Khamis, 9 September 2021

HIKMAH DALAM KONTEKS DAKWAH

 

Kitab al Quran yang merupakan kalam Allah telah menggariskan beberapa manhaj dakwah dengan sempurna dan jayanya. Dengan syarat, manhaj tersebut digunapakai dalam konteks dakwah yang tepat dan bersasaran. Meskipun dakwah tidaklah diukur kejayaanya berdasarkan bilangan ramai yang memeluk Islam, namun dakwah tanpa arah tujuan akan menjadikan kita sekadar hebat di mulut, megah di nama tapi hakikatnya kosong belaka.

Oleh itu, Allah SWT berfirman dalam surah al Nahl ayat 125 yang bermaksud :

"Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk"




Berdasarkan garis panduan dan metod diatas, baginda Nabi SAW telah menyebarkan dan menyampaikan dakwahnya secara tersusun dan memberi kesan semasa baginda berada di Mekah meskipun segelintir kecil sahja dalam kalangan Quraisy yang menerima dakwah baginda Nabi SAW. Garis panduan tersebut antaranya adalah berdakwah melalui cara berhikmah.

Dalam kitab Lisan al 'Arab, menurut bahasa, perkataan al hikmah berasal dari pecahan kata hakama, yang pada asalnya penggunaan kata hakama ini merujuk kepada makna larangan, tegahan yang bertujuan menghalang sesuatu daripada meresap. Manakala dari sudut istilah pula, al hikmah membawa maksu ilmu yang bersifat jitu, mantap, tepat, sahih dan bernas.

Menurut Imam al Ghazali ketika beliau membahaskan berkenaan makna hikmah dalam kitabnya Ihya' 'Ulum al Din, perkataan hikmah ialah suatu keadaan jiwa atau nafsu yang dengannya sesuatu yang tepat dapat dibezakan berbanding sesuatu yang salah dalam seluruh perbuatan hamba yang dipilih sendiri. Sa'id Hawwa pula menyatakan hikmah ialah pendapat dan perkataan yang sahih dan jitu.

Sayyid Qutb dalam membicarakan tentang soal hikmah dalam berdakwah ini, beliau menyatakan tiga perkara utama yang memerlukan pemerhatian dalam kita menggunakan kaedah hikmah dalam berdakwah. 3 perkara utama yang harus kita perhatikan ialah pertama, persekitaran sosial dan taraf kemasyarakat, keduanya, laras bahan dan material dakwah yang akan disampaikan, dan ketiganya, pendekatan yang sesuai dan munasabah dengan kepelbagaian cara dan metod yang boleh membangkitkan semangat.




Berhikmah dalam berdakwah bukanlah bermakna perlu berlemah-lembut, cakap perlahan-perlahan dan penuh sopan walau pun sebahagian perbuatan tersebut merupakan suatu tuntutan dalam Islam. Hikmah yang perlu kita fahami ialah berhikmah dengan konteks keadaan, suasana dan sasaran yang tepat. Oleh kerana itu, berhikmah dalam konteks dakwah mempunyai perincian yang perlu kita kuasai dan fahami.

Sebagai contoh, berhikmah dengan pelaksanaan hukum Islam seperti hudud, menjadi tuntutan kepada kita untuk berdakwah menyampaikan Islam terlebih dahulu, memberikan kefahaman, membuka ruang dialog dan mesti bersedia menerima pandangan yang berbeza. Keadaan ini akan lebih berhikmah, tersusun berbanding kempen hukum Islam tanpa memberikan penjelasan yang akhirnya, boleh mengundang perasaan fobia terhadap Islam.

Begitu juga berhikmah dalam keadaan memberikan keutamaan untuk beramal. Sebahagian orang Islam yang kaya dan dermawan, suka memberikan sumbangan membina masjid-masjid dengan begitu banyak. Ianya suatu yang terpuji. Namun, sekiranya kita melihat dari sudut keutamaan, ada lebih baiknya juga kita yang kaya-raya ini menyalurkan sumbangan kepada gerakan yang berdakwah menyebarkan Islam.

Sepertimana yang telah disebut oleh Dr. Yusuf al Qaradhawi dalam kitab beliau Fiqh al Awlawiyat : Dirasah Jadidah fi Daw' al Quran, beliau menyatakan bahawa :

"Saya melihat ada orang Islam yang berhati mulia menderma wang untuk membina sebuah masjid dalam sebuah negeri yang penuh dengan masjid-masjid yang mungkin menelan belanja setengah atau jutaan dolar. Jika anda menggesanya supaya menyumbangkan jumlah wang seumpama ini untuk mengembangkan dakwah Islam atau menentang kekufuran dan fahaman ateis atau matlamat-matlamat besar lain yang mungkin ada tokoh-tokohnya tetapi tidak mempunyai sumber kewangan."




Demikian juga berhikmah dalam berpolitik dan membentuk negara. Berpolitik dan membentuk negara dengan berhikmah juga merupakan suatu ruang konteks dakwah yang boleh dipraktikkan. Meskipun sistem hari ini jauh daripada sistem khilafah, namun ini tidak bermakna kita menolak kesemuanya yang tidak islamik. Desakan keadaan hari ini yang berubah menuntut kita agar bertindak memasuki sistem tersebut akan membuka ruang dakwa baharu, kita boleh membuktikan bagaimana Islam sangat toleransi, damai dan membawa mesej-mesej keharmonian tanpa memperjudikan prinsip Islam sebenar.

Marilah kita kembali memahami makna al hikmah dalam konteks dakwah yang pelbagai. Berdakwah bukan sahaja di kerusi-kerusi forum, di meja kuliah, di kaca televisyen, di internet, bahkan dimana sahaja kita berada, disebalik apa jua lapangan dan bidang yang kita ceburi, jangan lah kita menghilangkan makna al hikmah dalam diri kita. Semoga Allah meredhai dan memberkati segala usaha baik kita selama ini menyebarkan Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan