Ulama merupakan kata jamak (plural) yang
berasal daripada perkataan alim yang membawa maksud mengetahui sesuatu secara
mendalam. Alim merujuk kepada makna tahu. Berbeza dengan lafaz ulama yang
membawa maksud mengetahui sesuatu secara mendalam.
Maka dari maksud keseluruhan ini, dapat
kita simpulkan bahawa ulama adalah merujuk kepada golongan yang mempunyai ilmu
pengetahuan yang tinggi dan mendalam serta menguasai sesuatu bidang yang
dipeloporinya. Misalnya, ada yang digelar sebagai ulama hiraki yakni membawa
makna orang yang sangat berilmu tinggi dan sangat mahir tentang hiraki atau
gerakan, kepartian dan seerti dengannya.
Namun bukan itu yang hendak diperkatakan.
Apa yang menjadi tanggapan orang awam yang tidak memiliki kelebihan dari segi
keilmuan seperti mereka ini, ada yang beranggapan bahwa ulama adalah suatu
badan agama yang mempunyai kuasa autoriti yang bersifat qat'ie (putus @
muktamad) tanpa perlu ditanya atau di bantah. Kerana pada anggapan sesetengah
masyarakat hari ini melihat ulama tidak akan pernah tersilap dari sebarang
kesalahan dan kekhilafan. Tanggapan ini adalah tidak benar dan bercanggah
dengan hadis Nabi SAW. Daripada khadam Nabi, Anas Bin Malik RA, bahawa baginda
Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Semua anak adam itu melakukan
kesilapan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang
bertaubat"
(Hadis riwayat Ibn Majah)
Berdasarkan hadis ini, baginda Nabi SAW
dengan jelas memberitahu bahawa setiap insan yang berada di atas muka bumi Allah
pasti tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan. Sesiapa pun dia, apa pun
pekerjaan nya, walau apa pun pangkat, darjat dan kedudukannya pasti dan mesti
akan melakukan kesilapan. Umumnya kita boleh simpulkan bahawa golongan ulama
juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
Dalam satu sudut yang lain, slogan
"anak muda sayang ulama" , "kami bersama kepimpinan ulama"
adalah suatu slogan yang baik jika tidak di ikuti dengan sikap ketaksuban
melampau. Perkara ini bahaya kerana sehingga ada yang menganggap tok guru
mereka atau ulama mereka tidak boleh dipertikai sama sekali. Manusia telah
dinafikan hak untuk bertanya dan dituntut supaya mengiyakan sahaja asalkan
ianya datang dari mulut ulama dan tok guru mereka. Konsep halamuma wa haramukum
diguna pakai bagi menghalalkan apa sahaja yang diperkatakan oleh tok guru tanpa
di bahas, di bincang dan dilumatkan.
Kita harus ingat bahawa mengkritik
seseorang ulama atau tok guru diatas penilaian ilmiah dan bukan kerana sentimen
peribadi bukanlah bermakna kita tidak menghormatinya sebagai guru kita. Tetapi
dalam dunia ilmiah, ianya terbuka luas untuk di bincang dan di bahas sesuatu
perkara sesuai dengan kelayakan dan akal fikirannya sehingga mencapai titik
penjelasan yang sejelasnya dan bukannya bermatlamatkan mencari titik
kemenangan.
Islam itu sendiri tidak terbina diatas
kuasa mutlak ulama atau tok guru untuk memutuskan apa sahaja dia suka.
Sebaliknya agama ini terbina diatas hujah dan dalil. Selagi berlandaskan pada
neraca ilmiah maka sesiapa sahaja layak untuk dikritik sekalipun ianya adalah
orang alim. Budaya taksub, taklid buta, sikap fanatik semberono akan memakan
diri dan merugikan manusia. Sedangkan Allah juga menganjurkan kita untuk
bertanya pada ahli sepertimana firman Nya dalam surah al Nahl ayat 43 yang
bermaksud :
"Maka bertanyalah kamu kepada ahli
ilmuwan jika kamu tidak mengetahui".
Bertanya boleh datang dalam bentuk
kritikan. Maka kita dituntut untuk terus berfikir diatas neraca ilmiah dan
memperbetulkan perkara yang tidak benar sekalipun perkara tersebut dibuat atau
disebut oleh tok guru kita. Untuk itu, barangkali apa yang perlu ditambah lagi
dalam soal mengkritik ini adalah tentang soal peradaban, bahasa yang terpilih
supaya tidak timbul salah faham dan sangkaan penghinaan. Semoga Allah merahmati
dan mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan