Budaya takfir adalah merujuk kepada
budaya menuduh orang lain sebagai kafir. Dimaksudkan dengan menuduh itu adalah
menuduh orang Islam dengan tuduhan kafir. Adapun orang bukan Islam, golongan
ini telah dikenali dengan perkataan kafir. Jadi, orang bukan Islam terkeluar
daripada tuduhan kafir kerana zahirnya mereka telah dikenali sebagai kafir.
Perkataan kafir dari sudut bahasa
bermakna menutup. Disebabkan itu, di dalam Al quran, tukang kebun disebutkan
sebagai "kuffar" kerana pekerjaan tukang kebun itu menutup benih
dengan menggunakan tanah. Allah SWT berfirman di dalam Al quran, surah al Hadid
ayat 57 yang bermaksud :
" Samalah seperti hujan yang
(menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan
tertarik hati kepada kesuburannya "
Dari satu sudut makna yang lain, kufur
adalah lawan bagi iman. Maka dapat kita fahami bahawa iman difahami sebagai
kepercayaan, sebaliknya kufur difahami dengan makna keingkaran dan kemungkaran.
Berdasarkan dari pemahaman makna ini dapat disimpulkan bahawa makna kufur dalam
Al quran membawa dua makna iaitu yang pertama, melakukan dosa (sama ada dosa
besar atau dosa kecil) yang disebut juga sebagai kufur nikmat. Kedua, kufur
membawa makna terkeluar daripada agama.
Beberapa contoh penggunaan kafir bagi
merujuk kepada dua makna diatas. Dalam surah al Maidah ayat 73 yang bermaksud :
" Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang
yang berkata : "Bahawasanya Allah adalah salah satu daripada tiga
tuhan." Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang
Maha Esa..."
Dalam ayat ini, dengan jelas Allah SWT
menggunakan perkataan "kafir" kepada golongan Kristian yang mendakwa
Allah itu ketiga daripada Triniti. Kekafiran ini telah mengeluarkan mereka
daripada agama Islam. Ada pun dalam firman Nya yang lain, dalam surah Ali Imran
ayat 97 yang bermaksud :
" Dan Allah mewajibkan manusia
mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu
sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya
(tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk"
Ayat ini menjelaskan kepada bahwa orang
yang tidak menunaikan ibadah haji walhal dirinya mampu mengerjakan ibadah haji,
maka Allah menggunakan perkataan kufur. Sedangkan tidak menunaikan ibadah haji
itu tidak lah sehingga jatuh hukum terkeluar Islam tetapi boleh dianggap
berdosa.
Demikian juga di dalam hadis Nabi SAW,
dalam riwayat Imam Abu Daud dan Ibn Majah, baginda Nabi SAW bersabda yang
bermaksud :
" Perjanjian antara kita dan mereka
adalah solat. Barangsiapa meninggalkan solat, sesungguhnya dia telah
kufur"
Berdasarkan hadis ini, seseorang yang
telah meninggalkan solat tidak dianggap terkeluar daripada Islam sekalipun
perbuatan meninggalkan solat itu dikira sebagai berdosa. Maka perbuatan
meninggalkan solat itu dikira sebagai berdosa, bukannya terkeluar daripada Islam.
Penggunaan perkataan kafir perlu dilihat
dalam konteksnya yang berbeza. Ada ketikanya kafir itu dirujuk sebagai mereka
yang bukan Islam dan ada ketikanya kafir itu merujuk pada makna kufur, iaitu
berdosa tetapi tidak sehingga terkeluar daripada Islam. Walau apa pun, kita
harus diingatkan agar tidak bermudah untuk mengkafirkan orang khususnya sesama
muslim. Sejarah membuktikan banyak negara Islam telah hancur dan binasa kerana
budaya takfir ini. Semoga Allah berikan kita hidayah serta taufik Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan