Hidup dalam masyarakat majmuk yang
terdiri daripada berbilang agama dan budaya adalah satu keunikan kepada kita
untuk saling mengenali antara satu sama yang lain. Walau pun berbeza agama, Islam sama sekali
melarang kita untuk melakukan kezaliman, penindasan mahupun apa jua perkara
yang boleh menggugat hak mereka untuk beragama. Bahkan, Allah SWT memerintahkan
kepada kita untuk melakukan kebaikan kepada mereka meskipun berlainan agama. .
Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahah ayat 8-9 yang bermaksud :
“Allah tidak melarang kamu daripada
berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak
memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung
halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat
orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari
kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan
(ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah
orang-orang yang zalim”.
Juga Allah SWT mengajar kita supaya
mengucapkan ucapan yang baik kepada mereka yang memberikan ucapan kebaikan
kepada kita. Firman Allah SWT dalam surah al Nisa’ ayat 86 yang bermaksud :
“Dan apabila kamu diberikan penghormatan
dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih
baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah
sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.
Pada masa sama, dalam ruang keluasan
Islam menganjurkan kita bertoleransi merentasi perbezaan agama, Islam juga
turut melarang kita daripada melakukan sebarang perbuatan yang boleh menjadikan kita kufur
dalam apa jua bentuknya. Sama ada dalam bentuk ucapan, perbuatan atau gerakan
hati yang boleh menyebabkan kita menjadi kufur. Firman Allah SWT dalam surah al
Nahl ayat 106 yang bermaksud :
“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah
beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan
kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa
yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari
Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.”
Oleh itu, terdapat beberapa perbahasan
dikalangan para sarjana Islam di dalam menetapkan hukum mengucapkan selamat
bagi perayaan agama selain Islam dan hukum merayakannya. Berlaku perbezaan
pandangan dikalangan para sarjana Islam. Bagi sebahagian sarjana Islam, mereka
melihat terdapat unsur mengiktiraf kekufuran apabila kita mengucapkannya. Maka
bagi mereka hukumnya haram memberi ucapan perayaan agama lain kerana dibimbangi
ucapan tersebut membawa kepada mengiktiraf kekufuran.
Manakala sebahagian sarajana pula melihat
pemberian ucapan tersebut tidaklah berunsur mengiktiraf kekufuran tetapi
sebaliknya sekadar menunjukkan kebaikan kepada penganut agama lain yang secara
terang tidaklah memusuhi Islam. Maka bagi mereka yang berpandangan sebegini
menyatakan hukum harus memberi ucapan tersebut dengan di ikat syarat-syarat
tertentu.
Sebahagian para sarjana yang
mengharamkannya seperti Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah, juga al-Hafiz Ibn Qayyim
al-Jauziyyah dengan tegas mengharamkannya dengan mendatangkan hujah dan alasan yang
tersendiri. Fokus utama mereka mengharamkannya adalah mereka melihat kepada
perbuatan itu seolah-olah meredhai dan mengiktiraf kebenaran agama mereka.
Sebaliknya, beberapa para sarjana kontemporari seperti Prof. Dr. Yusuf al
Qaradawi menyatakan keharusan mengucapkannya beserta syarat tertentu. Demikian
juga Prof. Dr. Abd al Sattar Fathullah Said, seorang pensyarah Tafsir dan Ulum
Quran di Universiti Al Azhar. Beliau berpandangan mengucapkan tahniah dan
selamat hari raya pada perayaan bukan Islam adalah harus selagi tidak
bercanggah dengan hukum syarak.
Syeikh Dr. Mustafa Zarqa’ juga
mengharuskan ucapan tersebut dan beliau menyifatkan perbuatan memberikan ucapan
tersebut termasuk dalam bab kesopanan (mujamalah) dalam pergaulan. Namun
sesiapa yang beranggapan perayaan agama bukan Islam adalah sama seperti
perayaan umat Islam maka ianya haram kerana hal tersebut termasuk dalam hal
akidah dan seolah-olah ingin menyamakan semua agama (pluralism). Antara hujah
Syeikh Mustafa al Zarqa mengharuskan ucapan perayaan agama lain adalah
berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud :
“Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi
s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu
kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia
juga jiwa (insan)?”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam kitab Fatawa Mustafa al Zarqa,
beliau berkata: “Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan kemuliaan,
tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut” (Fatawa Mustafa al-Zarqa,).
Maksudnya ialah beliau membandingkan mengucapkan selamat sempena perayaan agama
lain kepada penganutnya, bukan bermaksud mengiktiraf akidah mereka sebaliknya
sekadar menzahirkan kesopanan.
Oleh itu, melalui perbahasan ini, dapatlah
difahami bahawa terdapat khilaf atau perbezaan pendapat berkenaan hukum
mengucapkan tahniah sempena perayaan agama orang bukan Islam. Semuanya
tergantung pada kita untuk melihat dan menilai sekaligus mempertimbangkan
kewajaran kita menzahirkan ucapan. Sekiranya tidak ada kepentingan untuk
menzahirkan ucapan bagi perayaan agama lain, maka lebih baik kita tidak
memberikan ucapan. Sebaliknya jika kita mempunyai kedudukan atau kepentingan
seperti seorang pemimpin, seorang majikan atau selainnya maka diharuskan
memberi ucapan dengan syarat ucapan tersebut tidak membawa kepada makna
kekufuran.