tersebut mestilah tebal dan luas (tidak ikut bentuk badan), tidak memakai pewangi dan sebagainya. Ini membuktikan bahawa kriteria ini adalah penekanan penting bagi wanita dan menjadi tuntutan dan suruhan agama bagi melindungi wanita dan memelihara maruah harga diri seseorang insan yang bergelar wanita

Selasa, 2 Jun 2020

GERAKAN FEMINISME : ANTARA SOSIALIS - LIBERALIS


Perkataan "feminisme" adalah merujuk kepada sebuah gerakan perjuangan oleh wanita dalam usaha membela serta menuntut hak kesamarataan tanpa bias gender. Gerakan feminisme secara ringkasnya adalah suatu gerakan politik dan komitmen intelektual yang menuntut keadilan untuk wanita serta menamatkan seksisme di dalam semua bentuk serta merangkumi perspektif yang luas termasuk soal sosial, budaya, ekonomi dan politik. Gerakan ini merupakan gabungan pemikiran dan ideologi sosialis – liberalis yang mencantumkan makna kebebasan dan keterbukaan dalam menentukan pilihan kehidupan.


Pada awal gerakan perjuangan feminisme ini adalah berfokus melindungi hak-hak wanita terhadap pengalaman yang dialami oleh golongan wanita. Perkara ini menjadi fokus mereka kerana dilihat kelemahan wanita boleh dikesan secara merata sama ada dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Pelbagai tuntutan dibuat terhadap sejarah asal dan perjuangan awal gerakan ini yang membawa kepada terbentuknya gerakan dan falsafahnya yang tersendiri. Namun setelah diberi ruang seluasnya kepada mereka maka apa sahaja yang ditafsirkan sebagai sekatan terhadap wanita akan dibela.


Objektif feminisme ini walaupun pada asasnya adalah bertujuan membela hak-hak kaum wanita namun dilihat pendekatan gerakan ini digunakan berpotensi untuk memberi kesan dan impak kepada hak-hak golongan lain yang turut dinafikan selama ini. Gerakan ini telah mengarus perdanakan agenda mereka yang juga turut menyumbang kepada keluasan maksud hak asasi manusia khususnya dalam menggabungkan makna terhadap hak-hak wanita. Kunci kepada agenda gerakan Feminisme ini adalah melibatkan penyertaan wanita di dalam ruang arus perdana tidak kira dalam apa jua bidang sekalipun.


Sejarah mencatatkan pada tahun 1995, telah berlaku suatu persidangan Wanita Sedunia berlangsung di Beijing China. Persidangan ini merupakan suatu sidang kemuncak yang memperkukuhkan tuntutan hak-hak wanita sebagai bahagian utama di dalam Hak Asasi Manusia. Dalam persidangan tersebut, dianggarkan seramai 17,000 peserta dan 30,000 aktivis yang terdiri dari pelbagai latar belakang telah menghadiri persidangan tersebut.Rentetan dari persidangan tersebut, maka lahirlah Deklarasi Beijing dan Platform Tindakan yang memberi perjhatian kepada sector kritikal yang melibatkan golongan wanita.


Pada asasnya, gerakan feminisme ini ada baiknya perjuangan mereka ini. Dalam sejarah perjuangan mereka, gerakan ini secara lantang bersuara berkenaan beberapa pengamalan budaya dan adat yang dilihat merendahkan kedudukan serta martabat kaum wanita. Antara budaya yang dikritik oleh gerakan ini adalah seperti amalan sati. Amalan sati adalah merujuk kepada kepercayaan agama Hindu. Dalam amalan sati ini, balu yang kematian suaminya turut dibakar bersama-sama mayat suaminya. Turut menjadi penentangan mereka adalah amalan pembunuhan anak perempuan kerana mengutamakan anak lelaki, perkahwinan kanak-kanak dan lain-lain. Namun  beberapa agenda perjuangan mereka dilihat menyimpang dari sudut agama dan moral. Antaranya mempertikaikan serta mengkritik syariat poligami, mempertikaikan tentang pembahagian harta warisan dan sebagainya.


Misalnya, isu aturan pemakaian skarf di Iran selepas Revolusi Iran 1979, pernah menjadi kontroversi sehingga ada pihak yang berani mencabar keputusan aturan tersebut di mahkamah. Muhammad Said Ashmawi, seorang pemikir liberal pernah berhujah dengan mengatakan bahawa makna sebenar bagi hijab terletak kepada menggagalkan seseorang daripada menyimpang kepada keinginan nafsu seksual yang tidak sah tanpa perlu menggabungkan makna sebenar ini dengan bentuk pakaian tertentu.


Leila Ahmed, seorang pendokong agenda feminism di dalam “Women and Gender in Islam” membawakan sebuah tesis yang ditulis oleh Qasim Amin telah mencetuskan provokasi apabila beliau menyatakan perlunya suatu tindakan transformasi sosial budaya melibatkan wanita dengan menyeru kepada penghapusan peraturan pemakaian tudung. Lord Cromer di dalam penulisannya menyifafkan bahawa pemakaian hijab adalah salah satu faktor kemunduran dan penderitaan kaum wanita di timur. Demikian beberapa lagi kenyataan, penulisan dan pendirian ahli sosialis yang menyifatkan nilai agama tidak lah jauh makna kecuali untuk mengongkong dan menyekat semata-mata.


Di Malaysia, pelbagai gerakan feminisme wujud berlindung dibawah nama Hak Asasi Manusia secara agresif mula mempertikai isu syariat termasuklah soal hijab, poligami, Marital Rape (rogol dalam perkahwinan) dan pewarisan harta. Walau bagaimana pun, umat Islam hari ini perlu lebih prihatin dan memandang serius terhadap isu-isu ini supaya diri kita tidak terjerat dan terperangkap masuk dalam permainan falsafah golongan ini. Perjuangan mereka adalah bertuhankan iedologi sosialis-liberalis berpandukan kitab agung mereka iaitu Hak Asasi Manusia yang digubal dan di olah oleh akal fikiran manusia yang cetek.


Hakikatnya, Allah Azza Wa Jalla jualah selayaknya memberi dan mengiktiraf sesuatu hak kerana Dia lah yang menjadikan kita manusia. Dia juga lah yang lebih mengetahui akan hak sebenar hamba Nya. Berjuang tidak salah tapi biarlah di atas landasan dan neraca agama yang benar dan selamat. Semoga Allah merahmati kita semua.